Friday 20 August 2010

A133818 nursufiah LJ05

Salam sejahtera.Kuliah pada minggu ini membincangkan mengenai hubungkait antara
minda dengan emosi.Antara teori yang diutarakan dalam kuliah ini ialah teori
James-Lange,teori Cannon-Bard dan teori fisiobiologi.
Minda dan tubuh mempunyai hubungan neorologi yang kukuh. Dengan demikian,
persepsi kita dan fisiologi kita berkait dengan kuat.Maksudnya, apabila kita
mengubah yang satu, yang satu lagi turut berubah. Apabila persepsi kita adalah
kekecewaan, tubuh kita mengikut fisiologi kekecewaan. Ini memang jelas. Pada
masa yang sama, mengubah fisiologi kita juga mempengaruhi bagaimana minda kita
menerima dan memahami apa yang berlaku di sekelilingnya.
Misalnya, apabila kita meletakkan diri kita dalam fisiologi kecewa, saya pasti
kita mula melihat banyak perkara sebagai susah dan tidak boleh dilakukan. Kita
melihat pada suatu cabaran dan berasa tidak mampu mengendalikan hal itu.Tetapi
apabila kita berada dalam fisiologi positif, kita melihat hal itu secara berbeza
iaitu secara positif. Kita memikirkan kemungkinan yang dapat kita lakukan,
bukannya meletakkan halangan di hadapan kita.
Menyentuh dengan lebih mendalam,secara primitifnya setiap haiwan akan bertindak
berdasarkan emosinya. Perasaan takut dan terancam menjadikannya bersifat
mempertahankan diri dengan melarikan diri atau menyerang. Kita biasa melihat
reaksi ular tedung yang terancam reaksi monyet, anjing, kucing dan itik angsa
apabila mereka takut atau lapar. Lihatlah bagaimana sikap haiwan-haiwan ini
ketika mereka takut khususnya jika mereka beranak kecil yang perlu dipertahankan
dan ketika mereka mahukan makanan. Bagaimanakah keadaan agresifnya mereka.
Inilah dikatakan minda primitif yang secara fitrah tersedia di dalam makhluk
yang bernama haiwan termasuk manusia. Emosi dan perasaan yang tersedia di dalam
diri kita akan menguasai seluruh keputusan dan tindakan kita. Bezanya manusia
mempunyai akal fikiran yang boleh mengawal emosi ini dengan mengubah kepercayaan
asal kepada kepercayaan baru sekaligus meredakan dorongan emosi dan menjadikan
tindakan lebih rasional.
Asalnya manusia tidak takut kepada hantu. Apabila sejak zaman kanak-kanak lagi
kita selalu disogokkan dengan cerita-cerita hantu maka wujud satu kepercayaan
dalam diri bahawa hantu adalah makhluk yang ganas, bahaya dan menakutkan. Kita
juga sentiasa dikaitkan hantu dengan rumah kosong, hutan, tanah perkuburan dan
gelap malam. Apabila kita melalui tempat-tempat seumpama ini perasaan takut akan
menguasai minda dan tindakan kita. Perasaan takut kepada hantu akan menguasai
tindakan kita.
Kebanyakan barang-barang pengguna seperti sabun, ubat gigi, kopi, teh dan
sebagainya tidak ada banyak perbezaannya. Begitu juga burger yang dibuat dan
dijual oleh peniaga pasar malam dan MC Donald. Namun walaupun burger MC Donald
lebih mahal masyarakat tetap memilihnya. Bukan kerana rasa burgernya sahaja
tetapi persembahannya, layanan pekerjanya, persekitarannya dan iklan yang
bertubi-tubi telah menimbulkan perasaan suka seronok dikalangan masyarakat untuk
menikmatinya.
Oleh itu dorongan pembuat keputusan dalam diri manusia 80% adalah disebabkan
perasaan seronok dan takutnya bukan rasionalnya. Hakikat ini bukan sesuatu yang
pelik dan ia adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Sebab itu Allah
sentiasa menceritakan mengenai nikmat syurga supaya timbul perasaan di dalam
diri manusia kemahuan yang kuat untuk mendapatkan syurga dan begitu juga
al-Quran sentiasa menggambarkan keadaan neraka supaya manusia merasa takut untuk
dihukum dengan dimasukkan kedalam neraka.
Dalam hidup kita, kadang-kadang kita amat mahu mencapai sesutu kejayaan dalam
apa yang kita lakukan tetapi kita sering menanggguhkan tindakan yang telah kita
rancangkan. Kenapa?
Sebabnya walaupun kita merasai kejayaan itu sesutu yang amat menyeronokkan
tetapi laluan kepadanya dianggap oleh perasaan kita sebagai sesutu yang
menyakitkan maka ia menjadi penghalang kepada tindakan kita. Kita akan berjaya
apabila kita menukarkan dalam minda kita semua perancangan, tindakan, aktiviti
yang dirancang adalah menyeronokkan barulah kejayaan akan datang.
Perjalanan yang jauh akan memenatkan jika kita hanya menyangka keseronokan
adalah dipenghujung jalan tetapi jika kita menganggap semua yang kita lakukan
disepanjang perjalanan adalah pengalaman yang menyeronokkan kita tidak akan
merasai kepenatan. Inilah kelebihan manusia. Kita boleh mengawal emosi kita
dengan mengubah sesuatu yang negatif menjadi positif dan jika ini adalah tabiat
hidup kita tidak ada apapun dalam hidup yang akan menjadikan kita sedih.
Nabi bersabda : " Sungguh menakjubkan urusan hidup orang yang beriman, semua
keadaan hidupnya adalah kebaikan. jika dia ditimpa kebaikan dia bersyukur maka
ia adalah kebaikan untuknya dan jika dia ditimpa keburukan dia bersabar dan itu
adalh kebaikan untuknya".
Oleh itu kita perlu mengawal emosi kita dengan menukarkan pandangan minda kita
kepada pandangan yang positif. Setiap perkara ada kebaikan dan keburukan tetapi
jika kita melihat kebaikannya kita akan dapat menerima dan bersabar dengan
keburukannya terutamanya apabila kebaikannya mengatasi keburukan.Sekian.

No comments:

Post a Comment