Friday 27 August 2010

A133647 Fatin Ilyani LJ06

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Tanggal 25 Ogos yang lalu, kuliah pengurusan emosi berjalan seperti biasa. Tetapi malangnya saya tidak dapat menghadirkan diri kerana terlibat dengan aktiviti yang dijalankan di DECTAR, UKM Bangi, iaitu sambutan Hari Wanita Kebangsaan. Walaubagaimanapun, saya amat berharap saya dapat memahami pelajaran yang tidak dapat saya hadiri itu dengan membaca  nota kuliah pengurusan emosi yang disediakan. Tajuk yang dipelajari pada minggu ini ialah Teori Aras Adaptasi dan juga Teori Solomon.

Menurut fahaman saya, Teori Aras Adaptasi ini berasaskan konsep seseorang individu akan bertindak balas terhadap stimulasi yang baru mengikut tahap adaptasi semasa. Aras adaptasi seseorang adalah adalah bersifat neutral terhadap stimulasi yang tertentu. Seseorang individu itu akan secara sendirinya mencapai suatu titik neutral atau adaptasi terhadap setiap stimulasi. Penilaian seseorang terhadap sesuatu situasi akan menyumbang kepada pengalaman yang melibatkan emosi. Penilai kognitif seseorang individu itu terhadap sesuatu situasi yang dialaminya akan menentukan tahap pengalaman emosi yang dialaminya. Sebagai contoh, seorang mahasiswa akan berasa gembira kerana berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan, oleh itu dia akan rasa gembira dengan berterusan kecuali sesuatu yang tidak diingini berlaku. Aras adaptasi seseorang individu itu sentiasa berada pada titik neutral dan sesuatu yang melebihi titik neutral akan membawa kepada perasaan gembira.

Di sini ingin saya utarakan satu contoh yang sering dialami oleh setiap pelajar baru yang memasuki alam universiti. Boleh dikatakan setiap pelajar akan berasa janggal apabila baru menjejakkan kakike menara gading untuk menuntut ilmu. Mungkin pelajar akan keliru dan kurang faham dengan sistem yang diamalkan di universiti. Bagi setiap pelajar yang baru mendaftarkan diri di universiti, mereka diwajibkan tinggal di asrama. Bagi pelajar yang sudah biasa dengan asrama, yang mungkin dulunya belajar di sekolah berasrama penuh atau maktab rendah sains mara ataupun sekolah harian biasa yang pernah tinggal di asrama. Mereka mungkin boleh menyesuaikan diri dengan lebih mudah. Tetapi bukan semuanya boleh berbuat demikian walaupun yang sudah biasa tinggal di asrama. Beralih pula ke aspek akademik. Semasa di sekolah ataupun matrikulasi, pelajar akan disediakan dengan nota oleh guru-guru dan juga pensyarah-pensyarah. Tetapi, hal ini pula berlainan dengan di universiti yang kebanyakannya memerlukan usaha seseorang pelajar itu sendiri untuk menghasilkan sendiri notanya untuk belajar di dalam kuliah. Selain itu, di sekolah dan juga matrikulasi, para pelajar akan diagihkan mengikut kelas bagi di sekolah dan mengikut kelas praktikum dan tutorial bagi di matrikulasi. Ini mungkin akan menimbulkan rasa janggal bagi pelajar yang kurang mendalami selok belok pengurusan di universiti.

Seterusnya, teori yang kedua yang dipelajari ialah Teori Solomon.  Teori Solomon merupakan hasil pengubah suaian Teori Aras Adaptasi. Teori Solomon ini menyatakan bahawa keseimbangan emosi terhadap satu titik neutral tidak hanya berlaku dalam jangka masa yang panjang, tetapi juga berlaku dalam masa yang singkat. Setiap emosi menjadi sebab berlakunya emosi yang bertentangan. Ini menerangkan bahawa emosi berpasangan-pasangan. Semasa suatu emosi dialami, emosi yang lain akan lenyap. Terdapat dua peringkat emosi yang diterangkan, iaitu Fasa Primer dan Fasa Bertentangan. Fasa Primer berlaku secara sendirinya dan ianya tidak dipelajari. Manakala Fasa Bertentangan pula merupakan fasa yang bertentangan dengan Fasa Primer. Fasa Bertentangan bermula sejurus selepas Fasa Primer dialami. Fasa ini dialami dalam tempoh masa yang lebih panjang dan semakin kuat dengan pengulangan manakala Fasa Primer akan bertambah lemah. Satu contoh diambil, apabila seseorang itu memenangi hadiah sejumlah wang bernilai RM 500, dia akan berasa gembira. Tetapi kemudiannya dia akan menyesal kerana telah membelanjakan wangnya dengan terlalu cepat.  Contoh lain yang dapat diberikan di sini ialah senaman jigging. Pada peringkat permulaan kita akan bersa letih, tetapi jika ianya dilakukan secara berterusan, kita akan berasa seronok kerana ia dapat meningkatkan tahap kesihatan kita. Pengulangan emosi yang dialami akan meningkatkan ketahanan untuk emosi yang bertentangan. Sebagai  contoh, apabila kita pertama kali turun dari ruang udara dengan payung terjun, kita akan berasa gentar. Tetapi apabila telah berulang kali menjalankan aktiviti itu, kita akan berasa seronok dan kurang takut serta ingin melakukannya lagi. Didapati bahawa seseorang yang baru dalam bidang penerjunan dengan menggunakan payung terjun akan mengalami aras ketakutan yang lebih dan dia juga akan mengalami tahap kepuasan yang sedikit semasa mendarat berbanding orang yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

Konklusi yang dapat dibuat di sini adalah, kita hendaklah bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru di samping bijak menguruskan emosi dengan baik. Kita juga hendaklah berani mencuba sesuatu yang baru yang bersifat positif dan juga berani melawan perasaan negatif yang sering menyelubungi diri kita untuk menimba pengalaman baru. Oleh yang demikian, barulah hidup kita akan dipenuhi oleh warna-warni kehidupan.# end.

 



No comments:

Post a Comment