Friday 17 September 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ07

Pada minggu ketujuh perkuliahan, kami telah didedahkan kepada hubungkait yang wujud antara emosi dan ingatan. Mengikut kajian pakar psikologi, otak manusia mampu menyimpan memori dengan lebih baik jika ianya disandarkan pada emosi tertentu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam keadaan seseorang itu lebih terdorong untuk mengingati peristiwa yang mengandungi nilai emosi yang mendalam berbanding perkara harian yang dijalani seseorang itu. Sebagai contoh, secara lazimnya kita sering mudah mengingati perkara yang mempunyai kepentingan emosi bagi kita seperti kelahiran ahli keluarga baru.

Adakah saya mampu memahami pelajaran dengan lebih mudah jika saya memanipulasi kegunaan emosi ini dalam proses pembelajaran saya? Jika difikir secara logik, perkara ini memang tidak mustahil cuma agak sukar diimplimentasi sama ada dalam sukatan pelajaran kita mahupun dalam tabiat menelaah pelajaran. Sebagai mahasiswa atau mahasiswi, kita perlu sedar akan kepentingan mengawal hala tuju pembelajaran kita. Oleh itu, seorang mahasiswa atau mahasiswi itu hendaklah mempunyai genggaman yang kuat terhadap pengawalan emosi kita sendiri ketika belajar. Kebarangkalian untuk seseorang itu terlepas fakta yang perlu diingat adalah lebih tinggi jika dia dibelenggu emosi yang tinggi intensitinya sejurus selepas dia diberitahu tentang fakta tersebut.

Apa benda menarik yang saya dapati dari pelajaran minggu ini ialah emosi yang positif dapat membantu kita mengingati sesuatu peristiwa itu dengan lebih khusus dan terperinci berbanding emosi negatif. Namun, sesetengah emosi negatif seperti perasaan sedih ketika kehilangan seseorang juga mampu menambah kebolehan kita untuk mengingati peristiwa itu. Seterusnya, mengikut kebiasaan kita memang sukar untuk mengingati perkara yang kita buat hari-hari seperti kerja rumah dan sebagainya. Atas sebab inilah manusia seeloknya mengembangkan perspektifnya terhadap dunia dengan memperluaskan interaksinya dengan pelbagai aktiviti yang beraneka latar. Dengan itu barulah seseorang itu mampu menjalani hidupnya dengan lebih bermakna.

Seterusnya, kita mampu mengingati perkara-perkara yang memalukan kita untuk jangka masa yang agak panjang. Sebagai contoh, peristiwa yang memalukan seperti terjatuh di perhimpunan akan kita ingati dan disimpan di dalam memori kita agar ianya tidak akan berulang lagi. Namun lama kelamaan emosi malu itu akan bertukar menjadi emosi menerima seadanya dan pada ketika inilah baru kita mampu menghargai kenangan itu.

Untuk menjawab persoalan yang saya utarakan sebentar tadi, bagi saya ya, saya boleh memperbaiki teknik belajar saya dengan menerapkan emosi dalam proses pembelajaran saya. Apa yang saya boleh buat ialah menerima maklumat yang baru dengan perasaan ingin tahu dan seronok agar ianya dapat direkodkan dalam otak saya untuk jangka masa yang lebih panjang. Dewasa ini, pelajar semua berlumba-lumba hendak mendapat markah yang terbaik, gred yang terbaik sehingga mereka lupa akan sebab sebenar mereka belajar. Pelajaran bukan sahaja menjadi keperluan untuk kita berjaya dalam hidup mahupun untuk kita peroleh gaji yang lumayan di masa kelak. Minda kita dahagakan ilmu sepanjang masa, oleh itu kita bertanggungjawab memenuhi keperluan minda kita. Tambahan pula, proses penerimaan ilmu wajar dianggap sebagai sesuatu yang seronok dan bukanlah sebagai beban kepada pelajar. Atas kefahaman ini, sepatutnya emosi memainkan peranan penting untuk kita memproses maklumat baru setiap hari terutama dalam pelajaran. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment