Thursday 2 September 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ07

Sebelum memulakan jurnal pada minggu ini, izinkanlah saya tujukan suatu soalan: antara ilmu yang diajar dalam suasana yang bosan oleh pengajar yang sekadar menyebut ilmu itu tanpa nada beremosi dan ilmu yang diajar dalam suasana yang ceria oleh pengajar yang humor atau gemar membuat aksi kelakar, manakah yang lebih mudah diingati? Tentulah kalian akan menjawab bahawa ilmu lebih senang diingat jika diperoleh dalam suasana yang ceria, tetapi pernahkah kalian terfikir akan sebabnya? Adakah emosi mempengaruhi ingatan kita terhadap sesuatu peristiwa atau pengalaman?
 
Sebenarnya memang emosi dapat membantu dalam proses ingatan kita, namun ingatan ini bergantung kepada 2 faktor, iaitu faktor kandungan emosi dan keadaan emosi sendiri semasa peristiwa itu. Peristiwa yang melibatkan pengalaman emosi sendiri lebih mudah diingati daripada peristiwa yang lain, dan kadang-kala emosi itu begitu kuat dalam ingatan sehingga maklumat yang lebih penting atau terperinci dilupakan. Oleh itu, terbuktilah bahawa dalam peristiwa yang melibatkan pengalaman emosi, bukannya maklumat mengenai peristiwa tersebut tetapi pengalaman emosi itu yang menjadi punca utama kukuhnya ingatan kita.
 
Peristiwa yang melibatkan emosi positif adalah lebih senang diingati daripada peristiwa yang melibatkan emosi negatif dan mempunyai lebih maklumat dari segi deria dan konteks, serta fenomena ini menjadi lebih nyata apabila umur seseorang itu memanjang. Adalah dicadangkan bahawa hal ini kerana orang dewasa telah belajar mengawal emosi diri melalui pengalaman dan justeru kurang mendaftarkan emosi-emosi yang tidak senang. Begitu juga sebabnya ingatan terhadap emosi negatif mudah luntur berbanding dengan emosi positif. Seseorang yang terasa amat pedih terhadap sesuatu peristiwa mungkin tidak lagi terasa apa-apa selepas sesuatu jangka masa sama ada panjang atau pendek.
 
Faktor kedua dalam proses ingatan yang melibatkan emosi, iaitu keadaan emosi pula merangkumi aspek-aspek kesepadanan dan kebergantungan emosi. Sesuatu peristiwa beremosi lebih mudah diingati jika emosi diri pada masa itu adalah sepadan dengan emosi yang dilibatkan dalam peristiwa tersebut. Apabila peristiwa gembira dialami semasa kita sedang bersedih, peristiwa tersebut tidak senang diingati kerana kita kerap mengimbas kembali ingatan lampau yang beremosi negatif tetapi kurang mengingati peristiwa yang sedang berlaku pada masa itu. Kebergantungan emosi pula merujuk kepada berapa senangnya emosi lain yang sepadan timbul apabila sesuatu emosi sedang dialami.
 
Kajian telah menunjukkan bahawa kawalan emosi dapat menghindari seseorang itu daripada mengingati sesuatu peristiwa walaupun peristiwa itu beremosi. Kita juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa bagaimana emosi mempengaruhi ingatan kerana tidak wujudnya fakta bahawa sesuatu emosi itu akan melemahkan ingatan kita atau sebaliknya. Namun, adalah pasti bahawa sesuatu peristiwa lebih mudah diingati apabila emosi yang muncul itu adalah lebih kuat.
 
Dari segi fisiologikal, sesuatu peristiwa beremosi diingati melalui peranan 'amygdala' dalam otak kita. 'Amygdala' mengira kepentingan emosi itu dalam peristiwa tersebut dan memberi signal kepada minda kita untuk memberi perhatian terhadap emosi itu. Walau bagaimanapun, peranan 'amygdala' adalah lebih terhadap emosi negatif. Bahagian otak yang lain juga bertanggungjawab dalam proses ingatan, misalnya 'cerebellum' yang mengawal pergerakan kita juga dapat mengingat sesuatu emosi terutamanya ketakutan dalam jangka masa panjang. Terdapat kemungkinan bahawa hal ini adalah punca kita menggigil apabila terasa ketakutan yang amat sangat. Selain itu, 'prefrontal cortex' juga terlibat dalam proses ingatan, di mana kajian menunjukkan bahawa bahagian otak ini terangsang melalui gabungan tugasan minda dan keadaan emosi tetapi bukanlah hanya salah satu daripada mereka.
 
Jantina dan umur seseorang dapat mempengaruhi ingatan. Terdapat bukti bahawa golongan wanita dapat mengingati sesuatu peristiwa beremosi dengan lebih kukuh dan terperinci berbanding dengan lelaki, terutamanya emosi yang dialami dalam peristiwa tersebut. Orang yang lebih tua pula lebih mudah melupakan peristiwa yang beremosi negatif berbanding dengan peristiwa yang beremosi positif. Hal ini adalah sebaliknya dengan orang yang lebih muda, di mana pengurusan emosi mereka adalah kurang sempurna berbanding dengan orang tua.
 
Kesimpulannya, emosi terlibat dalam segala proses ingatan kita. Tanpa emosi, sesuatu peristiwa lebih sukar diingati, akan tetapi hal ini juga dipengaruhi oleh jantina, umur, dan kebolehan seseorang itu untuk mengawal emosi sendiri apabila peristiwa dialami. Emosi juga berkaitan dengan perhatian, di mana perhatian terhadap sesuatu emosi itu membantu kita dalam proses ingatan. Misalnya, jika kita tidak memberi perhatian terhadap teguran ibu bapa, kita tidak akan terasa apa-apa.
 
Akhirnya jurnal saya pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment