Friday 20 August 2010

A133720 Nurul LJ05

Seperti minggu-minggu sebelum ini, setiap hari Rabu saya akan mengikuti kuliah pengurusan emosi. Pada minggu ini, satu lagi tajuk telah kami pelajari iaitu teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Tajuk pada minggu ini agak sukar untuk difahami kerana banyak teori yang perlu dibincangkan. Alhamdulillah saya dapat memahaminya di akhir kuliah setelah memberi tumpuan sepenuhnya kepada pensyarah.

Teori fisiologikal adalah hasil daripada otak dan sistem saraf. Teori ini boleh dipecahkan kepada  tiga teori iaitu Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan Teori Psikobiologikal. Teori James-Lange adalah teori terawal yang telah dikemukakan oleh William James pada tahun 1884 dan disokong oleh Carl Lange (1887). Mereka telah mengemukakan satu hipotesis yang mengatakan bahawa tindak balas fisiologikal terhadap rangsangan akan melahirkan emosi. Saya berikan satu contoh untuk lebih memahami hipotesis ini. Ketika saya di tingkatan lima dulu, saya pernah melakukan aktiviti 'night walk' di Agro Resort. Pada pukul satu pagi, kami telah dilepaskan seorang demi seorang di dalam hutan yang gelap gelita. Ketika berjalan seorang diri, perubahan yang berlaku dalam diri saya menimbulkan perasaan takut ketika itu. Daripada contoh ini, kita boleh simpulkan bahawa hutan yang gelap gelita  merupakan rangsangan (stimuli), perubahan dalam diri merupakan reaksi fisiologikal dan perasaan takut adalah emosi yang tercetus. Namun, Walter Cannon telah mengkritik teori ini. Beliau mengatakan bahawa sistem organ yang mencetuskan tindak balas emosi lambat bertindak terhadap rangsangan.

Teori kognitif pula mengatakan bahawa pemikiran adalah perkara pertama yang menjana emosi. Teori ini boleh dipecahkan kepada empat iaitu 'Schachter's Cognitive Labeling', 'Misattribution', 'Transfer of Excitation' dan 'Cognitive Appraisal'. Dalam keempat-empat pecahan ini, saya begitu tertarik dengan 'transfer of excitation' iaitu pemindahan penerujaan. Menurut hipotesis Dolf Zillman, kegembiraan yang berpunca daripada satu sumber boleh mempengaruhi yang lain walaupun tidak berkaitan. Di sini saya ingin kongsikan satu cerita yang mana berlaku ketika saya di sekolah menengah dulu. Guru Fizik saya merupakan seorang yang lemah-lembut tetapi tegas dengan para pelajarnya. Namun pada suatu hari, beliau masuk ke kelas dengan muka yang masam dan tiada senyuman seperti biasa. Beliau mengajar seperti biasa tetapi suasana di dalam kelas tidak ceria seperti selalu. Kami buntu memikirkan perubahan terhadap dirinya. Selepas diselidik barulah kami tahu bahawa beliau marah dengan seorang pelajarnya yang tidak menyiapkan tugasan yang diberikan. Perasaan marahnya terbawa-bawa sehingga masuk ke kelas kami walaupun pada hakikatnya beliau marahkan orang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan 'transfer of excitation'.

Teori seterusnya ialah teori psikoanalitik. Dalam teori ini, fisiologi dan kognitif dianggap pengalaman emosi secara sedar. Namun, Sigmund Freud tidak bersetuju dan mengatakan bahawa pengalaman emosi adalah proses yang berlaku secara tidak sedar. Teori ini menekankan emosi-emosi negatif terutamanya bimbang dan marah. Perasaan bimbang dan marah ini berlaku secara tidak sedar. Sejak kebelakangan ini, banyak akhbar melaporkan tentang kes pembuangan bayi. Setelah membaca berita mengenai kes seumpama ini, tiba-tiba hati saya panas  dan berasa sangat marah dengan  manusia yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan ini kerana sanggup membuang bayi yang tidak berdosa. Mengapa ada manusia yang sanggup melakukan perkara seperti ini sedangkan haiwan pun tahu sayangkan anak.

Kesimpulannya, ramai tokoh yang mengemukakan teori masing-masing mengenai emosi dan semestinya terdapat persamaan dan perbezaan antara teori-teori yang dikemukakan. Justeru kita dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai emosi berdasarkan teori-teori yang telah dipelajari ini.

No comments:

Post a Comment