Thursday 12 August 2010

A135584 Qurratu Aini LJ04

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Pertama sekali, selamat menyambut bulan Ramadhan kepada umat Islam. Semoga dengan kehadiran bulan yang mulia ini dapatlah kita sama-sama memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik.

Bercakap mengenai memperbaiki diri, ia sangat bertepatan dengan tajuk kuliyah pada Rabu lepas iaitu Emosi Negatif. Emosi-emosi yang sangat berkait dengan emosi negatif ini antaranya adalah takut, malu, sedih dan marah. 4 emosi ini selalu mewarnai semua manusia di muka bumi ini sepanjang hayatnya. Kadangkala ia menjadi pemangkin kepada satu-satu kejayaan atau ia boleh menjadi pemusnah jika seseorang itu tidak pandai mengawalnya.

Di sini, emosi-emosi ini akan dikupas lebih lanjut mengikut kefahaman penulis. Kita mulakan dengan emosi takut. Takut adalah satu perasaan yang wujud atas sebab yang negatif contohnya bahaya dan trauma ( causes of fear ). Ia juga berkait rapat dengan kegelisahan dan kebimbangan.  Takut juga boleh dipengaruhi oleh abstract concepts atau dengan kata lain takut atas sebab bukan fizikal dan lebih kepada pemikiran. Contohnya seperti takut dengan ejekan dan celaan masyarakat kepadanya. Ini berlainan dengan bahaya dan trauma yang terjadi atas sebab kemalangan fizikal. Emosi takut ini perlu dikawal kerana jika berlebihan ia akan memberi kesan negatif dalam diri. Seseorang yang berada dalam ketakutan boleh menjadi sangat pasif dan hanya menurut kata orang lain tanpa mengambil kira kepentingan diri sendiri. Dan yang lebih buruk, takut juga membawa kepada perlakuan-perlakuan yang ganas seperi mencederakan orang lain demi menjaga diri. Ini dibuktikan dengan kajian yang menunjukkan apabila seseorang itu terlalu takut, paras adrenalin meningkat berbanding kewarasan fikiran yang menyebabkan keganasan berlaku. 

Seterusnya perasaan malu. Malu adalah emosi negatif yang terjadi akibat perbuatan atau percakapan  yang tidak boleh diterima masyarakat di sekelilingnya. Ia juga boleh terjadi apabila rahsia atau aib seseorang itu telah diketahui oleh orang lain. Malu boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu dari segi peribadi ( personal ) atau professional. Dari segi peribadi, malu terjadi kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh seseorang individu samada kesilapan kecil ( terjatuh di hadapan orang ramai ) atau kesilapan besar ( kehancuran rumahtangga atas kelalaian sendiri ). Manakala malu dari segi professional adalah ketika bekerja samada idea ditolak atau dibuang kerja. Mengikut pengalaman saya ketika di sekolah, kawan saya mempunyai sifat malu yang amat luar biasa. Contohnya, jika seseorang mahu berbual dengannya, dengan segera beliau akan menutup muka dengan apa sahaja objek di depannya walaupun sebuah baldi!. Jarang benar kami mendengar suaranya. Ini menyukarkan komunikasi dan pengakhirannya, beliau tidak mempunyai kawan. Jadi. pada hemat saya, malu itu biarlah bertempat kerana malu bertanya, sesat jalan!

Tajuk yang ketiga adalah sedih. Satu perasaan yang semua orang pernah mengalaminya. Sedih mungkin berlaku kerana kehilangan atau kegagalan. Tetapi jika ditanya kepada orang yang bersedih, pasti jawapannya berkisar tentang masalah hidup. Kesedihan yang melampau mungkin boleh menyebabkan depresi atau kemurungan. Banyak cara atau kaedah untuk mengawal perasaan ini. Antaranya, membaca buku-buku motivasi dan berbalik kepada agama. Seperti yang telah diberitahu pada tajuk kuliyah yang lepas, orang yang beragama adalah lebih gembira dari orang yang tidak beragama. Selain itu, sedih juga dapat diatasi dengan memandang kesedihan itu pada sudut yang lain. Mengapa kita bersedih sedangkan masalah itu hanyalah untuk lebih menguatkan kita?Kadangkala dengan masalah kita mendapat idea baru yang lebih baik dan menjadi pencetus kejayaan yang lebih baik dari sebelumnya. 

Akhir sekali emosi marah. Marah adalah emosi yang timbul akibat perasaan ketidakadilan, kecewa dan tekanan. 
Saya selangi kupasan emosi marah ini dengan sebuah hadith.
Nabi SAW bersabda maksudnya :

"sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk"
Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa marah adalah emosi yang sangat negatif sehingga dikaitkan dengan api dan syaitan. Oleh itu, kita harus mengawalnya. Salah satunya dengan berwuduk kerana dengan air wuduk kita dapat menghalang godaan syaitan yang berasal daripada api seperti memadamkan api dengan air. Selain itu, ia dapat menyejukkan anggota badan yang panas akibat marah.

Marah boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti hipertension dan arteriosklerosis iaitu kegagalan saluran darah untuk menampung darah yang bertambah akibat tekanan darah tinggi. Jadi, dengan mengawal marah kita boleh mengurangkan penyakit dan hidup dengan lebih ceria!

Kesimpulannya, emosi negatif haruslah dikawal kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada kita jika kita terlalu beremosi malah mendatangkan penyakit seterusnya merugikan kita. Sentiasa berterima kasihlah pada kehidupan yang memberi peluang kepada kita untuk menjadi yang terbaik!

No comments:

Post a Comment