Saturday 28 August 2010

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Prof Ahmad Zamri Bin Mansor. Minggu ini merupakan minggu keempat saya menghadiri kuliah untuk kelas Pengurusan Emosi. Minggu ini kami telah mempelajari dua tajuk kuliah yang  berlainan, iaitu Adaptation Level Theory dan Solomon Opponent Process Theory

Saya bermula dengan mengulas tajuk pertama kuliah minggu ini, iaitu Adaptation Level Theory. Konsep asas teori ini adalah tindakan kita terhadap sesuatu rangsangan baru dipengaruhi oleh tahap adaptasi semasa kita. Tahap adaptasi seseorang merupakan tahap neutral semasa berhubung dengan suatu situasi yang khusus. Ianya dikatakan bahawa kita menetapkan titik neutral kita secara automatik terhadap setiap ragam rangsangan. Penilaian kita terhadap sesuatu situasi akan menyumbang kepada pengalaman emosi kita. Dan menurut Lazarus, Kanner, dan Folkman, 1980, penilaian kognitif kita terhadap sesutau situasi menentukan keamatan pengalaman emosi kita. Sebagai contoh, tahap adaptasi kita meningkat apabila kita mendapat kenaikan pangkat atau gaji. Bukankah hal ini membuktikan yang kita hanya akan bergembira jika hasil kita mencapai sesuatu melebihi titik neutral kita?
Sewaktu saya menjelajah google, saya telah menjumpai suatu laman web yang mengadaptasikan Adaptation Level Theory dalam sebuah kajian. Kajian ini telah dilaksanakan oleh Association for Consumer Research yang mengkaji tentang pengaruhan tahap adaptasi terhadap persepsi harga. Menurut kajian ini, ia dikatakan bahawa teori ini amat berguna dalam penyelidikan cara pembeli memproses informasi perbelanjaan. Eksperimen yang dijalankan adalah penjualan sesuatu produk baru dengan harga yang berlainan. Hasil daripada eksperimen ini adalah apabila harga produk tersebut dinaikan selepas beberapa minggu, pembeli akan berasa bahawa barangan tersebut mahal dan tidak lagi cenderung membelinya. Dengan ini, ia adalah wajar untuk mengatakan bahawa kita bertindak berdasarkan perbandingan antara pengalaman lepas dan keadaan semasa kita, dan dalam kajian ini merujuk kepada harga lama dan harga kini produk yang dipasarkan.
Di sini adalah laman web yang saya maksudkan tadi http://www.acrwebsite.org/volumes/display.asp?id=5668

Sekarang saya akan mengulas tajuk kuliah kedua yakni Solomon Opponent Process Theory. Teori tersebut dikatakan merupakan hasil ubahsuai Teori Asas Adaptasi. Teori ini adalah hasil kerja Richard Solomon pada tahun 1980. Seperti teori Newton, "Every action has its equal and opposite reaction.", kajian Richard Solomon juga telah mengatakan bahawa setiap emosi akan mencetuskan emosi bertentangan. Teori ini menerangkan yang emosi wujud sebagai pasangan dan ketika salah satu emosi sedang dialami, maka emosi lain itu akan ditindas. Suatu peristiwa emosi pertama sekali menunjukkan primary state yang sebagai balasannya menjurus kepada opponent state. Seperti dengan teori sebelum ini, saya turut menjelajahi google untuk mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai tajuk ini. Saya berjaya mendapat laman web ini, http://www.psywww.com/intropsych/ch14_frontiers/solomons_opponent_process_theory.html
Laman web ini bukan sahaja telah membekalkan penerangan mengenai teori ini, malah telah menyelitkan beberapa contoh berkaitan teori ini. Antaranya adalah mengenai seseorang menonton cerita-cerita ngeri. Di sini dijelaskan bahawa apabila seseorang itu menonton cerita ngeri pada kali pertama, kemungkinan seseorang itu terkejut, terperanjat atau berasa takut adalah tinggi. Tetapi jika orang tersebut menonton cerita yang sama berkali-kali, maka orang tersebut tidak lagi akan merasai perasaan yang sama seperti yang dirasainya pada kali pertama. Oleh itu, teori ini boleh dirumuskan dengan mengatakan bahawa pengulangan pengalaman emosi yang sama akan meningkatkan daya emosi bertentangannya yang akan menjurus kepada penindasan emosi yang dialami pada kali pertama.

Dengan ini, saya mengakhiri pengulasan kuliah minggu ini. Dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.  ...

No comments:

Post a Comment