Tuesday 14 September 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ08

Jurnal pembelajaran pada minggu ini agak istimewa bagi saya kerana kuliah dijalankan secara maya,iaitu pensyarah menyiarkan nota kuliah dan juga rakaman suaranya atas blog kursus untuk tujuan pengajaran. Saya yang tidak pernah menjalani kuliah dengan cara ini berasa ingin tahu tentang proses tersebut.Oleh itu,emosi ingin tahu ini bersifat motivasi dan mendorong diri untuk melayari blog kursus dan mendengar serta membaca kandungan kuliah dengan teliti - inilah tajuk kita pada minggu ini,iaitu Emosi dan Motivasi.

Emosi ditakrifkan dari segi nada yang berpengaruh positif atau negatif manakala motivasi ialah kajian tentang tingkah laku yang memandu kita ke sesuatu arah.Dalam kuliah yang lalu,kita telah memahami bahawa perasaan dan tingkah laku yang berkaitan hanyalah sebahagian daripada emosi.Emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi dan boleh bertindak sebagai motivasi terhadap sesuatu perbuatan,oleh itu motif boleh menjadi beremosi.Namun,motivasi tidak semestinya beremosi kerana terdapat motif-motif lain yang bersifat keperluan,antaranya motif fisiologikal dan motif pencapaian.

Pernyataan tersebut mengingatkan saya akan sesuatu perbuatan sendiri yang berdasarkan motivasi beremosi.Semasa di tingkatan 3,kawan saya pernah menceritakan terhadap saya adik sepupunya yang mengidap penyakit serius dan terpaksa tinggal di hospital.Disebabkan rasa simpati terhadap keadaan adik sepupunya,saya telah membuat suatu model sampan-sampan di atas laut yang melibatkan kesenian walaupun saya tidak mahir dalam teknik-teknik kesenian secara langsung.Model ini telah dihadiahkan kepada adik sepupu kawan saya,dan nasib baik dia telah pulih daripada penyakitnya dan hidup sihat selepas itu.

Turutan pembangkitan emosi telah banyak dibicarakan melalui teori-teori James-Lange,Cannon-Bard dan sebagainya,walau bagaimanapun emosi ditakrifkan secara umum sebagai sesuatu keadaan dirangsang yang melibatkan perubahan mimik muka dan tubuh badan serta semua unsur emosi yang dibentuk peraturan budaya.Oleh itu,keadaan yang sama mungkin menimbulkan persepsi yang berbeza dalam orang yang berasal dari budaya yang berbeza.Misalnya,orang lelaki sebaya di Timur Tengah biasa berpegang tangan sebagai simbol mereka berkawan karib.Orang lelaki Cina pula jarang berbuat begitu kerana terdapat kemungkinan bahawa jika dua orang lelaki yang berumur sebaya berpegang tangan mereka akan dianggap sebagai golongan homoseksual.Emosi merupakan respons kita yang menyesuaikan diri kita terhadap sekeliling kita yang sentiasa berubah untuk memudahkan diri berkomunikasi dalam situasi tersebut.Ia juga merangsang diri kita untuk bertindak dan menangani situasi tersebut.

Motivasi pula melibatkan aspek pemilihan tindakan yang lebih sesuai dan jangkaan terhadap peristiwa-peristiwa lanjutan daripada tindakan itu.Ia merupakan faktor-faktor dalaman dan luaran diri kita untuk merangsang kita supaya membuat sesuatu tindakan dalam waktu tertentu.Beberapa konsep yang berkaitan dengan motivasi termasuklah panduan dan insentif.Panduan bersifat dalaman dan bertujuan mengurangkan kehendak diri,contohnya dengan memenuhi kehendak tersebut.Insentif pula bersifat luaran untuk mendorong atau menolak sesuatu tingkah laku,contohnya ganjaran wang atau kenaikan pangkat sentiasa dibuat oleh orang atasan supaya orang bawahan mereka bekerja dengan lebih bertungkus-lumus.

Terdapat beberapa teori terhadap sifat-sifat motivasi,antaranya teori gerak hati,teori rangsangan dan teori kemanusiaan.Teori gerak hati mencadangkan bahawa motif adalah bersifat semula jadi,iaitu tidak dipelajari dan mungkin berunsur keturunan.Teori rangsangan menegaskan bahawa motivasi adalah perlu supaya kita berada di sesuatu tahap optimum untuk rangsangan emosi.Ia mengandungi motif ingin tahu agar kita lebih memahami keadaan sekeliling kita.Teori kemanusiaan pula menggunakan hieraki keperluan Maslow,iaitu satu piramid yang dibahagi kepada lima aras keperluan.Kita perlu memenuhi aras yang paling bawah sebelum mencapai keperluan yang bertahap lebih tinggi.

Aras yang paling bawah mewakili keperluan fisiologikal,iaitu unsur-unsur yang diperlukan supaya kita hidup.Tamadun-tamadun biasanya bermula di tepi sungai kerana tanah di sana subur dan mampu dimanfaatkan untuk menghasilkan makanan serta air sungai boleh dijadikan air minuman untuk kehidupan manusia.Selepas keperluan tersebut dipenuhi,tamadun bermula dan manusia mula mencari sesuatu tempat,misalnya gua untuk diduduki dan dijadikan kawasan tinggal (keperluan keselamatan).Sesuatu masyarakat mula terbentuk dengan manusia bergaul antara satu sama lain (keperluan sosial) sebelum mereka mula memahirkan diri dalam sesuatu bakat,misalnya kita sebagai mahasiswa-mahasiswi melanjutkan pelajaran dengan pengkhususan terhadap sesuatu bidang (keperluan maruah).Selepas kita bergelar graduan universiti dan mula bekerja,kita berusaha untuk mencapai prestasi yang terbaik,seperti yang termaktub dalam keperluan memenuhi kehendak jiwa diri iaitu keperluan terakhir dalam hieraki keperluan Maslow. Hieraki keperluan Maslow berjaya menjelaskan keperluan-keperluan kita secara berperingkat,akan tetapi ia dikritik kerana tidak dapat menggambarkan proses memenuhi keperluan secara tepat.Sesetengah keperluan tidak semestinya dipenuhi sebelum keperluan yang bertahap lebih tinggi dicapai.

Beginilah akhirnya jurnal pembelajaran saya pada minggu ini.Akhir kata,selamat bercuti dan Selamat Hari Raya kepada kawan-kawan beragama Islam.

No comments:

Post a Comment