Wednesday 4 August 2010

A134284 NG EAIN YI LJ03

Minggu ini kami diberi tajuk emosi positif, iaitu gembira, bahagia dan kasih. Pernahkah anda bertanya, apakah itu kegembiraan? Saya sering menujukan soalan ini kepada diri saya. Saya difahamkan bahawa kegembiraan merupakan satu emosi yang dibentuk daripada perasaan kenikmatan, kesenangan serta rasa puas hati. Apabila seseorang itu rasa puas hati, senang hati mahupun kenikmatan, maka adanya kegembiraan. Terdapat beberapa falsafah yang tercatat berkaitan tentang kegembiraan. Aristotle, Plato, Epicurean dan Mills merupakan ahli-ahli falsafah yang memberi pandangan berbeza mengenai kegembiraan. Saya lebih setuju dengan falsafah Epicurean, iaitu kegembiraan adalah maxima kesenangan hati dan minima kesakitan. Bila seseorang itu berasa gembira, orang tersebut hanya akan berasa dipenuhi dengan kesenangan hati sehinggakan tahap kesakitan atau kesedihan adalah sangat rendah. Semasa saya kecil, terdapat satu kali di mana lutut saya berdarah akibat terjatuh daripada basikal ketika cuba belajar menunggangnya. Lutut saya berasa amat sakit. Namun, saya tetap berdiri dan cuba menunggang beberapa kali lagi. Akhirnya, saya berjaya menunggang basikal yang beroda dua! Ketika itu, perasaan puas hati membawa kepada kegembiraan di dalam hati saya. Saya tidak teringat tentang lutut saya yang masih berdarah lagi. Betapa hebatnya emosi gembira ini berfungsi dalam hidup kita!

Terdapat satu kajian yang dibuat antara negara-negara yang berbeza menunjukkan bahawa kegembiraan adalah berbeza di negara yang berlainan (Veenhoven, 1995). Budaya negara Asia menunjukkan tahap kegembiraan diri yang lebih rendah. (Diener et al, 1995) Kenyataan ini dikatakan benar kerana saya percaya bahawa orang Asia adalah lebih konservatif dan tidak suka menunjukkan emosi diri mereka depan orang lain. Orang Asia tidak suka menzahirkan emosi atas muka mereka. Mereka lebih kepada "menyimpan" emosi mereka dan  menguruskan emosi mereka sendiri daripada meluahkan kepada kawan-kawan. Sebagai contoh, apabila orang Amerika atau Eropah menerima hadiah daripada orang lain, mereka akan memeluk orang itu dan ada yang sehinggakan akan mencium orang tersebut. Bagi orang Asia pula, kami cuma akan senyum dan mengatakan terima kasih. Orang Asia akan mengutamakan kesopanan dan jarang menunjukkan emosi, manakala orang Barat pula menunjukkan perasaan yang mereka rasa terus daripada hati mereka.

Seterusnya, kegembiraan boleh dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu afektif jangka masa panjang dan afektif jangka masa pendek. Keadaan afektif jangka masa panjang merupakan  emosi yang berterusan sejak dari kecil sehingga masa kini, emosi ini berpanjangan dan stabil. Peristiwa-peristiwa seperti baru berkahwin dan baru dinaikkan pangkat pula merupakan afektif jangka masa pendek yang berlaku dalam masa terdekat. Kegembiraan ini hanya dapat dirasai untuk satu tempoh masa yang pendek. Kegembiraan yang sebenar mesti merangkumi kedua-dua jenis kategori kegembiraan. Seseorang yang membesar dalam keluarga yang bahagia dapat naik ke menara gading dan melanjutkan pelajarannya menyebabkan orang itu mempunyai kegembiraan yang beterusan kerana orang itu mendapat kegembiraan sementara kerana dapat melanjutkan pelajaran serta masih mempunyai kegembiraan yang diperolehi sejak kecil, iaitu dibesarkan dalam keluarga yang bahagia.

Menurut kajian Argyle (1987), perkara positif dalam hidup yang dialami oleh orang ramai adalah dilamun cinta. Dalam pandangan orang ramai, dilamun cinta dikatakan merupakan perkara yang paling gembira dalam hidup mereka. Semasa bercinta, manusia akan dipenuhi dengan perasaan cinta, kasih dan sayang yang membawa tenaga positif kepada mereka. Terdapat tiga faktor kasih sayang, iaitu komitmen, ghairah dan keintiman. Sesuatu percintaan itu hanya akan berpanjangan dengan adanya ciri-ciri tersebut. Perasaan rindu sering dirasai dan akan berasa susah hati sekiranya tidak dapat berjumpa. Kawan saya Sharon, mempunyai ketiga-tiga faktor ini. Apabila teman lelakinya menghadapi masalah sama ada dari segi pembelajaran ataupun keluarga, dia akan berasa gelisah dan akan mencari jalan penyelesaian untuk temannya. Ini menunjukkan komitmen dan ghairah yang kuat dalam satu percintaan. Dia dan temannya selalu berkongsi masalah antara mereka, "sms" tiap-tiap hari, maka adanya keintiman antara mereka.

Faktor-faktor lain yang membawa kepada kegembiraan termasuklah perkahwinan, mendapat anak, kesihatan, persahabatan, kerja dan rekreasi. Untuk diri saya, kegembiraan selalu datang daripada persahabatan. Dapat meluangkan masa untuk berkongsi dengan rakan merupakan masa yang paling gembira bagi saya. Kami boleh berjenaka, berkongsi masalah dan berkongsi pengalaman hidup. Terdapat juga factor penghayatan agama. Mereka yang beragama dikatakan lebih gembira dan kurang rasa tekanan hidup. Mereka akan mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap depresi dan penyalahgunaan dadah berbanding dengan mereka yang tidak khusyuk dalam agama. Ini adalah kerana mereka yang patuh pada agama akan senang berasa puas hati terhadap hidup mereka. Agama berperanan memberi panduan hidup yang betul kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment