Thursday 19 August 2010

A134284 NG EAIN YI LJ05

Kuliah minggu ini membincangkan tentang teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Terdapat 3 teori utama dalam teori fisiologikal, iaitu James-Lange theory, Cannon-Bard Theory and Psikobiologikal teori. James-Lange theory merupakan teori psikologi emosi yang paling lama. Teori ini mempunyai hipotesis yang mengatakan bahawa reaksi fisiologikal terhadap sesuatu stimulus akan mencetuskan emosi. Teori "common-sense" menunjukkan bahawa situasi akan melahirkan emosi yang kemudiannya akan mencetuskan reaksi tubuh. Sebagai contoh, apabila ternampak kejadian kebakaran, kita akan berasa takut dan risau dahulu. Selepas beberapa saat, barulah kita akan menunjukkan reaksi kita dan mula meminta tolong atau menelefon Jabatan Bomba. Tetapi, teori James-Lange pula menyatakan bahawa situasi akan mencetuskan reaksi tubuh kemudian melahirkan emosi. Contohnya, apabila ternampak ular, jantung seseorang akan berdegup dengan kencang, barulah mula berasa takut.

Cannon-Bard pula mempunyai pandangan yang berbeza. Walter Cannon berpendapat bahawa reaksi emosi akan bertindak dengan lebih cepat setelah distimuli.  Reaksi fisiologikal akan bertindak lebih lambat. Beliau mengatakan bahawa kadar degupan jantung dan tekanan darah tidak boleh digunakan untuk mengukur jenis emosi yang akan dialami. Apabila saya nampak kilat, saya akan berasa takut sebelum mengambil keputusan untuk lari ke tempat yang selamat.

Teori yang kedua adalah teori kognitif. Terdapat teori-teori yang mencadangkan kognitif atau pemikiran sebagai aspek yang penting dalam melahirkan emosi. Teori pelabelan kognitif Schacter ialah antara teori tersebut. Teori Schacter adalah sama dengan teori James-Lange, iaitu apabila menghadapi sesuatu situasi, seseorang akan mempunyai reaksi tubuh dahulu kemudian baru lahir emosi, dengan pemikiran kognitif dalam proses.

"Misattribution" atau kesilapan dalam anggapan merupakan teori kognitif juga. Contoh yang diberi dalam kuliah berkaitan dengan "misattribution" ialah sindrom sebelum datang haid. Saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya dahulu semasa berada di tingkatan 6. Saya belajar di sekolah menengah laki-laki yang hanya ada pelajar perempuan dalam tingkatan 6. Oleh itu, pelajar lelaki yang meneruskan pengajian mereka dalam tingkatan 6 sekolah itu kurang mempunyai pengalaman dalam memerhatikan perubahan tingkah laku dan emosi perempuan sebelum datang haid. Apabila seseorang pelajar perempuan mengamuk secara tiba-tiba, biasanya pelajar-pelajar lelaki ini akan bertanya pada kawannya: adakah dia datang haid? Perkara ini sering dijadikan sebagai alasan seseorang perempuan mempunyai emosi yang tidak stabil, padahal perempuan itu mungkin akan berasa marah atas sesuatu kejadian yang berbeza.

Seterusnya, kami berbincang tentang pemindahan emosi yang terangsang. Semasa saya bekerja sebagai seorang guru di sebuah tadika, saya sering diingatkan bahawa jangan membawa perasaan saya dalam kelas sebelumnya ke kelas yang saya bakal mengajar. Namun demikian, terdapat sekali di mana seorang pelajar 6 tahun saya yang tidak pernah mendengar semasa saya mengajar kelas itu. Dia akan termenung sepanjang kelas itu. Saya akan berasa marah apabila dia tidak menumpukan perhatian. Apabila masuk ke kelas seterusnya, emosi saya masih akan terbawa-bawa emosi saya di kelas sebelumya. Ada kalanya pelajar-pelajar kelas lain akan dihukum atau saya akan menjerit pada mereka sekiranya saya berasa teramat marah pada kelas sebelumnya. Ini menjelaskan bahawa kebangkitan emosi daripada satu sumber akan mempengaruhi kognitif dan reaksi yang tidak berkaitan daripada teori pemindahan emosi.

Penilaian kognitif Lazarus menjelaskan tentang komponen emosi dan proses mengatasi sesuatu masalah emosi. Penilaian primari  menilai kepentingan stimuli dengan kesejahteraan seseorang manakala penilaian sekunder menilai cara mengatasi stres emosi yang berkemungkinan. Sebagai contoh, kawan saya pernah bercerita bahawa dia pernah disamun berkali-kali di mana penyamun merampas semua barang  beharganya. Setelah, mengalami perkara ini beberapa kali, dia menggunakan pengalaman lalunya dan sempat melarikan diri.

Tindakan impuls melibatkan pemprosesan tindakan yang perlu diambil secara kognitif. Ini melibatkan proses "flight or fight" di mana apabila menghadapi bahaya, seseorang itu akan cabut atau lawan. Apabila seorang orang asing mendekati kamu dan minta kamu naik keretanya, apakah yang perlu dilakukan? Tentulah cabut lari!

No comments:

Post a Comment