Sunday 19 September 2010

A134544 Nabihan LJ08

                Syukur saya panjatkan ke hadrat ilahi. Kerana-Nya sekali lagi saya diberi kesempatan untuk menulis dalam jurnal pengurusan emosi ini. Saya rasa masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca-pembaca jurnal selama ini. Di kesempatan ini, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua pembaca jurnal ini sekiranya ada salah silap atau mengguris mana-mana perasaan sepanjang saya menulis jurnal ini. Di bulan mulia ini marilah kita bersama-sama saling kunjung-mengunjungi sanak-saudara mahupun jiran tetangga agar tali persaudaraan tidak akan terputus bahkan makin kuat ikatannya.

Baiklah, dalam edisi jurnal pada kali ini, saya telah mempelajari tajuk Emosi dan Motivasi. Saya yakin pembaca diluar sana akan mudah memahami tentang tajuk ini kerana ianya sering berlaku dalam kehidupan kita seharian antara kita sedar atau tidak akan perkara itu. Umumnya, motivasi bermaksud pemangkin kepada kita untuk melakukan sesuatu tidak kiralah dari segi perbuatan atau percakapan kita. Motivasi juga seperti emosi, ada yang positif dan ada yang negatif. Lazimnya, emosi yang positif saling berkait dengan motivasi yang positif. Manakala emosi yang negatif pula pastilah berkaitan dengan motivasi yang negatif. Tetapi tidak semua emosi negatif bermula dengan motivasi yang negatif, ada juga yang pada awalnya mendapat motivasi yang positif tetapi oleh kerana terlalu taksub maka timbullah emosi yang negatif. Jika pembaca masih ingat lagi pada jurnal yang pertama saya ada menulis tentang empat komponen emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan perubahan tingkahlaku. Oleh itu, emosi lebih luas maknanya dari perasaan. Emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron & Logan, 1993). Emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992).

Di sini ingin saya kongsikan bersama para pembaca pengalaman saya yang berkaitan dengan tajuk perbincangan kita. Saya mempunyai seorang kawan lelaki, Azlan. Dia merupakan kawan sekelas saya waktu saya tingkatan 5. Biasalah budak lelaki memang sifat mereka pemalas. Kalau ada yang rajin pun, cuma segelintir. Begitu jugalah dengan Azlan. Tetapi sifat malas yang ditunjukkan bukan seperti yang biasa. Dia memang sangat pemalas. Ditambah pula dengan sifatnya yang nakal yang kadang kala boleh menimbulkan kemarahan bukan sahaja kami, kawannya malah guru-guru yang mengajar. Mungkin kerana tersalah pilih kawan menyebabkan dia jadi begitu. Namun sebenarnya, Azlan merupakan seorang pelajar yang pintar. Dia telah mendapat 8A dalam PMR yang lepas. Perangainya yang buruk itu bermula sewaktu menengah atas. Sehinggalah pada suatu hari, dia telah ditangkap oleh guru disiplin ketika sedang merokok di dalam tandas. Seperti kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitu jugalah dengan Azlan. Disebabkan begitu banyak kes disiplin yang dilakukan, dia telah digantung sekolah selama dua minggu. Pada mulanya dia berasa seronok kerana tidak perlu pergi ke sekolah selama dua minggu tetapi jangkaannya meleset apabila pihak sekolah telah menghantarnya pergi ke kem motivasi diri selama dua minggu di Ulu Tembeling, Pahang. Di sana, Azlan menjalani bermacam-macam aktiviti yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Dia juga telah berjumpa dengan berbagai-bagai jenis pelajar yang lebih teruk perangai darinya. Sepanjang kem itu juga, mereka sentiasa diberi motivasi tidak kiralah dalam bentuk apapun. Dalam diam, Azlan merasakan dirinya mengalami banyak perubahan ketika dalam kem tersebut. Dia telah bertekad untuk tidak mengecewakan harapan ayah dan ibunya yang selama ini telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Dia ingin berjaya dalam SPM tahun ini. Ternyata azamnya itu bukanlah hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya dia berjaya memperoleh keputusan yang sangat cemerlang dalam SPM. Kini, Azlan sedang melanjutkan pelajarannya ke UK dalam bidang kejuruteraan.

Begitulah sedikit pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama para pembaca. Semoga kita dapat bertemu lagi dalam edisi jurnal yang akan datang. Sekian.#  

 

            


No comments:

Post a Comment