Friday 24 September 2010

A121741 MAS AYU LJ09

Setiap individu adalah istimewa dan unik. Apakah yang menjadikan individu istimewa dan unik? Setiap individu adalah berbeza dari segi watak dan perwatakan. Dua perkataan ini mengambarkan makna personaliti. Apakah yang anda tahu tentang personaliti? Perkataan personaliti berasal daripada perkataan Latin iaitu persona. Persona dalam bahasa Latin bermaksud topeng atau watak luaran yang boleh dilihat. Masyarakat umum biasanya mendefinisikan personaliti sebagai penampilan, peribadi atau sahsiah individu. Menurut imam al-Ghazali personaliti merujuk kepada keadaan jiwa. Menerusi jiwa terbit semua perbuatan yang senang dan mudah, tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian (Asmawati 2004). Sekiranya dari jiwa itu muncul perbuatan yang baik dan terpuji menurut akal dan syariat agama, ia dinamakan sebagai personaliti yang baik, begitu juga sebaliknya. Allport (1966) pula mendefinisikan personaliti sebagai suatu organisasi dinamik yang wujud dalam diri individu yang merangkumi sistem psikofizikal yang menentukan bagaimana individu menyesuaikan diri dengan persekitaran. Dinamik di sini merujuk kepada keadaan semulajadi personaliti yang terus berkembang dan berubah-rubah. Sistem psikofizikal pula merujuk kepada elemen-elemen seperti kebiasaan, nilai, sikap, kepercayaan, emosi, motif dan sebagainya. Personaliti juga boleh diertikan sebagai jumlah keseluruhan ciri-ciri yang membezakan manusia, atau kestabilan tingkahlaku seseorang dalam berbagai situasi yang berbeza (Feldman 1994). Personaliti boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya genetik, persekitaran, pembelajaran dan pengalaman hidup.


Bagaimana cara untuk mengetahui personaliti diri? Personaliti diri boleh diketahui melalui penilaian kendiri. Persepsi individu terhadap diri sendiri boleh menjadi kayu ukur kepada personaliti. Orang di sekeliling juga boleh membantu kita dalam memahami persepsi diri. Persepsi orang  lain boleh memberi gambaran secara tidak lansung tentang personaliti diri kita. Jika kita membuat penilaian kendiri, kita cenderung untuk mempersepsi diri kita terlalu baik atau terlalu buruk bergantung kepada penghargaan kendiri individu. Jika kita bertanya kepada orang yang rapat dengan kita tentang personaliti kita, mereka cenderung untuk menyatakan sesuatu yang posistif untuk menjaga hati kita namun apabila kita bertanya kepada musuh atau orang yang tidak suka dengan kita mereka cenderung mengatakan seuatu yang negatif tentang kita. Kedua-dua cara ini adalah mudah namun kurang tepat dan terdedah kepada unsur bias. Jika kita ingin mengetahui personality diri dengan baik kita boleh mempertimbangkan dua cara ini dengan melihat persamaan yang wujud dari kedua-dua penilaian tersebut. Persamaan tersebut mampu mengukuhkan bahawa itulah personality konsisten yang kita ada. Selain cara tersebut kita juga boleh menggunakan ujian personality untuk menilai personaliti diri. Kaedah ini adalah lebih baik kerana alat ujian yang dihasilkan melihat kepada suatu norma yang piawai dalam menilai personaliti. Antara alat ujian yang boleh digunakan dalam menilai personaliti ialah Califonia Psychological Inventory (CPI), Sixteen Personality Factor Questionnaire (16 PF). Terdapat pelbagai model dalam psikologi yang boleh digunakan untuk memahami psikologi antaranya Myers-Biggs Type Indicator (MBTI) dan Model 5 Faktor utama (Big-Five Model: BFM).


Berdasarkan model MBTI tedapat 4 dikotomi kecenderungan personaliti. Berdasarkan dikotomi ini individu mungkin dikategorikan sebagai 1. Extroverted (ekstrovert) atau introverted (introvert), 2. Sensing (kederiaan) atau intuitive (gerak hati), 3. Thinking (pemikiran) atau feeling (emosi) dan 4. Judging (mengadil) atau perceiving (memerhati). BFM pula mengkelaskan peronaliti berdasarkan 5  jenis personality utama iaitu extrovertion (ekstrovert), agreeableness (kepersetujuan) , conscientiousness (kehematan), neuroticism (kestabilan emosi) dan openness to experience (keterbukaan kepada pengalaman baru) atau akronimnya OCEAN. Personaliti juga berkait rapat dengan cara individu bertingkah laku dan mengekspresikan emosi terhadap ransangan persekitaran. Manusia berbeza dari segi reaksi emosi walaupun berada pada keadaan atau situasi yang sama. Perbezaan persepsi dan reaksi emosi berlaku disebabkan oleh wujudnya perbezaan personaliti. Emosi dan personaliti berperanan dalam menentukan sikap dan motivasi individu. Secara keseluruhan saya berpendapat personaliti adalah satu bentuk kombinasi tret individu yang mampu menjelaskan cara seseorang bertingkah laku dan mempamerkan emosi. Personaliti mampu menjelaskan karekteristik individu.


Untuk memahami lebih lanjut tentang MBTI anda boleh laman web berikut:

http://webct2.tripod.com/tugasankumpulancarljung.htm

Untuk memahami lebih lanjut tentang BFM anda boleh laman web berikut:

http://rumahbelajarpsikologi.com/index.php/big-5-p.html


No comments:

Post a Comment