Friday 13 August 2010

A134544 Nabihan LJ04

            Alhamdulillah, bersyukur saya kepada tuhan kerana sekali lagi saya diberi kesempatan untuk menulis jurnal pada edisi kali ini. Edisi Ramadhan. Saya harap para pembaca di luar sana dapat memahami apa-apa yang saya masukkan dalam jurnal saya pada kali ini. Minggu ini merupakan minggu kelima saya mengikuti kelas pengurusan emosi ini. Seperti biasa pada hari Rabu, tepat jam 4 petang, saya melangkah kaki masuk ke kelas pengurusan emosi ini. Hari ini amat istimewa dalam diari saya sepanjang berada di UKM ini. Ini kerana hari ini merupakan hari pertama umat Islam berpuasa. Tanpa saya sedarisudah hampir dua bulan saya berada di sini. Kini sudah masuknya bulan Ramadhan. Tidak lama lagi akan  muncullah bulan Syawal. Mungkin kerana hari ini hari pertama berpuasa di UKM, saya berasa amat penat. Maklumlah baru belajar nak membiasakan diri berpuasa di sini. Namun, semangat saya tetap kuat untuk meneruskan pembelajaran saya.

 Ingin saya mulakan penulisan saya pada kali ini dengan memetik kata-kata dari buku La Tahzan. "Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi kepergianmu, dan kamu tidak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatmu. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tak pernah kembali lagi." Apakah perasaan para pembaca selepas membaca petikan tersebut? Bagi saya, saya berasa sedih. Tujuan saya memtik kata-kata tersebut adalah untuk memberi gambaran kepada para pembaca tentang perasaan sedih yang diluahkan oleh penulis menerusi kata-kata tersebut. Sebenarnya pada minggu ini, topik yang penyarah ingin bencangkan bersama adalah mengenai emosi negatif. Pelbagai emosi negatif yang biasa kita lihat. Contohnya takut, malu, sedih, dan marah. Emosi negatif ini tidak elok untuk diamalkan kerana hanya akan memudaratkan diri seseorang individu terbabit. Mungkin juga akan membawa kepada penyakit mental. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami emosi negatif. Terdapat juga banyak cara untuk mengatasi emosi negatif ini.

Saya ingin kongsikan pengalaman kawan saya yang mana ibu saudaranya telah mengalami gangguan mental akibat daripada emosi negatif ini. Pada mulanya ibu saudaranya merupakan seorang wanita normal seperti wanita-wanita yang lain di luar sana. Dia hidup ceria dan gembira. Bertambah lagi kebahagiaan dalam hidupnya apabila dia mendapat seorang suami yang penyayang dan baik hati. Selepas itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata sebagai melengkapkan lagi hidup mereka. Namun, kebahagiaan yang dikecapi tidak lama. Suatu hari dalam perjalanan pulang ke kampung, kereta yang mereka naiki telah terbabas. Dalam sekelip mata, nyawa suami dan anaknya melayang. Dia mengalami cedera parah. Selepas sedar dari koma, dia telah diberitahu tentang berita kematian suami dan anaknya. Bayangkanlah perasaannya pada detik itu. Amat sedih. Dia meraung sekuat hati dan asyik menyalahkan dirinya tentang apa yang sudah berlaku. Hari demi hari, minggu demi minggu, dia hanya duduk diam tanpa sepatah kata. Sehinggalah pada suatu hari, dia tiba-tiba bercakap seorang diri. Selepas pada hari itu dia juga sering dilihat ketawa seorang diri. Apabila ditanya dia mengatakan yang dia sedang bermain-main dengan anak dan suaminya. Disebabkan bimbang akan keadaan anaknya itu, ibu dan ayahnya sepakat untuk membawa dia untuk mendapatkan rawatan. Dia telah disahkan menghidap penyakit mental. Doktor berkata hal ini terjadi kerana, dia tidak dapat menerima berita kematian suami dan anaknya. Dia gagal untuk mengawal emosi yang dia alami. Kini, dia sedang menjalani rawatan pemulihan di hospital.

Begitulah, sedikit-sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama. Kita perlulah sentiasa berfikiran optimis. Anggaplah setiap yang berlaku mempunyai hikmah sebaliknya. Sekian. #


No comments:

Post a Comment