Friday 27 August 2010

A134284 NG EAIN YI LJ06

         Topik minggu ini membincangkan tentang Teori Asas Adaptasi. Setiap orang memerlukan masa untuk mengadaptasikan diri dalam keadaan yang berbeza. Apabila dirangsang oleh stimuli, kami akan bertindak berdasarkan aras adaptasi kami sekarang. Aras adaptasi seseorang dikatakan "neutral" dalam fungsi relatif kepada  situasi stimulus tertentu. Penilaian kita terhadap sesuatu situasi akan menyumbang kepada pengalaman emosi kita. Penilaian kognitif kita terhadap sesuatu situasi pula menentukan intensiti pengalaman emosi kita. ( Lazarus, Kanner and Folkman, 1980). Sebagai contoh, bunyi kenderaan yang kuat akan dianggap bising bagi sesetengah orang, tetapi tahap bunyi yang sama akan dianggap biasa bagi orang lain. Ini menunjukkan bahawa setiap orang mempunyai tahap adaptasi yang berbeza.

            Sebagai manusia, kita tidak akan berpuas hati dengan benda yang sama. Sebagai contoh, pada zaman kecil saya, saya akan berasa bosan setelah bermain dengan patung yang sama untuk satu tempoh masa. Saya tidak akan berpuas hati bermain dengan patung itu lagi dan sering meminta ibu bapa untuk membelikan patung yang baru untuk saya.

            Minggu ini kami juga belajar tentang teori proses bertentangan Solomon yang diperkenalkan oleh Richard Solomon pada tahun 1980 untuk tindakan ketagihan. Teori Solomon mengatakan bahawa emosi diseimbangkan ke satu titik neutral dalam jangka masa yang panjang dan juga pendek. Setiap emosi akan mewujudkan emosi yang bertentangan.

            Satu peristiwa emosional akan mewujudkan tahap primari. Tahap ini pula dikatakan akan mewujudkan tahap bertentangan. Teori ini difahamkan bahawa tahap primari adalah otomatik dan bukan berasal daripada pembelajaran. Tahap 2, iaitu tahap bertentangan merupakan emosi yang bertentangan dengan tahap primari yang bermula selepas tahap primari. Biasanya emosi ini akan berpanjangan dan lebih kuat dengan pengulangan. Semasa mula masuk ke UKM, kami pelajar tahun 1 akan sering merungut dan tidak biasa dengan cara kehidupan yang baru. Tetapi setelah berada di sini selama sebulan, ramai orang mula menyesuaikan diri dengan keadaan di UKM. Ini menunjukkan bahawa titik neutral adaptasi kami telah berubah, iaitu menjadi biasa dengan cara kehidupan di UKM. Perubahan emosi adalah bermula daripada perasaan yang amat takut dan risau mula menjadi selesa dan gembira kerana dapat berkenalan dengan ramai kawan.

            Pengulangan pengalaman emosional meningkatkan kekuatan relatif emosi bertentangan. Sebagai contoh, emosi takut bertentangan dengan seronok. Semasa berada di tingkatan 6, cikgu subjek MUET saya suka membuat sesi percakapan dalam Bahasa Inggeris depan semua ahli kelas. Kali pertama nama saya dipanggil keluar untuk berucap, tangan dan kaki saya berasa sejuk dan saya mula menggigil. Saya tidak dapat menyampaikan mesej yang ingin disampaikan. Namun demikian, setelah beberapa kali berucap di depan, saya mula menyesuaikan diri dengan keadaan di depan kelas. Saya dapat berucap dengan selesa dan seronok melakukannya kerana sudah adaptasi dengan keadaan itu.

            Dalam model proses bertentangan, ini merupakan akibat pertukaran emosi dari takut kepada seronok. Terdapat satu contoh lagi di mana saya akan berasa takut apabila berdepan dengan orang yang tidak dikenali. Saya akan berasa tidak selesa dan berasa takut untuk mula berkawan dengan orang lain. Setelah berbuat demikian berulang kali, saya sudah biasa dengan menjadi lebih aktif dan membuat kawan dengan ramai orang. Bilangan kawan saya semakin bertambah apabila saya sudah membuat keputusan untuk mencari dan berkawan dengan orang lain dengan menjadikan diri saya lebih berani. Oleh itu, teori Soloman merefleksikan pelbagai jenis emosi yang bertentangan seperti emosi takut dengan berani.

No comments:

Post a Comment