Friday 20 August 2010

A133756 AMANINA LJ05

Salam Ramadhan.Pada minggu ini, saya telah mempelajari tentang teori-teori fisiologikal,kognitif dan psikoanalitik. Sesi pembelajaran kali ini lebih menguji minda kerana kami telah didedahkan dengan pelbagai teori yang berkenaan dengan emosi antaranya ialah Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan Teori Psikobiologikal. Teori-teori ini telah dirangkumkan daripada teori fisiologikal. Menyentuh tentang Teori James-Lange, teori ini telah dicadangkan oleh William James dan disokong oleh Carl Lange yang mana telah mengetengahkan hipotesis iaitu reaksi fisiologi terhadap rangsangan merupakan pencetus emosi. Ini bermakna, apabila seseorang berada dalam suatu situasi , tubuhnya akan memberi reaksi dan seterusnya akan mencetuskan emosi. Sebagai contoh, seseorang yang berada dalam keadaan cemas dan mendebarkan , jantungnya akan berdegup kencang dan ini membuatkan dia berasa takut. Teori ini mengingatkan saya pada pengalaman lampau seorang rakan yang terpaksa pulang dari kelas tambahan pada malam hari, lewat 12 malam. Oleh sebab beliau terpaksa melalui jalan yang gelap dan sunyi, jantungnya berdegup kencang bagaikan mahu tercabut dan ini menyebabkannya berasa takut dan mula berfikir perkara yang tidak masuk akal. Disebabkan situasi yang sunyi dan gelap, dia berasa takut. Keadaan ini bolehlah disandarkan pada Teori James-Lange. 
Teori James-Lange ini telah dikritik oleh Walter Cannon lalu beliau telah mencadangkan Teori Cannon-Bard yang dibantu oleh Phillip Bard. Mereka telah mencadangkan bahawa rangsangan dalaman atau luaran menyebabkan impuls sensori yang dihantar ke korteks otak membawa kepada penghasilan sensasi emosi. Sebuah stimulus secara serentak mengarah pada kedua-dua respon tubuh dan sensasi emosi. Sebagai contoh, seorang penoreh getah yang terlihat seekor harimau(stimulus) akan berasa takut(emosi) lalu segera melarikan diri(reaksi). Teori Psikobiologikal pula telah dikembangkan oleh Jack Panksepp. Beliau mencadangkan 4 emosi dasar iaitu takut, marah, panik dan harapan. Kempat-empat emosi ini berinteraksi untuk menghasilkan emosi yang lain. Apabila kita melihat dengan lebih mendalam, teori-teori ini dapat dibandingkan. Persamaan yang terletak pada teori-teori ini ialah emosi ialah produk dari otak dan sistem saraf.

No comments:

Post a Comment