Saturday 4 September 2010

A133756 AMANINA LJ07

Salam sejahtera. Pada minggu ini,saya telah didedahkan dengan tajuk Emosi dan Ingatan. Apa yang dapat saya simpulkan ialah emosi yang gembira lebih diingati berbanding emosi yang kurang menggembirakan. Sebagai contoh, fitrah manusia itu jikalau diberi pilihan pasti ingin hidup bahagia tanpa merasai derita. Jadi,ini secara tidak langsung membuatkan kita akan lebih mengingati perkara yang menggembirakan berbanding yang mendukacitakan. Saya paling gemar mengingati kembali emosi yang berkaitan perkara yang gmenggembirakan di sekolah pada suatu ketika dahulu. Hidup di asrama sebenarnya agak mencabar bagi seseorang yang dimanjakan, tidak terkecuali diri saya. Pelbagai pahit manis dirasakan ketika itu tetapi setelah saya menamatkan zaman persekolahan, itu semua menjadi satu memori yang gembira pada diri saya. Seterusnya, ingatan pada sesuatu peristiwa juga mampu bergantung pada keadaan emosi ketika itu. Contohnya, perkara yang menyedihkan berlaku ketika kita mengalami perasaan yang negatif seperti sedih,tertekan,marah dan sebagainya akan lebih diingati kerana perkara tersebut berlaku seiring dengan keadaan emosi. Keadaan ini pernah dialami oleh saya dan kawan-kawan saya. Kami ketika itu sedang sibuk membuat persediaan untuk menghadapi Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia. Perasaan ketika itu sangat berbaur malah lebih menjurus ke arah tertekan. Setelah selesai menjawab kertas peperiksaan pada hari pertama minggu peperiksaan, kami mendapat berita cikgu kesayangan kami telah meninggal dunia kerana cuba menyelamatkan pelajarnya yang lemas. Cikgu tersebut merupakan guru pengiring bagi lawatan sambil belajar pelajar-pelajar Tingkatan 4 yang sibuk menyiapkan projek mega sains mereka. Ini menyebabkan kami semua pelajar Tingkatan 5 berasa sangat sedih dan tidak bersemangat. Peristiwa itu sangat memberikan kesan yang mendalam dan diingati oleh kami semua. Selain itu,ingatan pada sesuatu peristiwa bergantung pada umur dan juga perbezaan jantina. Perempuan dikatakan lebih mengingati peristiwa yang berkaitan dengan emosi berbanding lelaki. Sebagai contoh, seseorang isteri lebih senang untuk mengingati ulang tahun perkahwinan berbanding suami kerana bagi seseorang perempuan, hari perkahwinan merupakan suatu hari yang tidak dapat dilupakan oleh dirinya kerana itu merupakan hari yang menggembirakan buat dirinya. Ibu bapa pula kalau dilihat lebih senang untuk mengingati peristiwa yang menggembirakan berbanding anak-anak yang lebih cenderung mengingati peristiwa yang membabitkan emosi negatif. Ini kerana, orang yang lebih tua dan berpengalaman mempunyai kemampuan untuk meningkatkan emosi positif berbanding emosi negatif. Sebab itu jikalau dilihat anak muda lebih mudah naik marah berbanding orang dewasa.Masakan tidak peribahasa darah muda mampu wujud dalam peribahasa melayu. Contohnya,makcik saya yang telah bercerai dengan suaminya. Anak-anaknya berasa sangat sedih dan tidak mampu melupakan peristiwa tersebut malah cenderung mengingati peristiwa yang kurang menggembirakan berlaku dalam keluarga mereka tetapi berbeza dengan makcik saya yang sentiasa tersenyum dan lebih cenderung mengingati perkara yang membahagiakan keluarga mereka suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment