Monday 6 September 2010

A 130188 RASHIDAH LJ08

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Pada minggu ini sesi pengkuliahan amatlah menarik kerana menggunakan audio sebagai medium pembelajaran. Hal ini kerana semua pelajar telah pulang ke kampung untuk bercuti Hari Raya, maka Encik Zamri telah membuat keputusan untuk menggunakan audio dalam sesi pembelajarannya kali ini. Maka pelajar-pelajar ini hanya perlu membuka blognya untuk mendengar audio tersebut dan kemudiannya menulis jurnal. Tajuk pengkuliahan pada hari ini iaitu emosi dan motivasi.

Emosi dan motivasi ibarat irama dan lagu. Ia amatlah berkait rapat dan saling berhubungkait. Emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron & Logan, 1993). Emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992). Emosi ditakrifkan sebagai satu effective tone iaitu emosi tersebut boleh menjadi emosi positif ataupun emosi negatif. Terdapat empat komponen asas emosi ialah perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan.  Emosi boleh memacukan diri kita sama ada kearah kebaikan ataupun keburukan. Namun tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong (motivator) dan tidak semua pendorong (motivator) berasaskan kepada emosi. Sebagai contoh, keinginan saya untuk mendapat keputusan yang baik pada setiap semester menyebabkan saya belajar dengan bersungguh-sungguh. Disini tindakan saya untuk belajar bersungguh-sungguh bukanlah satu emosi tetapi adalah satu kewajipan seorang pelajar.

Motivasi pula ditakrifkan sebagai satu proses pemilihan dan selalunya kita dapat menjangkakan tingkahlaku yang bakal ditonjolkan oleh seseorang itu. Terdapat 3 konsep asas dalam motivasi iaitu motivasi, dorongan dan insentif. Motivasi adalah suatu faktor tidak kiralah secara dalaman atau luaran yang menyebabkan suatu tindakan itu dilakukan. Sebagai contoh, saya berusaha untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan dengan segera kerana saya ingin pulang ke kampung. Dorongan pula adalah satu prinsip asas biologi yang menggerakkan tingkahlaku untuk mengelakkan keperluan dan menyimpan homeostasis. Pelopor teori ini adalah Woodworth. Ketidakseimbangan iaitu keperluan psikologi defisit akan menghasilkan dorongan. Pengurangan  dorongan akan menghasilkan pembelajaran. Insentif pula adalah keadaan persekitaran yang boleh menarik atau menolak minat individu. Sebagai contoh, anak buah saya akan mandi awal jika dia dibenarkan bermain permainan video. Terdapat juga konsep lain seperti naluri, bangkitan dan humanistik. Naluri wujud secara semulajadi dan tidak dipelajari. Sebagai contoh sikap ingin tahu, kayakinan diri dan kemesraan. Manakala teori yang sentiasa wujud dalam setiap ciptaan Tuhan ialah teori bengkitan. Hal ini kerana sikap ingin tahu menyebabkan kita ingin memahami persekitaran kita dengan lebih mendalam lagi. Berdasarkan Moruzzi & Mogoun, 1949, sistem bangkitan ini berasal daripada "neurophysiological" di otak.

Dalam konsep humanistik terdapat satu teori yang dikenali sebagai Teori Hierarki Maslow. Teori ini dikemukakan oleh Abraham Maslow iaitu mengenai keperluan asas seseorang individu itu. Menurut teori ini, terdapat 5 peringkat keperluan asas seseorang individu. Peringkat pertama dan kedua adalah merupakan keperluan asas seseorang manusia. Manakala bagi peringkat ketiga dan keempat pula lebih kepada keperlu psikologi manusia. Peringkat kelima pula ia lebih kepada keinginan seseorang itu untuk mencapai peringkat tertinggi dalam hidupnya. Peringkat pertama ialah keperluan fisiologi. Keperluan ini adalah merupakan keperluan asas bagi setiap manusia seperti makan, minum dan rehat. Peringkat kedua ialah keselamatan. Sebagai contoh memerlukan rumah sebagai tempat perlindungan. Bagi kanak-kanak pula, kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka merupakan aspek keselamatan yang paling berharga bagi mereka. Seterusnya ialah kasih sayang. Lumrah manusia memerlukan kasih sayang. Sebagai contoh, kasih sayang kepada Tuhan, ibubapa, keluarga, masyarakat, agama dan rakan. Peringkat keempat ialah keperluan diri. Pada tahap ini, biasanya manusia sudah berasa bangga terhadap pencapaiannya. Sebagai contoh, individu itu sudah mempunyai keluarga yang bahagia dan pekerjaan yang baik. Terakhir ialah pencapaian kendiri. Ia merupakan satu aspek dimana manusia meletakkan sesuatu jangkaan dalam hidupnya dan jika boleh dia ingin mencapainya. Sebagai contoh, saya sebagai pelajar ingin melanjutkan pelajaran sehingga mendapat gelaran professor dan inilah yang dikatakan target dan saya akan berupaya untuk mencapainya

Kesimpulannya, motivasi dan emosi mempunyai hubungan yang sangat rapat. Emosi dikatakan lebih menekankan keghairahan atau perasaan terhadap sesuatu manakala motivasi pula lebih merujuk kepada tindakan terhadap sesuatu perkara. Oleh itu, tidak dinafikan lagi emosi dan motivasi mempunyai saling hubungkait yang sangat akrab.

No comments:

Post a Comment