Thursday 12 August 2010

a133832 nurul lj04

            Hidup ini umpama roda, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah merasai pelbagai rencah pahit manis kehidupan. Suatu kejadian atau perkara yang terjadi mungkin menggembirakan orang lain tetapi tidak pada kita yang boleh menimbulkan emosi negatif. Pada kuliah kali ini, saya telah mendapat lebih banyak input-input yang berguna untuk saya aplikasikan dalam kehidupan seharian dan mengenali beberapa cara yang lebih efektif untuk mengawal emosi saya. Emosi negatif, inilah tajuk lanjutan kuliah subjek pengurusan emosi pada minggu kelima dan merupakan hari pertama bagi seluruh umat Ialam menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.. Penatnya tidak terkira, maklumlah hari pertama berpuasa tetapi sebagai umat islam semua ini merupakan satu dugaan yang harus ditempuhi dengan hati yang sabar.

            Takut, malu, sedih dan marah merupakan antara elemen dalam emosi negatif yang saya pelajari pada minggu ini. Pertama sekali saya ingin memberi perincian tentang makna disebalik perasaan takut. Takut merupakan tindak balas emosi terhadap sesuatu bahaya yang akan terjadi dan berkait dengan rasa kebimbangan seseorang. Takut merupakan satu mekanisme untuk meneruskan kehidupan dan biasanya berlaku apabila adanya tindak balas terhadap sesuatu ransangan yang negatif. Takut juga mungkin berpunca daripada trauma yang dialami pada masa kecil. Tentu sekali kejadian tsunami yang pernah melanda pada tahun 2006 meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penduduk yang kampungnya dilanda bencana ini dan nyata memberikan trauma kepada mereka terutama yang kehilangan ahli keluarga tersayang. Bagi kanak-kanak yang mengalami situasi ini mungkin akan berasa fobia tehadap air (hydrophobia) dan takut untuk ke pantai lagi. Saya sendiri turut berasa gerun setiap kali berada di persisiran pantai apabila tiba-tiba terlintas apakah nasib saya sekiranya tsunami berlaku ketika itu dan selalu memandang ke laut.

            Semua orang dikurniakan dengan perasaan malu dan tahap malu itu berbeza-beza bagi setiap individu. Malu merupakan  keadaan emosi yang kurang menyenangkan apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima sama ada secara social atau professional. Biasanya, malu mungkin melibatkan maruah kita sedikit tercalar atau hilang kehormatan tetapi ianya bergantung pada situasi yang terjadi.  Rasa malu boleh dikategorikan kepada dua, malu secara personal dan malu secara profesional. Malu secara personal disebabkan oleh perhatian yang tidak diinginkan terhadap perkara-perkara peribadi, contohnya, kawan saya merupakan anak seorang kaki pukul dan dia langsung tidak menceritakan tentang ayahnya dan saya sendiri mengetahuinya apabila ibunya jatuh sakit selepas dipukul oleh ayahnya. Mungkin kerana terlalu tertekan memendam rasa, akhirnya dia menceritakan kepada saya dan kawan-kawan yang lain kerana katanya dia betul-betul malu mempunyai seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, malu secara professional pula terjadi selepas menyatakan sesuatu dengan yakin atau salah memberi maklumat kepada orang umum dan ini biasa berlaku kepada para pemimpin. Sesuatu tugas yang tidak dapat dijalankan dengan baik juga merupakan malu secara professional. Malu biasanya akan diiringi oleh kombinasi tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergagap-gagap dan gelisah.

            Sedih pula merupakan keadaan perasaan yang menunjukkan rasa hilang, kekurangan dan kelemahan. Ketika dalam keadaan sedih, seseorang akan menjadi pendiam, kurang bertenaga dan cuba mengasingkan diri. Masih saya ingat ketika arwah nenek saya pergi menyahut panggilan Ilahi, ibu saudara saya yang cukup dikenali dengan mulut becoknya tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun dan Alhamdulillah keadaan ini tidak berlanjutan kerana akan memberi kesan pula terhadap anak-anaknya. Orang yang bersedih tidak mahu keluar bercampur dengan orang lain dan tidak aktif. Menurut Isen (1987), keupayaan seseorang untuk memproses sesuatu maklumat bergantung pada anginnya (mood). Orang yang ceria lebih cepat memproses maklumat yang diterima berbanding mereka yang dalam kesedihan.

            Selain itu, marah ialah respons fisiologi terhadap sakit, merasai penderitaan atau menyusaahkan hati yang dirasai kesan dari konfliks fizikal, tidak adil, kecuaian, memalukan dan kecurangan. Dalam keadaan emosi marah yang aktif, seseorang cenderung untuk melepaskan marahnya secara lisan atau perbuatan pada target tersebut. Saya bersetuju bahawa susah untuk menenangkan diri dalam masa yang singkat apabila kita berada dalam keadaan, jadi kita harus mengatasinya dengan mengakui hakikat bahawa anda dalam keadaan marah dan menilai sama ada situasi ini sesuai untuk anda meluahkan marah. Sekiranya anda rasa sesuai untuk meluahkan kemarahan tersebut, nilaikan adakah anda perlu menggunakan pendekatan secara langsung atau tidak. Setelah anda bertindak, imbas kembali apa yang telah anda alami dan tindakan anda untuk tujuan membaiki. Nampaknya setakat ini saja kupasan saya untuk kuliah minngu ini. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment