Friday 13 August 2010

A135345 YUVARANI NAIR A/P SUKUMARAN LJ02

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Prof Ahmad Zamri Bin Mansor.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada Prof dan semua rakan umat Islam saya.

Minggu ini merupakan minggu kedua saya menghadiri kursus Pengurusan Emosi ini dan saya akan mengulas kuliah minggu ini yang bertemakan emosi negatif. Sebelum kuliah dimulakan, sebuah video telah ditayangkan. Video itu sebenarnya membawa mesej bahawa kita haruslah bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang ini daripada bersedih untuk sesuatu yang tidak wajib kita miliki kerana ada sesetengah insan yang sengsara tanpa memiliki keperluan asas mereka. Video tersebut telah terpahat secara mendalam pada hati saya dan saya akan mencuba sedaya-upaya untuk menghayati hidup saya dengan sepenuhnya tanpa mengadu.

Menfokuskan kepada tema minggu ini, didapati bahawa emosi negatif terdiri daripada perasaan takut, malu, sedih, dan marah.
Pertama sekali, perasaan takut (Fear) merupakan tindakbalas emosi seseorang terhadap bahaya yang mendatang, dan seterusnya menjurus kepada kebimbangan. Perasaan takut adalah suatu mekanisma meneruskan kehidupan. Selalunya, perasaan ini wujud disebabkan sesuatu rangsangan negatif. Takut juga berkait rapat dengan beberapa keadaan emosi yang lain. Misalnya, kebimbangan, keresahan, kengerian dan lain-lain. Antara penyabab emosi ini adalah kejadian kemalangan yang traumatik, kebimbangan kehilangan kawalan terhadap sesuatu perkara, dan sebagainya. Salah satu ekspresi muka yang paling ketara apabila seseorang itu berada dalam keadaan ketakutan adalah mata seseorang itu akan dibuka dengan lebih besar disebabkan antisipasi terhadap apa yang boleh berlaku seterusnya. Selain itu, ada juga sesetengah insan yang terlalu terancam dengan ketakutan sehingga menurut apa sahaja yang diarahkan oleh orang lain.

Seterusnya saya akan mengupas mengenai perasaan malu (Embarrassment). Perasaan malu adalah suatu keadaan emosi yang kurang elok akibat perbuatan atau perkara peribadi yang tidak diterima dari segi sosial mahupun profesional yang telah dihebohkan atau disaksikan oleh orang lain. Biasanya keadaan ini melibatkan kehilangan maruah atau kehormatan seseorang individu. Perasaan ini sering kali disebabkan perbuatan yang sukar diterima dari segi sosial tetapi sememangnya tidak salah dari segi moral. Sebagai contoh, kesilapan memakai kasut dan sebagainya. (Tetapi pada zaman sekarang, pemakaian kasut berlainan bukan lagi sesuatu yang mamalukan kerana perkara itu boleh digelar sebagai fesyen.) Perasaan malu turut boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu personal dan profesional. Perasaan malu jenis personal selalunya adalah akibat perhatian berlebihan yang tidak diingini yang dicurahkan terhadap sesuatu hal peribadi atau kesilapan seseorang itu. Perasaan ini sering diiringi ekspresi seperti berpeluh, mengagap, menggelisah dan sebagainya. Ada kala seseorang itu akan cuba menyamarkan perasaan malunya dengan senyuman yang kemungkinan besar dapat dikesan disebabkan ketidak-iklasan dalam senyuman tersebut. Manakala perasaan malu jenis profesional merupakan reaksi setelah memberi kenyataan dengan penuh keyakinan tetapi tidak dapat dibuktikan atau dilaksanakan. Perkara ini sering melibatkan tugasan rasmi, pengendalian jumlah wang yang besar mahupun kehilangan nyawa akibat kelalaiannya.

Sedih (Sadness) pula merupakan suasana hati yang dipaparkan akibat kehilangan atau keadaan yang merugikan seseorang. Jika perasaan ini berpanjangan, terdapat kemungkinan yang seseorang itu mengalami kemurungan dan seterusnya memerlukan campur tangan pakar. Seseorang yang mengalami kesedihan mudah dikenali melalui ciri-ciri seperti kekurangan tenaga, pengasingan diri daripada yang lain, dan berubah menjadi pendiam secara tiba-tiba. Mereka yang berada dalam kesedihan tidak akan mempunyai keinginan untuk keluar atau bergaul dengan orang lain. Melalui kuliah ini saya pelajari bahawa seseorang yang gembira dapat memproses informasi dalam jangka masa yang pendek berbandingkan mereka yang kemurungan. Kajian menyatakan bahawa mereka yang sedih mempunyai daya kognitif yang kurang untuk memproses informasi dengan tepat.
Oleh itu, kita haruslah bergembira selalu dan jika kita terpaksa membuat sesuatu keputusan yang mustahak, janganlah kita lakukanya sewaktu kita bersedih.

Akhir sekali, kuliah minggu ini turut menjelaskan butiran mengenai perasaan marah. Marah (Angermerupakan reaksi psikologi akibat daripada keperitan, kesengsaraan, ancaman ataupun dugaan. Keperitan yang dirasai adalah disebabkan ancaman melalui konflik fizikal, ketidakadilan, penghinaan serta pengkhianatan. Perasaan marah biasanya boleh diluahkan secara aktif atau pasif. Aksi aktif adalah reaksi yang mempunyai penglibatan fizikal dan secara lisan. Manakala aksi pasif pula merupakan reaksi yang menjurus kepada tekanan, tingkah laku agresif atau kebencian. Kemarahan lazimnya diperbesarkan serta dipendam untuk jangka masa yang panjang apabila individu itu membuat keputusan membalas dendam terhadap mereka yang menyebabkan kesengsaraannya. Dari perspektif sains, kesukaran meredakan kemarahan dalam jangka masa yang pendek adalah disebabkan hormon Adrenaline. Daripada kuliah minggu ini, saya turut dapat pelajari langkah-langkah mengawal kemarahan. Antaranya adalah pertama sekali saya perlu mengakui hakikat bahawa saya berada dalam keadaan marah. Seterusnya saya perlu menilai samada situasi yang saya berada itu sesuai untuk meluahkan kemarahan saya. Selain itu, saya juga perlu menilai samada saya perlu menggunakan pendekatan secara langsung atau tidak langsung. Setelah bertindak, saya perlu mengimbas kembali apa yang telah saya alami dan tindakan saya untuk tujuan membaiki diri saya. Sebenarnya, semasa saya berada di rumah, saya selalu dikatakan seorang yang cepat marah  dan ia menjadi sukar untuk saya mengawal perasaan saya walaupun saya sedar yang saya tidak patut berkelakuan seperti itu. Saya sememangnya berharap bahawa pelajaran serta langkah-langkah yang saya pelajari melalui kuliah ini dapat membantu saya dalam menguruskan emosi saya.

Kesimpulannya, kuliah minggu ini telah banyak membantu saya dengan memberikan pengetahuan yang secukupnya untuk menguruskan emosi saya terutama sekali sewaktu saya mengalami emosi negatif.

No comments:

Post a Comment