Friday 13 August 2010

A134393 Yanzur LJ01

Aku baru sahaja mendaftar untuk kursus Pengurusan Emosi pada minggu lepas. Jadi hari ini merupakan kuliahku yang pertama. Aku melangkah masuk ke dalam kelas dengan harapan akan ada kawan aku yang lain di sini. Tetapi malangnya semua muka-muka baru yang kulihat. Dengan hampa, aku duduk sahaja bersendirian sambil menunggu pensyarah tiba. Aku terasa seperti kehadiranku tidak dipedulikan kerana tidak ada sesiapa yang menegurku mahupun yang duduk bersebelahan denganku. Perasaan bosan mula menyelubungi diriku. Kelas 3 jam pula tu. Sudah pasti aku akan tersengguk-sengguk semasa kuliah nanti. Hmm..tak boleh jadi ni. Aku mesti fokus. Sebaik sahaja pensyarah tiba, aku pun menarik nafas dalam-dalam dan bersedia untuk menerima pengajaran hari ini. Slaid untuk kuliah hari ini pun mula ditayangkan. Tajuknya berbunyi 'Emosi Negatif'.


Takut, malu, sedih dan marah dikatakan termasuk dalam emosi negatif. Keempat-empat emosi ini sudah biasa aku lalui dan aku pasti semua orang pun begitu juga. Yang pertama sekali ialah takut. Emosi ini akan dialami sekiranya seseorang itu berada dalam bahaya dan ada kaitan dengan perasaan cemas atau bimbang. Faktor yang boleh menyebabkan kita takut ialah kisah silam yang tragis, trauma akibat kemalangan dan sebagainya. Seseorang yang dalam ketakutan anak matanya akan membesar, bibir atas terangkat dan keningnya ke dalam. Mempelajari tentang emosi takut ini membuatkan aku teringat bahawa aku sebenarnya seorang yang takutkan serangga. Pantang nampak serangga, mesti aku akan terjerit-jerit dan melarikan diri. Semasa darjah 6, aku pernah ditakutkan oleh budak lelaki yang mengetahui kelemahanku ini. Dia menangkap seekor kumbang tanduk yang besar dan meletakkan di balakang bajuku. Bila aku menyedarinya, mula lah aku menjerit sampai manangis-nangis dibuatnya. Budak lelaki itu hanya ketawa melihat gelagatku. Sungguh kejam sekali.


Seterusnya, emosi malu. Malu juga dikaitkan dengan emosi negatif rupanya. Bagi aku, malu sepatutnya sifat yang positif kerana setiap orang patutlah ada perasaan malu kan. Hmm...kita biasanya akan berasa malu apabila hilang maruah dan air muka seperti pakai baju terbalik atau tersilap pakai kasut. Terdapat dua ciri malu yang dibincangkan iaitu peribadi dan professional. Malu yang bersifat peribadi adalah apabila seseorang mendapat perhatian ramai disebabkan perbuatan silap yang dilakukannya. Selain itu, sekiranya seseorang berdepan dengan orang yang dia minati, perasaan yang dialaminya juga boleh dikatakan malu yang bersifat peribadi. Ciri malu seperti ini akan hadir dengan kombinasi tersipu-sipu(blushing), berpeluh, gemuruh(nervous), tergagap-gagap(stammering) dan gelisah. Aku ada seorang kawan yang pernah mengalaminya. Dia seorang yang agak periang dan ceria. Tetapi bila dia berdepan dengan seseorang yang diminatinya, dia serta merta berubah menjadi tersipu-sipu dan gemuruh. Malu yang bersifat professional pula biasanya berlaku di kalangan pekerja. Contohnya adalah bila seseorang dipecat atau dimarahi majikan.


Emosi negatif seterusnya yang saya pelajari hari ini ialah sedih. Ianya merupakan emosi yang menunjukkan perasaan kekurangan atau kehilangan. Sekiranya seseorang mengalami perasaan sedih yang keterlauan, ini boleh menyebabkan dia menjadi murung dan tertekan. Seseorang yang dalam keadaan sedih juga boleh berubah sikap menjadi senyap dan kurang bergaul dengan orang lain. Aku pernah mempunyai seorang kawan yang kehilangan ibunya. Sebelum itu, dia seorang yang sangat nakal dan degil. Kesedihan yang dialaminya itu telah mengubah dirinya menjadi seorang yang sangat pendiam dan suka mengasingkan diri daripada orang lain.


Kini tibalah di penghujungnya iaitu emosi yang terakhir, marah. Semasa slaid mengenai emosi ini diterangkan oleh pensyarah, aku sudah mula membelek-belekkan jam tangan aku. Dah tak sabar rasanya nak habis kelas dan balik bilik. Mata aku pun dah terpejam-pejam dari tadi. Nasib baik tak terlelap. Mungkin disebabkan tajuk kuliah hari ini yang agak menarik. Oleh itu, aku cuba bertahan dan terus memberi perhatian untuk mendengar tentang emosi negatif yang terakhir ini. Marah adalah emosi yang kedengaran paling negatif di antara emosi negatif yang lain. Ini kerana emosi ini selalu dikaitkan dengan api yang datang dari syaitan. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh mendatangkan keburukan pada diri kita. Jadi, kita hendaklah tahu cara untuk mengawalnya. Terdapat beberapa cara mengawal marah dan salah satunya adalah dengan mengakui kita berada dalam keadaan marah.


Kesimpulan yang aku dapat daripada tajuk kuliah ini ialah emosi negatif akan dialami oleh semua orang dan kita seharusnya tahu cara-cara untuk mengawalnya.

No comments:

Post a Comment