Friday 3 September 2010

A123875 Nurul LJ07

Bismillahirrahmanirrahim..

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi.  Masa begitu cepat berlalu. Syawal pula bakal disambut oleh umat Islam seluruh dunia. Semua begitu seronok untuk menyambut hari raya.  Berlainan dengan diriku.  Hari raya ataupun tidak bagaikan tiada bezanya.  Teringat aku kepada kenangan-kenangan yang lepas. Tahun lepas, aku berfikir beratus-ratus kali, "Apakah aku harus pulang beraya tahun ini?".  Konflik yang berlaku itu menjadikan aku tidak mahu pulang ke rumah, walaupun rasa rinduku kepada ibu membuak-buak.  Apa sebenarnya konflik yang berlaku? Biarlah ia menjadi rahsia antara kami dan Allah.  Aku tekad untuk menyambut hari raya di UKM. Biarlah aku keseorangan di hari raya, daripada aku terluka di pagi raya.  Namun tekadku itu akhirnya menjadi rapuh apabila mengenangkan ibuku.   Aku gagahkan hati untuk tetap pulang ke rumah.  Oh ibu, sanggup  aku gadaikan segalanya untuk melihat ibu gembira kerana ibu sudah lama sengsara.  Akhirnya, sehari sebelum raya, aku pulang menemui ibu tersayang.  Waktu itu, hatiku merasa sangat sedih.  Kami anak beranak menangis bagaikan anak kecil.  Dan hari raya esoknya, aku menyalam semua ahli keluargaku.  Rasa sebak dan sedih mula menguasai hati ini.  Ia bagaikan kali pertama keluarga kami berkumpul dan meminta maaf antara satu sama lain.  Sudah lama aku tidak menatap wajah ayahku.  Kesibukan masing-masing membataskan komunikasi antara kami.  Aku tidak pernah mengatakan bahawa aku sayang pada ayah.  Dan pagi  itu, aku melafazkan bahawa aku sayang akan ayah untuk pertama kalinya dalam hidupku.

 Wahai insan, walau bagaimanapun kekurangan ibubapa kita, walau marah macammanapun kita pada mereka, walau seburuk manapun mereka, jangan sesekali kita durhaka pada mereka.  Kasihlah pada mereka seperti mana mereka mengasihi kita.  Dan ingatlah, ucaplah kata-kata sayang kepada mereka sementara mereka masih lagi ada di dunia ini.

Walaupun semua memori itu lalu telah lama berlaku, namun, ingatanku terhadapnya masih lagi segar diingatan.  Ini adalah kerana emosi yang kita alami sewaktu sesuatu peristiwa memainkan peranan di mana ia member kesan yang kuat kepada ingatan. Inilah yang tajuk yang aku pelajari untuk kuliah pengurusan emosi pada minggu ini.  Sesuatu peristiwa walaupun ianya adalah peristiwa yang kecil, namun, jika ia melibatkan emosi, ia akan kekal dalam ingatan dalam jangka masa yang panjang. 

Bahagian otak yang terlibat dalam hubungan emosi-ingatan adalah Amygdala, cerebellum dan prefrontal cortex.  Selama aku belajar tentang ilmu biologi, aku tidak pernah mendengar perkataan Amygdala.  Ini adalah satu ilmu sains baru yang aku perolehi, namun kali ini bukan aku pelajari di dalam kelas sains, tetapi di dalam kelas aliran sastera.  Sesuatu yang menarik bagiku.

 Walaupun emosi member kesan yang kuat terhadap ingatan, namun, bukan semua peristiwa yang beremosi itu akan diingati.  Secara lumrahnya, wanita lebih kuat daya ingatan daripada lelaki.  Ini adalah kerana terdapat perbezaan dari segi cara mereka memproses maklumat. Terdapat juga perbezaan bagi golongan yang berusia dan golongan muda. 

Kesimpulannya, emosi boleh memberi kesan kepada ingatan seseorang.


No comments:

Post a Comment