Thursday 2 September 2010

A135584 Qurratu Aini LJ07

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Kuliyah kali ini dimulakan dengan sorotan video Indonesia mengalami Tsunami di Banda Aceh. Peristiwa yang sangat sukar dilupakan oleh seluruh manusia khususnya penduduk Aceh sendiri. Pelbagai faktor yang menyebabkan kejadian tsunami seperti faktor geologi kerana Indonesia masih mempunyai banyak gunung berapi dan potensi gempa buminya. Kehilangan banyak nyawa iaitu hampir 250,000 serta kerugian dan kemusnahan yang besar membuka mata dunia samada dari segi bantuan ataupun kesedaran dalam menjaga alam sekitar.  Ini kerana, bencana alam yang sering berlaku adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri yang ghairah mencari pembangunan.


Peristiwa berdarah ini sangat diingati bertepatan dengan tajuk kuliyah pada minggu ini iaitu EMOSI DAN INGATAN. Apa yang dimaksudkan dengan EMOSI DAN INGATAN? Kajian mendapati bahawa ingatan manusia sangat dipengaruhi oleh emosi atau erti kata lain emosi memberi kesan yang kuat kepada ingatan seseorang. Pada amnya, peristiwa beremosi lebih mudah diingati berbanding peristiwa yang normal (tiada emosi yang terlibat).  Hal ini dikawal oleh bahagian-bahagian otak yang tertentu iaitu Amygdala, Cerebellum dan Prefontal Cortex.


Kajian juga mendapati bahawa peristiwa gembira sangat mudah diingati jika dibandingkan dengan peristiwa yang sedih. Apabila seseorang bercerita tentang pengalaman, mereka lebih memilih kepada peristiwa yang gembira. Ini kerana kebanyakan individu tidak suka bercerita ataupun mengingati peristiwa sedih. Sebagai contoh, seseorang lebih mengingati peristiwa yang berlaku semasa perkahwinan berbanding peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa kematian. Saya sendiri lebih memilih peristiwa yang gembira berbanding peristiwa sedih kerana hanya menambahkan tekanan yang sedia ada jika kita asyik mengenang perkara-perkara yang sedih. Sekurang-kurangnya jika kita mengimbas perkara-perkara yang gembira, kita akan merasa hidup ini tidaklah begitu gelap!


Selain itu, umur dan perbezaan jantina juga menyumbang kepada perbezaan ingatan seseorang. Wanita adalah kaum yang lebih senang untuk mengingati peristiwa beremosi berbanding kaum lelaki. Saya sangat bersetuju dengan kajian ini kerana mengikut pengalaman saya sendiri, saya pernah melihat sepasang suami isteri yang kerap bergaduh kerana si isteri yang selalu kesal dengan sikap suaminya. Baginya suaminya kurang memberi perhatian. Bagi si suami pula, perkara itu hanya perkara yang remeh contohnya hari ulangtahun perkahwinan dan kegemaran pasangan. Di sini dapat saya kaitkan dengan teori ini iaitu wanita memang kuat ingatannya terhadap perkara-perkara yang beremosi dan detail  berbanding lelaki  yang hanya mengingati peristiwa-peristiwa penting berkaitan dirinya sahaja.


Perbezaan gender juga membawa kepada pemikiran stereotype iaitu lelaki kebiasaannya adalah kaum yang kuat dan macho  manakala wanita lebih kepada kaum yang lemah dan lembut. Oleh itu, hanya emosi-emosi yang tertentu sahaja layak untuk lelaki. Begitu juga dengan wanita. Contohnya, lelaki terbiasa dengan sifat kerasnya, pantang dicabar dan tidak mudah menangis sedangkan wanita terkenal dengan sifat malu dan lemah lembutnya sehingga air mata wanita itu dijadikan sebagai senjata.


Akhir sekali, saya titipkan sebuah kata-kata motivasi yang saya ambil dari petikan La Tahzan karya Dr. 'Aidh Al-Qarni:

Barangsiapamampu menguasai perasaannya dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dialah orang yang sejatinya memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan. Karena itu pula, ia akan memperoleh kebahagiaan dan kenikmatan dikarenakan keberhasilannya mengalahkan nafsu. Allah s.w.t. menyebutkan bahwa manusia adalah makhluk yang senang bergembira dan berbangga diri. Namun, menurut Allah,ketika ditimpa kesusahan manusia mudah berkeluh kesah, dan ketika mendapatkan kebaikan manusia sangat kikir. Akan tetapi, tidak demikian halnya dengan orang-orang yang khusyu' dalam shalatnya. Itu karena merekalah orang-orang yang mampu berdiri seimbang di antara gelombang kesedihan yang keras dengan dan luapan kegembiraan yang tinggi. Dan mereka itulah yang akansenantiasa bersyukur tatkala mendapat kesenangan dan bersabar tatkala berada dalam kesusahan.

Kagum dengan pensyarah yang boleh mengaitkan apa sahaja sumber dengan permasalahan yang dikaji. Kini,saya berusaha menjadi seorang yang lebih peka!


No comments:

Post a Comment