Saturday 4 September 2010

A123147 Syuhaidah LJ08

Perkuliahan yang dilakukan melalui audio pada minggu ini adalah berkisar tentang emosi dan motivasi.

Emosi dan motivasi adalah saling berhubung rapat. Emosi mendorong kita kepada melakukan sesuatu tindakan sama ada tingkah laku yang positif atau negatif. Seseorang bersemangat melakukan sesuatu perkara disebabkan didorong oleh emosi. Misalnya, sesebuah ahli dalam keluarga mungkin bersemangat untuk menyiapkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti membeli baju baru, membuat kuih raya, mengemas rumah dan sebagainya kerana memikirkan ramai kenalan akan datang berkunjung ke rumah. Tingkah laku membuat segala persiapan itu sebenarnya didorong oleh emosi tentang keseronokan untuk menyambut hari raya. Jadi tingkah laku seseorang didorong oleh emosi. Namun, emosi juga mendorong tingkah laku negatif. Contohnya, sesetengah individu juga berkemungkinan melakukan perbuatan jenayah seperti mencuri dan merompak bagi memenuhi keperluan keluarga untuk melakukan persiapan menyambut hari raya. Tindakan negatif tersebut mungkin didorong oleh emosi kasihan dan sayang  terhadap keluarga tanpa mempedulikan apa yang betul dan salah daripada tindakan mereka.

Selain itu, terdapat juga perbezaan dalam melahirkan emosi mengikut budaya. Cara antara sesuatu budaya dengan budaya lain dalam masyarakat melahirkan emosi adalah berbeza. Contohnya, masyarakat Barat dikatakan lebih mudah dalam melahirkan emosi mereka berbanding masyarakat Timur yang tidak melahirkan emosi secara terbuka. Emosi juga mencetuskan satu keadaan yang kita ingin lakukan. Contohnya, saya selalu bergerak pantas selepas perkuliahan tamat kerana takut akan ditinggalkan bas untuk balik ke kolej kediaman. Jika saya tertinggal bas saya terpaksa menunggu bas yang berikutnya iaitu 30 minit lagi dan situasi ini akan menyebabkan saya bosan.

Disamping itu, terdapat juga beberapa konsep dan teori dalam motivasi.  Contohnya, naluri, dorongan dan insentif. Naluri dalam konteks motivasi adalah berkaitan dengan dorongan biologi atau keinginan dalaman atau desakan untuk melakukan sesuatu perkara. Terdapat beberapa tingkah laku yang universal bagi manusia seperti naluri untuk makan dan minum. Insentif pula melibatkan motivasi yang dipengaruhi oleh ransangan luaran iaitu insentif yang mengarah dan mengerakkan tingkah laku. Insentif juga adalah objek atau peristiwa luaran yang disukai atau tidak disukai yang cuba diperoleh atau dielakkan. Feldman, 1994 menerangkan bahawa insentif merupakan ransangan luaran yang dianggap sebagai ganjaran yang akan mempengaruhi tingkah laku. Namun begitu, kita juga boleh tertarik kepada insentif tertentu seperti makan aiskrim tetapi keadaan dalaman badan kita tidak memerlukannya seperti tidak rasa lapar. Hal ini disebabkan kita kadangkalanya cuba memenuhi pelbagai keperluan walaupun insentifnya tidak ada. Oleh itu, insentif dan desakan akan bekerjasama dalam memotivasikan tingkah laku.

Seterusnya, salah satu teori motivasi yang terkenal ialah teori hierarki keperluan Maslow yang mencadangkan keperluan-keperluan motivasi berbeza terdapat dalam satu hierarki yang bentuk piramid. Saya telah merujuk buku psikologi untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas tentang teori ini. Terdapat lima peringkat dalam teori ini iaitu keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan pencapaian kendiri. Teori hierarki keperluan Maslow adalah penting kerana menekankan bahawa selagi keperluan-keperluan asas biologi tidak dipenuhi, manusia secara relatifnya tidak akan mempedulikan tentang keperluan-keperluan yang lebih tinggi. Jika dalam situasi manusia lapar, motif utamanya adalah untuk mendapatkan makanan, jadi mereka tidak akan mempedulikan tentang perkara-perkara seperti kasih sayang dan penghargaan kendiri. Teori ini dapat menjelaskan tentang hakikat mengapa mangsa-mangsa bencana seperti kebuluran dan peperangan mengalami keretakan dalam hubungan kekeluargaan yang normal dan tidak mempedulikan kebajikan orang lain melainkan kepentingan diri sendiri.

Lazimnya, apabila berlaku sesuatu bencana seperti banjir yang berlaku di Pakistan mangsa-mangsa banjir amat memerlukan bantuan segera terutamanya bantuan bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan dan pakaian. Mereka berasa hidup mereka umpama telur di hujung tanduk. Jadi, apabila terdapat bantuan makanan contohnya, disalurkan kepada mereka, mereka terpaksa berebut-rebut sesama sendiri untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan. Pelbagai emosi yang mereka alami akibat bencana banjir tersebut mendorong mereka bertindak sedemikian. Selain itu, terdapat juga sesetengah individu yang tidak mementingkan keperluan asasnya, sebaliknya mementingkan pencapaian kendirinya sahaja. Contohnya, dalam keadaan tertentu terdapat golongan yang terlalu mementingkan kerjayanya sehingga mengabaikan keperluan bawahannya seperti keperluan fisiologi, keselamatan dan kasih sayang. Situasi ini juga menunjukkan bahawa emosi seseoarng yang terlalu ekstrem untuk memenuhi keinginannya telah mendorong dan memotivasikan dirinya untuk bertindak dengan cara yang sedemikian.

Konklusinya, emosi dan motivasi adalah saling mempunyai perhubungan yang rapat. Emosi lebih menekankan kepada kebangkitan iaitu melibatkan perasaan-perasaan tertentu. Manakala motivasi pula lebih menekankan kepada tingkah laku.

 


No comments:

Post a Comment