Friday 6 August 2010

A133720 Nurul LJ03

Berbeza dengan tajuk pada minggu lepas, tajuk pada minggu ini lebih senang untuk difahami dan menarik perhatian setiap pelajar iaitu mengenai emosi positif. Emosi positif ini meliputi gembira, bahagia dan kasih. Terdapat beberapa orang ahli falsafah mengutarakan pandangan masing-masing mengenai kegembiraan. Aristotle mengatakan bahawa kegembiraan adalah kejayaan yang diperoleh daripada kesenangan. Namun, bagi Plato, kehidupan yang bermoral merupakan sumber kepada kegembiraan. Berlainan pula dengan ahli falsafah yang ketiga iaitu Epicurean. Beliau berpendapat bahawa kegembiraan dapat diperoleh dengan memaksimumkan kesenangan dan meminimumkan keperitan. Sebaliknya bagi Mills, kegembiraan ialah gabungan daripada semua tingkah laku.

Antara keempat-empat ahli falsafah tersebut, saya lebih bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Epicurean. Secara logiknya tiada seorang pun yang gembira apabila berada dalam kesulitan, kepayahan dan kesakitan. Cuba kita bandingkan sebuah keluarga berada yang memiliki segala kemewahan dengan sebuah keluarga yang sederhana. Kekayaan sahaja tidak mencukupi untuk membuatkan kita gembira. Apa ada dengan kemewahan jika keluarga berada dalam keadaan huru-hara dan tidak harmoni. Ibu bapa sibuk bekerja dan alpa dengan tanggungjawab masing-masing sehingga mengabaikan anak-anak. Kesudahannya, anak-anak yang menjadi mangsa. Kebiasaannya, anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa ini akan mencari kebahagiaan di luar dan ini akan memudahkan mereka terjebak dengan gejala-gejala sosial. Pada pendapat anda, adakah anak-anak ini gembira hanya dengan kemewahan yang dilimpahkan? Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Berbeza pula dengan keluarga yang sederhana yang mana ibu bapa sentiasa ada masa untuk diluangkan bersama anak-anak. Mereka akan berasa sentiasa disayangi, diberi perhatian dan dilindungi. Mereka akan berasa lebih gembira berada di rumah dan sudah tentu gejala-gejala sosial ini dapat dikurangkan. Jadi benarlah pendapat Epicurean bahawa kesenangan yang maksimum dan keperitan yang minimum akan membuatkan kita gembira.

Menurut Kozma et al, 1992, kegembiraan boleh dibahagikan kepada dua komponen iaitu kesan jangka masa panjang dan kesan jangka masa pendek. Kebahagiaan jangka masa panjang selalunya stabil dan ianya berlaku sejak kita kecil lagi. Sebagai contoh, sejak kecil kita hidup dalam sebuah keluarga yang harmoni dan pergaduhan adalah sesuatu yang amat jarang berlaku. Ini akan membuatkan kita bahagia walaupun sudah besar. Bagi kebahagiaan jangka masa pendek pula ialah kebahagiaan yang diperoleh daripada peristiwa yang baru berlaku dan kebiasaannya kebahagiaan ini tidak bertahan lama. Teringat saya ketika di sekolah dulu, betapa gembiranya saya apabila mendapat A bagi subjek Biologi namun kegembiraan itu tidak lama kerana saya hanya mendapat B bagi subjek Sejarah. Inilah yang dimaksudkan dengan kegembiraan jangka masa pendek.

Di pertengahan kuliah, ada persoalan yang mengatakan bahawa perkahwinan yang menyebabkan kegembiraan atau orang yang gembira membuatkan perkahwinan itu bahagia. Bagi saya, orang yang gembira itulah yang menjadikan sesebuah perkahwinan itu bahagia. Pernah suatu ketika dulu, saya terbaca satu kisah mengenai keruntuhan rumah tangga. Isterinya mengatakan bahawa suaminya seorang yang pemarah dan kaki pukul. Ciri-ciri seperti bertolak-ansur, riang dan ramah langsung tidak ada dalam diri suaminya. Akhirnya mereka bercerai kerana tidak mendapat kebahagiaan dalam perkahwianan. Jadi benarlah bahawa bukan perkahwinan yang menyebabkan kebahagiaan.

Menurut Argyle, 1987 pula, terdapat beberapa lagi faktor lain yang menyumbang kepada kegembiraan iaitu kesihatan, persahabatan, keluarga dan rekreasi. Sejak dulu, saya berpegang dengan pendirian saya bahawa kesihatan adalah faktor utama yang membawa kepada kebahagiaan. Saya berkata demikian kerana persahabatan, kerja dan rekreasi akan datang setelah kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Apabila kita sihat, kita dapat melakukan kerja dengan sempurna dan berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan. Persahabatan hanyalah faktor sampingan untuk bahagia kerana hanya teman sejati sahaja yang sanggup berada bersama-sama kita ketika senang mahupun susah. Kebanyakannya hanya muncul ketika kita senang dan hilang apabila kita susah. Selain itu, agama juga merupakan faktor kita bahagia. Hal ini kerana orang yang berpegang teguh dengan agama mempunyai tahap tekanan  yang rendah dan ini akan membuatkan mereka berasa lebih gembira.

Kesimpulannya, kebahagiaan telah diciptakan untuk setiap insan namun cara dan faktor untuk mendapat kebahagiaan itu terletak pada diri masing-masing.

No comments:

Post a Comment