Thursday 2 September 2010

A133832 nurul lj07

Assalamualaikum dan salam sejahtera, sudah sampai minggu ke-tujuh kuliah pengurusan emosi dan nampaknya semakin hampir dengan hari lebaran. Saya berasa amat teruja dan ada juga rasa cemburu kerana malihat teman-teman yang terlebih dulu mengemas pakaian bersiap-sedia untuk pulang ke kampung masing-masing. Nasib baiklah sebab dapat cuti awal dan banyak kelas yang sudah dibatalkan, bolehlah balik awal. Tidak mengapalah saya balik lewat sekalipun asalkan saya dapat pulang beraya bersama-sama keluarga di kampung dan masih diberi peluang oleh-Nya untuk sama-sama mensyukuri nikmat yang dikurniakan berbanding dengan segelintir manusia yang tidak berpeluang meraikannya bersama yang tersayang. Tentu ramai yang masih mengingati tragedi tsunami yang berlaku pada 2006 yang mengorbankan ramai orang yang tidak berdosa dan banyak harta benda yang musnah. Walaupun sudah enam tahun berlalu ternyata peristiwa ini amat memberi kesan kepada individu yang mengalaminya.

Tujuan saya mengimbau kembali peristiwa itu adalah ingin saya kaitkan dengan kuliah pada minggu ini iaitu Emosi dan Ingatan. Tentu sekali peristiwa ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap emosi seseorang. Emosi dan ingatan terbahagi kepada dua komponen, kandungan emosi dan juga keadaan emosi(mood). Kandungan emosi akan mempengaruhi untuk kita mengingati peristiwa yang gembira berbanding yang membosankan atau yang menyedihkan jadi tidak hairanlah setiap individu kurang gemar untuk mengingati peristiwa yang meninggalkan kesan emosional yang kuat. Sudah tentulah perkara ini terang lagi bersuluh akan memberi kesan yang lebih kepada orang perempuan. Orang dewasa dapat mengawal emosi mereka lebih baik jika dibandingkan dengan remaja macam saya dan kurang mengingati informasi yang negatif. Lagipun, memori positif mengandungi konteks yang terperinci berbanding neutral atau memori negatif. Kanak-kanak yang mengalami masa lampau yang pahit seperti didera, dirogol dan dibuli sering kali berasa ketakutan kerana mereka senang mengimbau kembali peristiwa yang pernah menimpa mereka.

 

Emosi lain dalam tajuk ini ialah mengenai keadaan emosi atau lebih popular di kalangan kita dengan perkataan mood. Sesuatu mood akan mempengaruhi apa yang kita ingat dan lihat dalam kehidupan seharian dan diperincikan lagi terhadap dua pecahan, mood kongruens (mood congruence) dan mood pergantungan (mood dependence). Apa yang dimaksudkan dengan mood congruence ialah apabila kita berada dalam keadaan tertekan atau sedih, kita akan cenderung mengingati perstiwa yang negatif dan begitulah sebaliknya. Sebagai contoh, apabila saya rasa tertekan dalam belajar, saya akan mengingati keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang tidak memuaskan hati ibu dan ayah saya dan saya berasa amat takut sekiranya akan mengulangi peristiwa tersebut sekali lagi.

 

Selain itu, bahagian otak juga memainkan peranan dalam mempengaruhi emosi dan ingatan, antaranya ialah cerebellum, amygdala dan prefrontal cortex. Setiap bahagian ini mempunyai fungsi masing-masing dan amygdala yamg paling mempengaruhi emosi kerana mengesan setiap peristiwa yang menerjah masuk ke dalam otak kita yang manakah peristiwa yang paling memberi impak terhadap emosi seseorang dan juga berperanan untuk mengingatkan individu tersebut tentang peristiwa yang pernah berlaku. Biasanya yang dikesan adalah pengalaman emosi yang negatife seperti pernah diragut, dibuli dan sebagainya. Manakala paras emosi dan tugas pemikiran pula digabungkan dan diberi peranan terhadap prefrontal cortex dan cerebellum pula berfungsi dan terlibat dalam emosi yang kuat dan takut yang berpanjangan. 

 

Selain itu, jantina dan umur juga mempengaruhi seseorang dalam mengingati sesuatu peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup mereka. Wanita lebih cenderung untuk mengingati pelbagai perkara pada satu masa yang sama jika dibandingkan dengan lelaki manakala orang dewasa pula mudah melupakan peristiwa yang tidak menggembirakan mereka berbanding remaja atau kanak-kanak. Tidak hairanlah sekiranya dalam sesetengah subjek yang memerlukan para pelajar menghafal, pelajar perempuan dapat menghafal dengan baik dan sentiasa mendahului pelajar lelaki dalam peperiksaan. Pelajar lelaki pun apa kurangnya kerana mereka lebih mahir dalam bab-bab pengiraan berbanding wanita. Biasalah,setiap orang diciptakan dengan kelebihan dan keburukan masing-masing barulah ada variasi dalam kehidupan. Sekian dahulu,terima kasih.

No comments:

Post a Comment