Thursday 5 August 2010

Re: A121741 Mas Ayu LJ03

Adakah aku bahagia saat ini? Apakah yang menyebabkan aku rasa bahagia? Apakah penanda aras bahawa aku benar-benar bahagia? Persoalan ini berlegar-legar di kotak fikirku. Jika ku tanya pada seribu orang tentang definisi bahagia pasti seribu satu jawapan yang bakal ku terima. Bagiku kebahagiaan adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Setiap orang miliki definisi yang tersendiri tentang kebahagiaan bergantung kepada situasi semasa, impian dan nilai yang dipengang oleh seseorang individu. Mungkin pada si buta perkara yang paling membahagiakan dia adalah apabila dapat celik melihat dunia. Bagi si celik pula melihat dunia hanyalah perkara biasa. Seorang anak tunggal yang tinggal dalam keluarga yang kaya raya mungkin didefinisikan sebagai bahagia oleh si miskin yang melihatnya, tetapi benarkah dia bahagia? Pada si miskin kebahagiaan berkait rapat dengan perkara material seperti wang, kereta mewah, dan rumah besar namun, pada si kaya kebahagiaan lebih bersifat abstrak seperti kasih sayang dan perhatian.

Sedarkah kita bahawa dalam kehidupan ini, kita selalu inginkan sesuatu yang bukan milik kita. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya memiliki kelebihan yang tersendiri. Si buta mungkin seorang yang celik hati walaupun tidak dapat melihat. Si celik pula mungkin juga seorang yang buta hati. Si miskin, kaya dengan kasih sayang dan perhatian tetapi kurang harta manakala si kaya pula kaya dengan harta tetapi kurang kasih sayang dan perhatian. Setiap satunya ada kelebihan dan kekurangan. Hidup ini adalah medan ujian. Tidak senang untuk menjadi senang dan tidak susah untuk menjadi susah. Semuanya bergantung kepada cara kita berfikir. Jika positif maka kita membuka ruang kepada tindakan positif begitu juga sebaliknya. Kini aku mengerti bahawa pemikiran yang positif, melahirkan emosi positif seteruskan membentuk tingkahlaku positif. Apabila berbicara tentang emosi boleh mempengaruhi tindakan aku teringat tentang kajian Rim, 1993 yang dikuliahkan pensyarah minggu ini. Menurut beliau individu yang bahagia mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran. Kemampuan ini menyebabkan mereka mampu menghadapi segala masalah yang timbul dalam kehidupan dengan tenang.

Setiap dari kita pastinya mempunyai skema kebahagiaan yang tersendiri. Kadangkala skema ini turut berkait rapat dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Budaya dan persekitaran mencorakkan skema kita tentang konsep kebahagiaan. Kita tahu senyuman menunjukkan ekspresi gembira atau bahagia. Namun terdapat pelbagai aspek lain yang harus diambil kira sebelum menilai sesuatu perkara. Jika kita tengok seseorang sedang tersenyum kita tidak boleh terus mengandaikan bahawa dia sedang bahagia. Selain senyuman kita mungkin boleh melihat nada suara, bahasa badan, perkataan yang digunakan bagi menyokong andaian bahawa individu itu sedang gembira.

Orang dari budaya yang berbeza mempunyai kecenderungan menilai suatu tingkahlaku menurut persepsi budaya masing-masing. Jika diteliti semula kajian rentas budaya yang dijalankan oleh Veehoven, 1995, beliau mengatakan bahawa terdapat keperbezaan kebahagiaan antara satu negara dengan negara yang lain. Orang-orang Asia didapati mempunyai tahap kebahagiaan yang rendah berbanding negara-negara yang lain (Diener, et. al, 1995) manakala orang-orang yang tinggal di Amerika Utara, Australia dan Eropah dilabel sebagai golongan yang mempunyai tahap kebahagiaan yang tinggi. Saya berpendapat walaupun kajian ini bersifat merentas budaya namun kajian tentang nilai masyarakat setempat antara orang Timur dan Barat tidak benar-benar diteliti. Hal ini menjadikan keputusan kajian ini dilihat seperti agak bias. Cara mengekspresikan emosi orang barat dan timur sudah tentu berbeza. Jika skala penilaiannya tidak mengambil kira perkara ini maka hasil ini boleh dipertikai keesahannya.

Pada kuliah minggu ini saya juga tertarik dengan perkaitan antara perkahwinan  dan faktor kebahagiaan. Betulkah orang yang yang berkahwin benar-benar bahagia? atau orang yang bahagia membuatkan perkahwinan  mereka lebih bahagia? Jika benar perkahwinan suatu yang membahagiakan, kenapa masih ada orang yang menderita selepas perkahwinan? Apabila ku fikir semula perkahwinan itu merupakan sesuatu yang suci malah terdapat firman Allah tentangnya. Aku kembali yakin bahawa fitrah perkahwinan itu memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada jiwa manusia tetapi manusia yang menjadikan perkahwinan itu tersasar dari fitrahnya. Menurut hasil kajian Vanfossen, 1981 beliau mendapati orang yang berkahwin lebih bahagia daripada orang yang bujang.

Kenyataan itu bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". Menurut Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz pula, beliau mengatakan bahawa,"Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a'yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan rumahku syurgaku." Dapat kusimpulkan di sini bahawa kebahagiaan itu bersifat subjektif dan penilaiannya harus meneliti beberapa aspek tertentu, khususnya situasi semasa, pengalaman dan sosial budaya setempat.

No comments:

Post a Comment