Wednesday 15 September 2010

A133579 AHMAD SHUKERY BIN AZIZAN LJ08

          Ini adalah kali jurnal pertama yang wajib di buat tanpa perlu ke kuliah disebabkan cuti hari raya. Jurnal yang wajib kami buat untuk kali ini bertajuk emosi dan motivasi secara visual dan audio. Jika kita membaca nota yang disediakan sekali lalu, pasti kita tidak akan faham apa yang dimaksudkan dalam nota-nota yang diberikan. Emosi jika ditakrifkan memberi makna nada atau tona yang effektif. Ia sama ada positif atau negatif dan ia tidak sekali akan menjadi neutral. Jadi, apa pula maksud motivasi? Motivasi menurut pandangan-pandangan sarjana ialah kajian yang berkaitan dengan tingkahlaku yang mengarah kita dalam melakukan sesuatu. Emosi pula akan mendorong kita dalam melakukan sesuatu. Menurut Baron & Logan (1993), emosi tidak akan dapat dipisahkan dengan motivasi. Ia boleh di ibaratkan seperti isi dan kuku. Manakala menurut Lang et al (1992), emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional.
         Walaubagaimanapun, bukan dalam semua keadaan, emosi akan menjadi pendorong. Contoh paling terdekat apabila seseorang kuat makan atau kuat belajar. Saya ada seorang rakan dimana dia seorang yang kuat makan dan keinginannya untuk makan itu langsung tidak dipengaruhi oleh apa-apa emosi. Menurut teori James-Lange, emosi menyusul selepas berlakunya tindakan. Manakala menurut cabaran Cannon pula, emosi disusuli dengan tindakan. Teori dua faktor pula menyatakan rangsangan tentang bahaya akan diikuti dengan tindakan melarikan diri disebabkan oleh rasa takut, kemudian barulah akan datang emosi takut pada diri individu. Emosi bertindak sebagai tindakbalas adaptif dalam badan terhadap keadaan sekeliling dan membantu dalam menghubungkan niat kita kepada orang lain. Dalam erti kata lain, emosi membuatkan kita tersedar, mengambil tindakan untuk menghadapi sesuatu perkara. Bickhard (1997) ada menyatakan motivasi ialah salah satu aspek pemilihan. Ini bermaksud motivasi membuatkan seseorang membuat satu perkara berbanding dengan perkara lain.
          Insentif adalah setiap faktor (kewangan atau bukan kewangan) yang menyediakan motif untuk tindakan tertentu, atau dianggap sebagai alasan untuk memilih satu pilihan dengan alternatif seperti kewangan, moral dan paksaan. Instinct atau naluri merupakan sesuatu yang terpelajar, tetap mewarisi pola tindakan balas atau reaksi terhadap rangsangan jenis tertentu. Arousal pula adalah keadaan fisiologi dan psikologi yang terjaga. Orang termotivasi untuk mempertahankan tahap optimum daripada ghairah iaitu tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah.
           Selain itu, "Humanistic Teories' merupakan salah satu cadangan seorang pemikir barat, Abraham Maslow, dimana dia menyatakan motivasi dibahagikan kapada beberapa peringkat dari keperluan asas, keperluan psikologi dan keperluan peribadi. Abraham juga mengatakan bahawa apabila kita melakukan sesuatu perkara, kita seharusnya memenuhi bahagian bawah piramid sebelum meningkat ke atas. Keperluan asas seperti makanan, air dan tempat tinggal hendaklah dipenuhi, kemudian barulah kita mempunyai motivasi untuk terus maju. Contohnya, semasa saya di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dahulu, bekalan air di tangki KMJ ada ketikanya tidak mencukupi sehingga menyebabkan pelajar-pelajar terutamnya di setiap blok tidak dapat mandi. Malah ada yang mencari alternatif dengan mandi di tandas dewan kuliah dan masjid. Nasib baik dewan kuliah dan masjid berdekatan dengan blok pelajar. Hal ini akan menyebabkan emosi pelajar boleh terganggu terutama sekali untuk memulakan pelajaran pada hari tersebut. Walaubagaimanapun, teori ini mendapat banyak kritikan sesetengah pihak dan masyarakat.
          Kesimpulannya, emosi dan motivasi ada kaitan antara satu sama lain dan kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia sejagat. Ia merupakan pasangan yang boleh dikatakan ideal dimana jika tanpa salah satu daripadanya, manusia akan menjadi tidak normal. Begitulah keagungan ciptaan Allah dimana Ia menciptakan setiap perkara di dunia ini berpasang-pasangan.

No comments:

Post a Comment