Saturday 9 October 2010

A121741 Mas Ayu LJ10

Kenapa pengurusan emosi penting dalam kehidupan harian kita? Saban hari kita pasti berkomunikasi dan berhubungan dengan orang lain. Komunikasi dan perhubungan ini boleh bersifat personal atau professional. Komunikasi dan hubungan personal merujuk kepada hubungan kita dengan kawan-kawan, ahli keluarga mahupun pasangan manakala hubungan profesional pula biasanya melibatkan urusan yang lebih formal contohnya antara pensyarah dan pelajar, antara kaunselor dan klien atau antara majikan dan pekerja. Dalam agama Islam konsep hubungan bukan sahaja merujuk kepada hubungan sesama manusia tetapi melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan. Umat Islam perlu menjaga hubungannya sesama manusia (hablumminannas) dan hubungannya dengan Allah (hablumminallah) untuk mencapai kehidupan yang diredhai. Hal ini jelas membuktikan kepada kita tentang betapa pentingnya aspek pengurusan emosi dalam diri individu untuk mencapai kesejahteraan hidup.

 

Senyuman adalah alat untuk mempamerkan emosi gembira dan dengan senyuman yang manis kita mampu menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang lain. Walaupun kita tidak kaya harta biarlah kita kaya senyuman dan budi bahasa. Bak kata pepatah kurangkan manis dalam minuman tapi tambahlah  manis dalam senyuman. Apabila kita senyum secara tidak lansung perasaan gembira boleh wujud. Senyuman adalah emosi yang boleh berjangkit. Apabila kita senyum orang lain juga akan cenderung untuk membalas senyuman kita walaupun senyuman itu ditujukan kepada seseorang yang tidak dikenali. Hebatnya senyuman kerana ia mampu mengubat perasaan sedih dan kecewa. Senyuman juga mampu merencatkan rasa marah. Ibu yang sedang marah kepada anaknya boleh tersenyum apabila anak yang dimarahinya tiba-tiba tersenyum. Keadaan tersebut boleh merencatkan emosi marahnya.

 

Dari aspek kehidupan berkeluarga pula isteri mahupun suami mestilah bijak mengawal emosi. Kegagalan mengawal emosi dan bertoleransi dalam kehidupan berkeluarga boleh mencetuskan konflik. Secara semulajadi wanita dilihat lebih beremosi berbanding lelaki. Pembuatan keputusan oleh seseorang wanita sering kali dipengaruhi oleh aspek emosi manakala lelaki pula lebih cenderung melihat sesuatu masalah dari aspek rasional. Sifat semulajadi wanita yang kaya dengan emosi inilah yang menjadikan mereka seorang ibu yang penyayang dan prihatin. Lelaki pula dilihat lebih menonjolkan aspek autonomi dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga. Jadi tidak hairanlah jika Tuhan menciptakan wanita sebagai pelengkap kehidupan lelaki dan begitu jugalah sebaliknya.

 

Lelaki dan wanita saling melengkapi antara satu sama lain. Sifat saling melengkapi ini boleh diibaratkan seperti teori enzim. Wanita adalah mangga dan lelaki adalah kuncinya. Kunci tanpa mangga tidak akan bermakna, begitu juga sebaliknya. Allah berfirman dalam surah al-Rum ayat 21 bermaksud "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan atau kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah."  Sifat saling hormat menghormati dan kasih sayang dalam keluarga adalah apek yang penting kerana ia mampu mencetuskan persekitaran keluarga yang harmoni dan bahagia. Oleh itu kita perlu bijak untuk memahami dan menguruskan emosi sesuai dengan situasi dan konteks.

 

Individu yang bijak menguruskan emosi didapati lebih bahagia dan mampu menghadapi cabaran kehidupan dengan baik. Mereka lebih positif dalam hidup. Tekanan dan masalah dalam hidup dianggap sebagai ujian dan asam garam kehidupan. Setiap peristiwa negatif yang berlaku bukanlah dianggap sebagai musibah malah dilihat sebagai hikmah dan muhasabah. Mereka juga didapati mempunyai hubungan interpersonal yang positif dengan persekitaran sosial.

 

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu & bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya).

Surah ali-imran : 200.


No comments:

Post a Comment