Thursday 23 September 2010

A123114 DILA LJ09

Tajuk kuliah minggu ini membicarakan tentang Emosi, Personaliti dan Tingkah Laku. Seperti yang kita ketahui setiap manusia mempunyai personaliti yang berbeza tidak kira individu itu kembar seiras atau tidak. Walaupun seseorang itu kembar, tetapi pasti terdapat perbezaan dari segi personaliti mereka. Personaliti ini boleh terbentuk melalui pewarisan genetik atau persekitaran di mana seseoarang itu berada dan membesar dan serta pengalaman. Melalui kuliah ini juga saya dapat memahami perhubungan di antara emosi, personaliti dan tingkah laku. Setiap manusia berbeza dari segi reaksi emosi walaupun ketika berhadapan peristiwa yang sama. Semua perbezaan ini ada kaitan dengan personaliti individu. Oleh itu, emosi dan personaliti berguna dari segi membezakan individu.  Menurut Allport (1966), personaliti ialah suatu organisasi yang dinamik dalam diri individu yang merangkumi sistem psikofizikal yang menentukan bagaimana individu menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Dalam buku Psikologi Untuk Golongan Profesional, personaliti ini merujuk kepada suatu integrasi organisasi ciri-ciri yang dinamik yang merangkumi aspek fizikal, mental, dan kualiti-kualiti sosial yang dipunyai oleh individu, yang dapat menggambarkan bagaimana individu itu akan bergerakbalas  terhadap dirinya, orang lain serta objek sekelilingnya.

 

            Jenis personaliti seseorang boleh dibahagikan kepada dua iaitu jenis personaliti A dan jenis personaliti B. Individu yang jenis A kebiasaannya adalah mementingkan masa, tidak sabar, mempunyai jangkaan pencapaian yang tinggi, suka bertanding dan lain-lain lagi. Jika dikaitakan dengan personaliti ini dengan emosi mereka adalah individu yang senang untuk marah jika lambat menyiapkan kerja. Disebabkan mempunyai emosi yang tinggi mereke sering berhadapan dengan tekanan dan secara tidak langsung akan berhadapan dengan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Perkara ini berlawanan dengan individu jenis personaliti B. mereka yang berpersonaliti ini tidak terburu-buru, tenang, dan sering membuat refleksi, dan berfikir tentang perkara dalam dan luar dunia. Dari segi emosi mereka adalah seorang yang tidak cepat marah, tenang dan sukar untuk tertekan dan tidak berhadapan risiko dengan penyakit berbahaya. Jika diperhatikan, mereka yang memgang jawatan yang tinggi dan selalunya menjadi ketua atau bos ditempat kerja, kebanyakan daripada mereka pasti mempunyai penyakit sakit jantung. Kemungkinan kebanyakan mereka jenis personaliti A di mana seseorang ketua sering mengingikan kesempurnaan dalam setiap pekerjaan, mementingkan masa dan akan memarahi pekerja bawahan mereka jika lambat menyiapkan tugasan dan kerja yang dibagi tidak seperti yang diharapkan. Perkara-perkara ini yang akan menyebabkan mereka senang untuk mendapat tekanan dan seterusnya penyakit.

 

Semasa dalam kuliah, saya dan rakan-rakan sempat untuk membuat ujian personaliti Myers-Drigss Type Indicator. Dalam ujian itu saya mempunyai personaliti introvert, gerak hati (intuitive), berfikir dan melihat (perceiving). Dalam ujian ini terdapat lapan indicator seperti ekstrovert vs introvert, sensitif vs gerak hati, menghakimi vs melihat. Saya tidak beberapa setuju yang mengatakan saya seorang introvert berdasarkan ujian itu kerana saya berasa saya turut mempunyai sifat-sifat ekstrovert dimana saya tidak begitu pemalu, pendiam dan suka berkawan dengan ramai orang dan merasa tidak berapa selesa jika berseorangan. Tentang jenis personaliti lain saya rasa jenis personaliti itu berpadanan dengan personaliti saya. Selalunya mereka yang berpersonaliti introvert sering berhadapan dengan emosi yang negatif hidup mereka tidak begitu meriah kerana mereka sering bersendirian dan tidak berapa suka untuk menjalinkan persahabatan yang rapat dengan orang lain. Saya sering melihat rakan saya yang mempunyai personaliti ekstrovert ini agak sukar untuk melihat mereka berada dalam emosi yang tidak gembira kerana walau mereka sedang berhadapan dengan masalah mereka akan cuba mengubah suasana hati yang muram dengan melakukan perkara yang mengembirakan. Selain itu Model Besar Lima  turut mengukur jenis personaliti seseorang dan mempunyai lima dimensi besar iaitu ekstrovert, kepersetujuan, kesedaran, berfikiran terbuka terhadap pengalaman, dan neurotisisme. Selalunya mereka yang berpersonaliti neurotisisme ini akan berhadapan dengan emosi yang teruk kerana perasaan mereka senang untuk berubah kepada negatif, senang untuk mendapat tekanan, sering bimbang dan tidak tenang.

 

Kesimpulannya, mereka yang berpersonaliti introvert dan neurotisisme yang tinggi akan sering berhadapan dengan emosi yang tidak menyenangkan. Manakala mereka yang berpersonaliti ekstrovert akan sering kelihatan gembira dan sukar untuk berhadapan dengan emosi negatif selain itu, mereka yang jenis personaliti A juga jika tidak bijak dalam mengurus emosi akan senang untuk berhadapan dengan tekanan.

No comments:

Post a Comment