Friday 17 September 2010

A121741 MAS AYU LJ08

Apakah yang dimaksudkan sebagai emosi dan motivasi? Emosi adalah satu label kepada reaksi kompleks yang terhasil disebabkan oleh rangsangan persekitaran, proses kognitif, perubahan fisiologi dan bangkitan perasaan. Motivasi pula adalah satu bentuk desakan dalaman yang membangkitkan dan menggerakkan tingkah laku individu kepada sesuatu matlamat.  Emosi boleh dibahagikan kepada emosi positif dan emosi negatif manakala motivasi pula boleh dibahagikan kepada motivasi intrinsik (dalaman) dan motivasi ekstrinsik (luaran).

 

Emosi positif seperti gembira akan melahirkan perasaan bahagia manakala emosi negatif seperti kecewa pula akan melahirkan perasaan sedih. Motivasi intrinsik adalah suatu bentuk motivasi yang terhasil disebabkan oleh ransangan dalaman dan ia berkait rapat dengan naluri (instinct) semulajadi manusia; keperluan fisiologi (makan, minum, tidur, seks), kognisi (kepercayaan, jangkaan dan konsep kendiri individu) dan emosi (perasaan). Motivasi ekstrinsik pula terhasil disebabkan oleh pengaruh luaran seperti insentif (kewangan dan sokongan sosial) dan hukuman (dendaan atau penolakan sosial).

 

Apakah kaitan antara emosi dan motivasi? Emosi dan motivasi merupakan 2 komponen yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Emosi dan motivasi boleh diibaratkan sebagai sekeping duit syiling. Emosi dan motivasi boleh bertindak sebagai agen peramal kepada sesuatu tingkah laku. Kedua-dua elemen ini bersifat adaptif sesuai dengan situasi yang dialami seseorang individu. Emosi adalah sebahagian daripada motif kepada motivasi. Emosi juga boleh menjadi sumber tenaga kepada motivasi.

 

Menurut hierarki keperluan Maslow, keperluan fisiologikal merupakan kompenan penting yang mesti dicapai individu bagi memastikan kelansungan hidup. Keperluan ini merupakan keperluan asas dalam kehidupan berbanding keperluan lain. Setelah individu berjaya mencapai kestabilan pada peringkat ini mereka mula memikirkan pula tahap keperluan seterusnya iaitu keselamatan, kasih sayang dan kepunyaan, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Situasi semasa yang dialami oleh individu memotivasikan individu untuk mencapai sesuatu matlamat sesuai dengan keperluan hidup mereka. Individu yang miskin akan termotivasi untuk bekerja keras bagi memastikan mereka dapat memenuhi keperluan asas hidup. Individu yang kaya pula akan termotivasi untuk mencapai penghargaan kendiri atau kesempurnaan kendiri. Mereka akan berusaha mengejar status, penghargaan dan kesempurnaan hidup.

 

Kehidupan kini yang semakin mencabar mendesak individu untuk berusaha keras bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam hidup atau sekurang-kurangnya berada pada tahap kehidupan yang selesa. Keadaan ini lah yang menjadikan individu sanggup untuk menyambung pelajaran bagi meningkatkan kualiti hidup. Pernahkah kita terfikir mengapa orang yang telah berkeluarga sanggup menyambung pelajaran lagi walaupun mereka sudah memiliki pekerjaan tetap? Keadaan persaingan hidup kini semakin mencabar. Orang yang gagal berlari seiring dengan perkembangan ekonomi dan teknologi akan ketinggalan, malah hidup melarat.

 

Emosi bimbang tentang masa depan diri dan keluarga memotivasikan golongan ini untuk terus belajar. Kesukaran dan cabaran belajar ketika berkeluarga mampu ditempuhi kerana keazaman yang jitu. Dalam situasi ini, individu sebenarnya memerlukan motivasi intrinsik dan ekstrinsik bagi memastikan mereka mampu menempuh cabaran belajar. Motivasi intrinsik mungkin terhasil daripada keinginan individu untuk meningkatkan kualiti hidup, pencapaian diri dan kepuasan hidup yang optimum. Motivasi ekstrinsik dalam konteks ini pula boleh dikaitkan dengan insentif sosial (sokongan isteri atau suami) dan insentif peningkatan tangga gaji pada masa depan. Hal ini menjelaskan bahawa motivasi dan emosi mampu menjadi enzim penjana tingkah laku sama ada bersifat positif atau negatif. Tingkah laku individu adalah selari dengan matlamat yang diletakkan oleh individu sama ada secara lansung atau tidak lansung.

 

Secara keseluruhan dapat dijelaskan di sini bahawa emosi dan motivasi dapat mencerminkan tingkah laku individu. Kita mampu melihat individu sama ada mereka bermotivasi atau tidak bermotivasi bergantung kepada tingkah laku dan ekspresi wajah. Orang yang ceria, bertenaga dan bersemangat dalam melaksanakan sesuatu tugasan menggambarkan mereka berada pada emosi suka yang akhirnya melahirkan kualiti kerja yang baik, begitu juga sebaliknya. Jadilah individu yang sentiasa bermotivasi dalam mencapai matlamat hidup demi kesejahteraan berterusan.# end

No comments:

Post a Comment