Friday 13 August 2010

A134730 FARZANA LJ04

Pada sesi kuliah minggu ini, saya telah mempelajari tentang beberapa  struktur dalam emosi negatif. Antara komponen dalam emosi negatif ialah takut, malu,sedih dan juga marah. Takut adalah merupakan respon terhadap sesuatu bahaya yang mendatang, dan berkait rapat dengan kebimbangan. Perasaan takut adalah merupakan satu mekanisma untuk mempertahankan diri dan lazimnya berlaku apabila wujudnya sesuatu rangsangan yang bersifat negatif. Perasaan takut juga dikatakan berkait rapat dengan kerisauan dan juga keresahan. Perasaan takut boleh disebabkan oleh kejadian kemalangan yang traumatik. Seperti yang dinyatakan oleh Darwin dalam buku tulisannya, The Expressions of Emotions in Man and Animals, muka adalah bahagian tubuh yang melambangkan emosi seseorang individu. Hal ini kerana muka adalah bahagian tubuh yang senang dilihat dan bukannya bahagian tubuh yang lain. Ekspresi muka yang dapat dilihat apabila seseorang berada dalam ketakutan adalah mata individu tersebut akan terbuka dengan besar. Respon ini adalah antisipasi tentang apa yang akan berlaku seterusnya.

Komponen kedua dalam emosi negatif ialah malu. Malu adalah satu emosi yang kurang baik yang tidak diterima dari segi sosial. Namun begitu, perasaan ini tidah salah dari sudut pandangan moral. Kebiasaannya, malu melibatkan kehilangan maruah ataupun kehormatan seseorang. Perasaan malu terbahagi kepada dua jenis iaitu personal dan juga professional.  Perasaan malu jenis personal disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini terhadap perkara peribadi ataupun kesilapan individu tersebut. Sebagai contoh, perasaan malu apabila kalah dalam sesebuah pertandingan. Perasaan malu jeins personal lazimnya akan diekspresikan secara tergagap-gagap dan ada kalanya juga seorang individu tersebut akan tersipu malu. Ada kalanya individu yang berasa malu akan menutup malunya dengan cara senyum dimana kita dapat melihat senyuman tersebut tidak ikhlas. Bagi malu jenis professional pula, perasaan ini wujud setelah membuat satu kenyataan dengan yakin akan tetapi tidak dapat memberikan bukti.

Perasaan sedih adalah cara mengekspresikan perasaan kehilangan mahupun kerugian. Apabila seseorang terlalu bersedih, perkara ini akan menyebabkan kemurungan. Antara tanda-tanda sedih ialah sering tunduk, sering mengasingkan diri dari orang lain, dan juga kurang melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. Individu yang berasa sedih akan sentiasa kelihatan sayu, murung dan juga sering kelihatan suram. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Forgas, 1992, 1994, orang yang gembira lebih cepat memproses informasi dan lebih tepat berbanding dengan individu yang bersedih.

Elemen yang terakhir adalah marah. Perasaan marah adalah respon psikofisiologikal kepada kesakitan, keperitan, kesengsaraan dan juga dugaan. Perasaan marah boleh diekspresikan dalam dua bentuk iaitu pasif dan juga aktif. Bagi kes aktif, orang yang marah akan mempunyai penglibatan secara fizikal kepada targetnya. Bagi pasif pula, perasaan marah selalu diekspresikan dengan cara merajuk secara diam dan juga tertekan. Dari perspektif sains, kemarahan yang sukar diredakan dalam jangka masa yang pendek adalah disebabkan hormon Adrenaline. Perasaan marah boleh dikawal. Agak sukar untuk mengawal kemarahan dalam jangka masa yang singat. Oleh itu, seseorang perlu berasa tenang dahulu.

Kesimpulannya, tajuk kuliah pada minggu ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menangani emosi yang negatif. Sekian sahaja untuk tugasan kali ini.

 


No comments:

Post a Comment