Friday 6 August 2010

A135584 Qurratu Aini LJ01

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Mengupas tajuk kuliyah pada minggu ke-3 iaitu emosi positif yang pada dasarnya terhasil daripada kepuasan atau kegembiraan.  Terdapat banyak teori daripada ahli-ahli pemikir yang terkenal seperti Aristotle, Epicueran, Plato dan Mills. Masing-masing mengaitkan emosi positif dengan kebahagiaan. Tetapi saya tertarik dengan penyataan Mills iaitu kebahagiaan seseorang bergantung kepada tingkah laku individu tersebut. Bagi saya, ini hampir benar kerana setiap individu mempunyai seribu satu cara dalam menghadapi permasalahan dan cabaran dalam hidup ini. Hanya kebijaksanaan kita dapat mengatasinya seterusnya memberikan kepuasan dan melahirkan emosi-emosi yang positif dalam diri.

Kajian mengenai emosi positif ini diteruskan lagi oleh Veenhoven (1995) yang menjurus kepada perbezaan tahap kegembiraan di Asia dan Barat. Beliau menyatakan kebahagiaan berbeza dari satu negara ke negara yang lain melalui kajian lintasan budayanya. Selain itu, menurut Diever (et al,1995), budaya Asia menunjukkan self-happiness yang rendah berbanding budaya-budaya lain. Ini disokong dengan kajian Argyle(1987) yang melaporkan bahawa orang yang paling bahagia adalah yang tinggal di Amerika Utara, Australia dan Eropah.

Walau bagaimanapun, tidak kira di mana sahaja kita berada dan apapun budaya kita, kita harus mencari kebahagiaan itu sendiri. Pelbagai faktor yang kita boleh jadikan sebagai pemangkin dalam pencarian kebahagiaan. Menurut Kozma (et al), terdapat dua komponen utama kebahagiaan iaitu long term affective states dan short term affective states. Long term affective states ialah latar belakang emosi yang stabil yang berterusan dari bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Contohnya, emosi anak-anak terhadap institusi keluarga yang bahagia. Manakala short term affective states berdasarkan peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam hidup seperti berjaya dalam pekerjaan, mendapat anak, jatuh cinta dan seumpamanya.

Bagi saya pemikiran dan tahap penyesuaian kita terhadap alam sekeliling menentukan sejauh mana kebahagiaan yang dapat kita peroleh. Manusia yang mempunyai tahap penyesuaian yang tinggi adalah bagus dalam menghadapi dan menyelesaikan sebarang masalah dan mereka adalah golongan yang paling bahagia. Pada zaman globalisasi ini, cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi. Oleh itu, kita seharusnya bijak dalam menangani setiap permasalahan yang mendatang supaya kebahagiaan dapat dimiliki. Sebagai contoh, rakan saya pernah menghadapi penyakit kronik dan jika tidak menerima rawatan sesuatu yang lebih buruk mungkin berlaku. Tetapi beliau tidak berputus asa dan berusaha untuk menyembuhkan penyakitnya dan akhirnya beliau sembuh. Dan ketika itu, saya melihat kepuasan dalam dirinya seterusnya membuahkan kebahagiaan yang berpanjangan dalam hidupnya. Di sini, teori Mills dapat saya kaitkan. Bagaimana jika tindakan beliau adalah sebaliknya? Berputus asa dan menyalahkan diri. Berkemungkinan beliau tidak akan sembuh dari penyakit itu. 

Berbalik kepada tajuk asal, kebahagiaan juga berhubung rapat dengan kasih sayang. Terdapat tiga faktor dalam kasih sayang iaitu komitmen, keintiman dan keinginan. Skop kasih sayang merangkumi persahabatan, kekeluargaan, perkahwinan dan kehidupan sosial. Lelaki dan wanita mendapat kebahagiaan hasil dari perkahwinan malah orang yang berkahwin juga adalah lebih bahagia daripada orang bujang (Vanfossen, 1981). Sudah pasti ramai yang bersetuju dengan pernyataan ini. Tamabahan pula, banyak kajian kesihatan membuktikan dengan perkahwinan, manfaat yang diperolehi sangat banyak seperti penghasilan hormon-hormon yang baik untuk kesihatan badan dan minda, mengurangkan stress dan tekanan. Hal ini juga berlaku untuk orang yang mempercayai agama. Orang yang beragama adalah lebih gembira dan kurang tekanan.

Kesimpulannya, carilah kebahagiaan dan ekspreskannya dengan senyuman dan ketawa kerana senyuman adalah penawar semua kedukaan. Saya tinggalkan anda dengan kata-kata ini:
"Happiness is the meaning and the purpose of life, the whole aim and end of human existence"-Aristotle-

No comments:

Post a Comment