Sunday 12 September 2010

A134284 NG EAIN YI LJ08

            Minggu ini kami belajar tentang Emosi dan Motivasi. Mula-mula, kami perlu memahami definasi emosi dan juga motivasi. Emosi didefinasikan melalui nada efektif sama ada yang positif mahupun negatif, emosi juga dikatakan menekankan kebangkitan sesuatu perasaan. Motivasi pula merupakan pembelajaran dalam tingkah laku yang berkaitan dengan arah dan tenaga. Motivasi juga menekankan tindakan seperti perasaan sayang pada keluarga menyebabkan kita berusaha untuk belajar demi memperbaiki kualiti hidup keluarga.

 

            Seperti yang telah dipelajari, emosi dapat dibahagikan kepada 4 komponen, iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku berkaitan. Kempat-empat komponen ini saling berkait rapat dalam menjana sesuatu emosi. Sebagai contoh, emosi gembira didorong oleh perasaan suka hati yang menyebabkan fikiran seseorang menjadi positif. Dengupan hati orang itu akan bertambah kencang lalu orang tersebut lompat kegirangan.

 

            Menurut teori Baron & Logan, 1993, emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Terdapat satu peristiwa yang dapat dikaitkan dengan teori ini. Saya yang tinggal di Bandar Kuala Lumpur tidak pernah menaiki bas untuk pergi negeri lain sendiri. Oleh itu, saya tidak biasa dengan cara pembelian tiket bas. Sempena cuti Hari Raya, kawan-kawan saya ingin membeli tiket bas untuk balik ke kampungnya. Atas semangat setia kawan dan emosi ingin membantu, saya telah menawarkan diri untuk membantu mereka. Walaupun saya terpaksa menangguhkan masa saya balik ke rumah saya.

 

Teori Lang et al, 1992 pula menyatakan bahawa emosi merupakan motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Kita balik ke rumah kerana sayang pada ahli keluarga kita, yang mendorong kita bersusah payah mencari kenderaan untuk balik ke kampong masing-masing. Motif kita balik adalah kerana perasaan rindu pada ahli keluarga.

 

Saya mempunyai kawan-kawan yang sedang berada dalam alam percintaan. Apabila sampainya hari jadi teman mereka, kawan-kawan saya sanggup berbelanja untuk membeli hadiah kepada teman lelaki mereka, sehinggakan satu hadiah dianggap tidak memadai. Perasaan cinta antara mereka merupakan emosi yang mendorong kepada tingkah laku mereka yang sedemikian, padahal semasa perjumpaan makan bersama dengan kawan-kawan pula mereka cuba berjimat. Motivasi mereka juga adalah perasaan cinta pada teman mereka.

 

Namun demikian, tidak semua emosi menjadi pendorong dan tidak semua pendorong berasaskan pada emosi. Contohnya, kita makan adalah sebab kita lapar. Kita belajar dengan tekun adalah kerana inginkan pencapaian. Kita tidur kerana kita letih, dan sebagainya. Bukan semua motivasi kita adalah berasaskan emosi, dan emosi tidak dilibatkan dalam semua motivasi kita.

 

Selain itu, emosi juga dijelaskan sebagai satu kebangkitan yang melibatkan perubahan pada wajah dan badan, pengaktifan otak, penilaian kognitif, perasaan subjektif dan kecenderungan terhadap tindakan. Emosi ialah tindak balas penyesuaian badan kita pada persekitaran. Ia menyediakan kita untuk mengambil sesuatu tindakan, iaitu membangkitkan kita untuk bergerak, ambil tindakan dan menyesuaikan diri. Menurut Bickhard,1997, motivasi ialah aspek proses pemilihan. Motivasi adalah jangkaan terhadap apa yang boleh berlaku. Pada minggu pertama berada di UKM, kami semua masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kawan yang baru kerana kami berasa sunyi dan keseorangan. Ini merupakan emosi ketika itu. Kami cuba mencari kawan baru agar tidak dibelenggu perasaan kesunyian. Motivasi untuk tidak berasa kesunyian menyebabkan kami mula mengambil tindakan, iaitu saling berkenalan.

 

Teori kemanusiaan dikaitkan dengan motivasi dan emosi. Abraham Maslow mencadangkan pembahagian motif kepada beberapa peringkat dari keperluan kehidupan seharian ke keperluan memenuhi diri. Motif dibahagikan kepada keperluan seharian, keperluan psikologikal serta keperluan memenuhi diri. Peringkat keperluan seharian di peringkat bawah sekali, merangkumi keperluan keselamatan dan keperluan fisiologikal seperti makanan, minuman, air dan tempat tinggal. Namun demikian, keperluan dasar ini dikritik kerana dipercayai bahawa demi mempunyai keperluan fisiologikal ini, kita harus mempunyai kemerdekaan terlebih dahulu. Contohnya, negara Palestin dan Israel sering melancarkan peperangan atas motivasi agama. Jika peperangan ini tidak dapat dihentikan, masakan seseorang dapat menikmati keperluan seharian?

 

Keperluan psikologikal berada di peringkat kedua. Peringkat ini juga dapat dibahagikan kepada pemilikan dan keperluan cinta serta keperluan harga diri. Apabila seseorang mempunyai keperluan seharian, orang itu akan dipengaruhi dengan keperluan psikologikal. Kita akan mencari kawan, bercinta dan menjalin hubungan. Apabila peringkat ini telah mantap dalam hidup orang tersebut, dia akan beruasaha untuk meningkatkan harga dirinya dengan mempunyai pencapain dalam hidup. Saya pernah bertanya pada ramai orang, adakah kamu akan berasa bahagia dengan ramai kawan untuk berkongsi pencapaian kamu bersama ataupun kamu lebih rela mempunyai pencapaian yang tinggi tetapi tidak mempunyai kawan? Ramai yang menjawab, tentulah ada kawan!

 

Tahap yang paling tinggi adalah keperluan memenuhi diri iaitu mencapai potensi penuh seseorang. Tahap ini merupakan tahap bagi mereka yang lengkap dari pelbagai segi dan merupakan motivasi kepada ramai untuk mengecapi. Oleh itu, hanya dengan emosi yang kuat barulah dapat motivasi yang mendorong kita untuk berjaya dalam hidup.

No comments:

Post a Comment