Friday 3 September 2010

A127070 Sakinah LJ07

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah kita iaitu Encik Zamri dan rakan-rakan seperjuangan. Pada minggu ini, kami telah diberi kuliah tentang Emosi dan Ingatan. Pada permulaan kuliah, kami ditunjukkan dengan video tentang tragedi tsunami yang menyayat hati. Walaupun saya merasa marah apabila mengenangkan tentang sikap rakyat Indonesia terhadap Malaysia, saya tetap merasa sedih melihat nasib yang menimpa mereka suatu ketika dahulu. Sememangnya, emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan tidak dapat dikawal sepenuhnya. 

            Kuliah pada kali ini mengajar kami tentang perkaitan antara emosi dan ingatan. Terdapat persoalan tentang adakah emosi membantu kita mengingati sesuatu? Jawapan yang akan diperolehi pasti akan mengejutkan kita semua. Terdapat dua elemen penting dalam menjawab persoalan ini. Elemen yang pertama ialah kandungan emosi dan kesan emosi yang dialami terhadap pembelajaran dan ingatan kita. Manusia didapati mengingati peristiwa yang melibatkan emosi yang menarik berbanding dengan peristiwa yang melibatkan emosi yang membosankan. Bagi kaum wanita, ingatan mereka lebih kuat mengenai peristiwa yang memberi kesan emosi yang mendalam. Kenangan positif mengandungi butiran lebih kontekstual yang akan membantu memori. Selain itu, maklumat yang tidak penting tidak akan membantu dalam memori manusia.

            Elemen lain yang terdapat dalam emosi ialah perasaan atau suasana hati. Perasaan akan memepengaruhi perkara yang dilihat dan dikodkan. Ia terbahagi kepada perasaan keselarasan dan perasaan pergantungan. Keadaan perasaan kita mempengaruhi daya ingatan kita. Dalam kata lain, semakin kuat emosi terangsang, semakin kuat daya ingatan kita. Sebagai contoh, saya merasa sangat sedih kerana suatu peristiwa. Oleh itu, keadaan ini membuatkan saya mengingati peristiwa ini dengan lebih kuat berbanding dengan peristiwa lain. Pernah pada suatu ketika, saya merasa amat berkecil hati dan sangat sedih dengan sikap rakan sekelas. Pada masa itu, terdapat sekumpulan rakan sekelas membuat perancangan untuk ke suatu tempat. Walaubagaimanapun, saya dan beberapa rakan lain tidak diajak untuk turut serta, malahan, kami tidak tahu langsung tentang hal itu sehinggalah pada hari mereka ingin ke sana. Maka, perasaan sedih yang lahir dari hati membuatkan saya dan rakan senasib tidak dapat melupakan hal itu. Namun begitu, kami cuba melupakannya dan menganggap ia tidak memberi sebarang kesa di dalam hidup kami walaupun pada hakikatnya kami sedih dan tidak dapat melupakan hal tersebut.

            Amygdala ialah kawasan otak yang paling banyak terlibat dalam memori emosional. Amygdala mempunyai kesan yang kuat terhadap peristiwa yang melibatkan emosi negatif. Namun begitu, bukan hanya amygdala yang terlibat dalam interaksi yang kompleks. Otak kecil, yang paling sangat berkaitan dengan kemampuan koordinasi motorik, juga mungkin terlibat dalam mengingati emosi yang kuat, khususnya, dalam konsolidasi kenangan jangka panjang dari rasa takut. Sebahagian dari korteks prefrontal juga nampaknya terlibat. Satu kajian mendapati bahawa daerah korteks prefrontal itu bersama-sama dipengaruhi oleh kombinasi dari keadaan mood dan tugas kognitif, tetapi tidak oleh salah satu saja.

            Terdapat juga perbezaan dalam memori emosional bagi golongan tertentu. Ia dapat dilihat dari segi umur dan jantina. Perempuan dan lelaki mempunyai cara yang berbeza dalam memproses emosional memori. Perempuan lebih baik mengingat ingatan emosional. Mereka juga nampaknya lebih cenderung untuk melupakan maklumat yang disajikan sebelum maklumat emosional. Sebagai contoh, perempuan lebih peka terhadap tarikh penting dalam hidup berbanding dengan lelaki seperti tarikh ulang tahun, hari jadi dan sebagainya. Terdapat juga perbezaan dari segi usia. Kecenderungan untuk membiarkan kenangan yang tidak menyenangkan hilang lebih cepat daripada kenangan yang menarik menjadi lebih kuat apabila kita semakin berusia. Ini mungkin merupakan cerminan dari kemampuan orang tua untuk menetapkan emosi mereka lebih berkesan daripada orang muda, dengan mempertahankan perasaan positif dan menurunkan perasaan negatif.

            Kesimpulannya, kuliah pada minggu ini memberi maklumat yang sangat berguna kepada semua orang. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa terdapat beberapa perbezaan untuk mengingati sesuatu peristiwa yang beremosi berdasarkan faktor-faktor yang tertentu. Sekiranya kita tidak didedahkan dengan kuliah pada minggu ini, kita mungkin tidak sedar tentang persoalan mengapa golongan lelaki kurang mengingati peristiwa-peristiwa tertentu dalam hidup mereka berbanding dengan perempuan. Sekian.


No comments:

Post a Comment