Thursday 2 September 2010

A123147 Syuhaidah LJ07

Perkuliahan pada minggu ini adalah mengenai perkaitan antara emosi dan ingatan. Emosi dan ingatan terbahagi kepada dua elemen iaitu kandungan emosi dan keadaan emosi.

Kandungan emosi merupakan perkara yang boleh meninggalkan ingatan kepada diri seseorang. Contohnya, pada saat sekarang, saya masih dapat mengingat dengan jelas betapa gembiranya saya apabila mendapat tawaran kemasukan ke UKM dan mendapat pilihan bidang yang sememangnya saya mahukan. Masih terbayang-bayang dalam ingatan saya apabila saya terus melompat kegembiraan dan terus memeluk erat ibu bapa saya. Peristiwa ini juga mempunyai persamaan dengan rakan-rakan saya yang lain. Hal ini disebabkan rakan-rakan saya juga kadang-kalanya akan menceritakan kembali pengalaman yang mereka alami ketika mengetahui diterima masuk ke UKM walaupun tanpa diminta menceritakannya. Oleh itu, pengalaman positif yang dialami sendiri oleh seseorang individu akan lebih mudah diingati dalam diri seseorang.

            Elemen kedua dalam emosi dan ingatan adalah keadaan emosi (mood). Kesan daripada keadaan emosi yang dialami pula mendatangkan dua kesan iaitu kesepadanan emosi dan kebergantungan emosi. Kesepadanan emosi merujuk kepada sesuatu peristiwa yang berpadanan dengan keadaan emosi yang kita alami. Kebergantungan emosi pula merupakan emosi daripada sesuatu peristiwa adalah lebih mudah diingati jika emosi kita  berpadanan dengan peristiwa tersebut.

            Misalnya, merujuk kepada kesepadanan emosi, semasa seseorang berada dalam keadaan tertekan, individu tersebut mempunyai kecenderungan untuk mengingati peristiwa-peristiwa negatif. Semakin kuat emosi seseorang teransang terhadap sesuatu peristiwa, semakin besar kesannya terhadap ingatannya. Seseorang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya contohnya, akan mengalami tekanan yang kuat apabila hanya dirinya seorang sahaja yang terselamat manakala ahli keluarganya yang lain terkorban. Pengalaman yang dialaminya membuatkan mereka yang pernah mengalami keadaan seperti tersebut akan sentiasa mengingat kejadian yang menimpa diri mereka. Hal ini disebabkan ingatan seseorang bergantung kepada pengalaman.  Jika, kita dalam keadaan tertekan atau kesedihan apabila berhadapan dengan sesuatu perkara, secara automatiknya kita juga cenderung untuk mengingat perkara-perkara negatif lain yang telah berlaku kepada diri kita. Tekanan yang hebat dalam diri individu pula akibat sesuatu kejadian boleh mendatangkan kesan seperti fobia atau trauma dalam menjalani kehidupan.

            Contoh bagi kebergantungan emosi pula boleh diterangkan seperti jalan cerita yang dipaparkan dalam filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB). Saya agak sedih dan tersentuh apabila melihat Khairul Azzam terlibat dalam kemalangan. Kemalangan yang berlaku tersebut mengingatkan kepada ayah saya. Hal ini disebabkan keadaan yang dialaminya seperti kesusahan untuk bergerak, rawatan dan pemulihan yang dilakukan akibat daripada kemalangan hampir menyerupai dengan kejadian akibat kemalangan yang menimpa ayahnya saya. Jadi, kita mempunyai kecenderungan untuk mengingati sesuatu peristiwa jika kejadian yang dialami tersebut melibatkan keadaan emosi.

            Seterusnya, terdapat juga perbezaan antara jantina dan umur seseorang terhadap ingatan. Golongan wanita adalah lebih mudah dipengaruhi oleh emosi dan lebih mudah mengingat sesuatu peristiwa yang beremosi dengan lebih lama berbanding dengan lelaki. Sementara itu, orang yang lebih berumur pula adalah lebih mudah melupakan peristiwa yang melibatkan emosi negatif  berbanding dengan persitiwa yang beremosi positif.

            Berdasarkan pembacaan saya daripada buku The Female Brain, Brizendine (2006), mengatakan bahawa wanita lebih mahir dalam mengingati sesuatu peristiwa berbanding dengan lelaki kerana otak wanita mempunyai struktur  yang berbeza dan mengandungi satu bahan kimia yang berbeza daripada lelaki. Perbezaan yang paling jelas antara lelaki dan perempuan ialah otak wanita mempunyai "hippocampus" yang amat besar di mana ia merupakan organ dalam otak yang berfungsi dalam menyimpan emosi dan mengeluarkan pembentukan ingatan. Selain itu, terdapat juga ibarat yang mengatakan bahawa emosi lelaki ibarat getah, manakala emosi perempuan ibarat ombak. Lantas, orang lelaki jika marah atau merajuk tidak lama. Marah permpuan pula adalah agak lama.

Kesimpulannya, ingatan sememangnya mempunyai kaitan dengan emosi seseorang. Kehadiran emosi memudahkan sesuatu perkara diingati. Ingatan juga boleh dipengaruhi oleh beberapa aspek seperti umur dan jantina. Ingatan seseorang juga adalah bergantung kepada pengalaman. Seterusnya, pengalaman yang dialami akan meninggalkan kesan kepada otak kita.  

 

 


No comments:

Post a Comment