Wednesday 29 September 2010

A123147 Syuhaidah LJ10


 Perkuliahan pada minggu ini adalah melibatkan perbincangan mengenai kebijaksanaan emosi (EI). Saya masih ingat semasa saya tahun satu, semua pelajar tahun satu yang berjaya  menempatkan diri di UKM telah diminta untuk memberikan respons kepada satu alat ukur yang dikenali sebagai Malaysian Emotional Quotient Inventory (MEQI-U) versi universiti yang dibina dalam talian untuk menentukan indeks kepintaran emosi pelajar. Kami telah diberikan selama tempoh tiga minggu bermula minggu pertama berada di UKM dan diwajibkan memberikan respon terhadap alat ujian tersebut dengan melayari laman web beralamat http://www.ukmholding.ukm.my/meqi. Oleh itu, MEQI yang dibina oleh sekumpulan penyelidik dari UKM merupakan antara alat ukur kepintaran emosi pelajar universiti. Selain itu, terdapat beberapa model yang berkaitan dengan EI seperti The Emotional Competencies (Goleman) model, Ability Based model, The Bar-On model of Emotional-Social Intelligence (ESI), dan The trait EI model.

 

Menurut satu artikel yang saya baca, minat dunia moden terhadap konsep kebijaksanaan emosi ini bermula melalui penulisan-penulisan awal tentang kecerdasan emosi oleh Mayer dan Salovey (1990). Malah mereka adalah kumpulan yang pertama menggunakan istilah kepintaran emosi atau "emotional intelligence". Mereka melihat kepintaran emosi sebagai kebolehan seseorang untuk memantau perasaan sendiri dan perasaan orang lain serta membezakan antara perasaan-perasaan tersebut untuk membimbing pemikiran dan tingkah laku. Namun, konsep ini mula menjadi perhatian ramai apabila Daniel Goleman menulis buku beliau yang bertajuk "Emotional Intelligence" dalam tahun 1995 dan "Emotional Intelligence at Work Place" pada tahun 1998. Kedua-dua buku ini telah membuka minda bukan sahaja orang ramai, malah ahli akademik terhadap isu ini yang mula membincangkan serta mengkajinya daripada pelbagai sudut.

 

Menurut Goleman bahawa individu dengan kepintaran emosi yang tinggi berupaya melakukan sesuatu tugas dengan jayanya, mempunyai kebolehan mengurus emosi sendiri dan orang lain serta mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya. Goleman telah membahagikan aspek EI kepada empat elemen iaitu melibatkan self-awareness, self-management, social awareness dan relationship management. Self-awareness dan self-management melibatkan aspek personal, manakala social awareness dan relationship management melibatkan aspek sosial.

Kesedaran kendiri didefinisikan sebagai kebolehan mengenalpasti, mengetahui dan mengiktiraf emosi. Selain itu, keupayaan mengawal perasaan terhadap pemahaman berkaitan psikologi dalam diri seseorang terdapat dalam kategori ini. Tanpa kesedaran kendiri, individu tidak mampu membina makna hasil daripada tindakan dan responnya terhadap persekitaran. Dunia persekolahan misalnya, melibatkan peperiksaan, ujian, kerja rumah, tuntutan aktiviti kurikulum dan kokurikulum serta tuntutan guru dan harapan ibu bapa adalah faktor yang menyumbang kepada ketidakstabilan emosi atau tekanan dalam kalangan pelajar. Keadaan ini dapat dilihat kepada pelajar yang mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi mampu menangani ketidakstabilan emosi yang berpunca daripada tekanan dengan positif. Sebaliknya, pelajar yang tidak mampu memahami punca tekanan emosinya dan seterusnya tidak mampu mencari jalan keluar bagi menanganinya akan berakhir dengan krisis identiti serta tekanan. Oleh itu, kesedaran dalam diri dapat memberikan kefahaman yang mendalam kepada emosi.

 

Elemen seterusnya ialah pengurusan kendiri. Elemen pengurusan kendiri dalam EI termasuklah mengawal diri, penyesuaian diri, inisiatif, jujur dan optimis. Elemen ini juga merujuk kepada kebolehan individu bagi menentukan hala tuju, serta kebolehaan bagaimana sesuatu perkara itu boleh berlaku dan seterusnya mampu membuat keputusan bagi diri sendiri. Melalui elemen pengurusan kendiri, saya dapat katakan bahawa sebilangan besar daripada golongan guru mempunyai kemahiran tinggi dalam mengurus. Oleh itu, guru pastinya berupaya menggunakan teknik-teknik yang sesuai berdasarkan ciri-ciri di bawah elemen pengurusan kendiri untuk mengasah potensi yang dimiliki oleh pelajar daripada segi pengurusan masa, pengurusan diri dan pengurusan emosi. Situasi ini seterusnya dapat membantu pelajar membina kebolehan kesedaran kendiri seperti merancang, mengurus dan mengadaptasi aktiviti pembelajaran dengan kehidupan seharian.

 

Elemen kesedaran sosial pula merupakan kemampuan merasakan, memahami dan bertindak balas dengan emosi lain dalam perhubungan sosial. Kesedaran sosial pula melibatkan aspek seperti empati, kesedaran organisasi dan lain-lain. Empati merujuk kepada kebolehan seseorang individu menyedari dann memahami perasaan orang lain. Seterusnya, nilai ini mampu menjalinkan perhubungan yang erat dengan pelbagai pihak. Contohnya, pensyarah yang mempunyai kemahiran empati perlu menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat meningkatkan empati dalam kalangan pelajar melalui pelbagai kaedah. Kuliah Encik Zambri telah menggunakan elemen ini melalui ceritanya tentang 33 pekerja lombong yang terperangkap hampir satu kilometer di dalam tanah. http://besutkito.blogspot.com/2010/09/masih-hidup-walau-terperangkap-53-hari.html. Oleh itu, elemen ini dapat diterapkan dalam kalangan pelajar dengan melatih pelajar dengan kemahiran mendengar, menganalis sesuatu kejadian dan peristiwa, meluahkan pendapat dan seterusnya mengaitkan pengajaran dengan keadaan semasa.

 

Kesimpulannya, kebijaksanaan emosi merupakan satu konsep yang sangat relevan untuk membina dan memperkembangkan potensi sumber manusia yang ada. Selain itu, kepintaran emosi juga mempunyai hubungkait dengan kebolehan kognitif serta kecekapan seseorang menyelesaikan sesuatu tugas dengan baik.

 

           

 

           

 


No comments:

Post a Comment