Friday 20 August 2010

A134544 Nabihan LJ05

            Bertemu lagi kita dalam edisi jurnal pada kali ini. Saya berharap dengan terkongsinya pengalaman saya dengan pembaca-pembaca jurnal di luar sana akan dapat menambahkan lagi pengetahuan saudara saudari tentang emosi diri kita. Dengan itu, para pembaca dapat lebih pandai dalam mengawal emosi masing-masing.

            Pada minggu ini seperti biasa, pada pukul 4 petang saya melangkah masuk ke dalam kelas pengurusan emosi. Minggu ini merupakan minggu kedua bulan Ramadhan yang mulia. Sementara menunggu ketibaan pensyarah, saya sudah tersenyum sendirian kerana memikirkan makanan apa yang ingin saya makan untuk berbuka pada hari ini. Tidak sabar rasanya untuk menunggu kelas ini tamat. Dalam senyuman itu juga sebenarnya saya turut memikirkan tentang ujian matematik yang baru sahaja saya jalani sebentar tadi. Soalan yang diberikan agak susah. Apabila mengenangkan perkara tersebut, emosi saya yang tadinya gembira bertukar risau. Entah berapalah markah yang bakal saya peroleh. Semoga Allah mempermudahkan segala urusanku. Ameen.

            Pada hari ini, saya dan kawan-kawan dalam kelas pengurusan emosi telah belajar tajuk yang sedikit komplikated iaitu teori-teori fisiologikal, kognitif, dan psikoanalitik. Terdapat tiga orang tokoh yang dipelajari dalam teori fisiologikal. Mereka masing-masing mempunyai pendapat tersendiri mengenai teori tersebut. Teori-teori tersebut ialah teori James-Lange, teori The Cannon-Bard, dan teori Dapatan Psikobiologikal. Menurut teori James-Lange, reaksi fisiologikal terjadi apabila seseorang itu berada dalam situasi yang menyebabkan emosinya menjadi tidak stabil. Sebagai contohnya, Ali sedang berjalan seorang diri di kawasan perkuburan. Tiba-tiba dia mendengar sayup-sayup namanya dipanggil. Ketika itu reaksi pada tubuhnya sedang menggigil ketakutan. Emosinya lantas bertukar menjadi takut. Itu merupakan teori James-Lange.

            Teori yang kedua pula ialah teori The Cannon-Bard. Teori ini sedikit berbeza dengan teori sebelumnya. Menurut teori The Cannon-Bard bahan rangsangan akan mencetuskan emosi dahulu. Kemudian akan mencetuskan emosi dan barulah perubahan dari segi tingkah laku. Untuk memahamkan lagi teori ini, ingin saya kongsikan satu cerita yang agak kelakar pada pandangan saya. Saya mempunyai seorang kawan. Dia memang seorang yang penakut. Pada suatu malam, dia telah berjalan pulang ke asrama seorang diri. Sedang dia berjalan-jalan, tiba-tiba dia terlihat satu objek hitam yang sedang baring di hadapannya. Dengan serta merta emosi takutnya datang melanda. Dengan pantas dia berlari melintasi objek tersebut. Ketika hendak melintasi objek itu, tiba-tiba objek tersebut bergerak. Rupa-rupana seekor kucing yang sedang tidur. Mungkin kerana terperanjat dengan reaksi kawan saya itu, kucing tersebut juga berlari sambil mengiau. Itulah sedikit contoh untuk teori The Cannon-Bard.

            Teori yang ketiga pula ialah teori Psikobiologikal. Teori ini dibangunkan oleh Jack Panksepp. Teori psikobiologikal ini agak bersifat saintifik. Ini kerana Jack telah menyatakan terdapat empat emosi asas yang apabila berinteraksi dengan otak akan mencetuskan emosi lain. Emosi tersebut ialah ketakutan, keberangan, panic, dan jangkaan. Jack juga mencadangkan bahawa setiap neurokimia dalam otak kita mempunyai satu spesifik emosi. Sebagai contoh, sel neuro dopamine berhubung dengan emosi jangkaan. Manakala sel acetycholine berhubung dengan emosi keberangan. Namun begitu, teori Jack Panksepp ini telah mendapat kritikan dari pelbagai pihak.

            Itulah ketiga-tiga teori tentang fisiologikal. Sebenarnya terdapat banyak lagi ulasan yang boleh saya kongsikan bersama. Tetapi memandangkan masa yang tidak mencukupi, saya terpaksa berhenti di sini. Semoga dengan apa yang saya kongsikan pada jurnal kali ini dapat menambahkan lagi pengetahuan para pembaca. Sekian.#   


No comments:

Post a Comment