Thursday 12 August 2010

A133720 Nurul LJ04

Sebagaimana yang kita sedia maklum, dalam dunia ini ada pasangan dan lawannya. Siang lawannya malam, lelaki pasangannya perempuan dan begitulah juga dengan tajuk pada minggu ini. Tajuk pada minggu ini merupakan tajuk yang berlawanan dengan tajuk pada minggu lepas iaitu emosi negatif. Sebagaimana emosi positif, emosi negatif  juga mudah difahami dan dipelajari. Emosi negatif merangkumi takut, malu, sedih dan marah.

Takut merupakan tindak balas emosi terhadap bahaya yang akan berlaku dan berkait rapat dengan kebimbangan. Peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam atau trauma boleh menyebabkan seseorang itu berasa takut. Saya pernah menonton sebuah cerita yang bertajuk 'The Watch' yang mengisahkan seorang remaja perempuan, Jane, yang mengalami trauma. Semasa kecil, Jane pernah diculik dan dikurung dalam sebuah bilik yang gelap dan sempit dengan tangan dan mulutnya diikat. Sejak dari peristiwa itu, Jane takut akan gelap dan tidak berani untuk bersendirian sehinggalah dia dewasa. Selain itu, kita juga boleh mengetahui bahawa seseorang itu berada dalam keadaan takut dengan melihat ekspresi mukanya. Kebiasaannya, mata mereka akan terbuka luas dan kening akan bercantum. Riak wajah seperti ini jelas menggambarkan yang seseorang itu berada dalam ketakutan.

Seterusnya, malu. Malu dapat ditafsirkan sebagai emosi yang dihadapi kerana melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka. Teringat saya akan satu peristiwa yang memalukan saya ketika berada di sekolah menengah dulu. Peraturan sekolah telah menetapkan bahawa semua pelajar dikehendaki memakai sandal atau kasut ketika kelas persediaan petang atau malam. Namun pada suatu malam, saya hanya memakai selipar untuk ke kelas persediaan. Malangnya, pada malam itu warden telah melakukan pemeriksaan dan merampas selipar saya. Saya terpaksa pulang ke asrama dengan berkaki ayam pada malam itu dan berasa sungguh malu apabila pelajar-pelajar lain ketawa melihat saya tidak berselipar. Namun, saya atasi perasaan malu itu dengan berjalan seperti biasa dan menganggap tiada apa-apa yang berlaku.

Sebenarnya, malu boleh dibahagikan kepada dua iaitu persendirian dan profesional. Apa yang dimaksudkan dengan malu persendirian ialah sesuatu tindakan yang dilakukan oleh diri sendiri yang mendatangkan malu seperti kalah teruk dalam sesuatu pertandingan. Selalunya orang yang malu akan menutup perasaan malu itu dengan tersenyum dan ketawa yang dibuat-buat. Malu profesional pula ialah malu dalam sesuatu organisasi atau pekerjaan. Sebagai contoh, seseorang itu berasa malu kerana tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.

Emosi negatif  yang seterusnya ialah sedih. Sedih ialah emosi yang dirasai apabila kita merasa kekurangan dan kehilangan sesuatu. Perasaan sedih yang teramat boleh mendorong seseorang itu mendapat kemurungan jika tidak dikawal dengan sempurna. Kebiasaannya orang yang bersedih akan menjadi muram, tidak bertenaga dan pendiam. Jika kita sedar, banyak lagu Melayu mahupun Inggeris yang menggambarkan kesedihan. Sebagai contoh, lagu 'Hati Yang Kau Sakiti', nyanyian Rossa. Selain itu, Forgas, 1992, 1994, mengatakan bahawa orang yang gembira lebih cenderung mendapat sesuatu maklumat dan melakukan sesuatu perkara dalam  jangka masa yang singkat dan sebaliknya pula bagi orang yang bersedih. Hal ini kerana, keupayaan untuk memproses maklumat dipengaruhi oleh emosi (Isen, 1987).

Akhir sekali ialah marah. Marah boleh dirumuskan kepada dua bentuk iaitu secara aktif atau pasif. Bagi marah secara aktif, seseorang itu akan melepaskan kemarahan dengan mengeluarkan suara yang kuat dan menunjuknya secara fizikal. Pernah suatu ketika dulu, cikgu saya bagi subjek matematik tambahan marah kerana ada seorang daripada kami yang tidak menyiapkan latihan yang diberikan. Seluruh kelas senyap apabila ditengking. Inilah yang dikatakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Berbeza pula dengan marah secara pasif. Selalunya mereka akan memendam perasaan marah dan ini boleh menyebabkan seseorang itu berasa tertekan.

Kesimpulannya, emosi negatif adalah emosi yang tidak elok. Mustahil jika kita tidak pernah mengalaminya, namun ia boleh dikawal agar tidak berlanjutan.

No comments:

Post a Comment