Friday 27 August 2010

A133579 AHMAD SHUKERY LJ06

          

          Hari ini kuliah pengurusan emosi berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa yang pelik berlaku pada hari ini cuma kuliah bermula agak lewat sedikit daripada biasa. Hari ini kuliah diteruskan dengan tajuk Teori Aras Adaptasi. Kuliah kali ini agak sedikit isinya dan Dr.Zamri ini menghabiskan kuliah secepat yang boleh sebab beliau ingin menerangkan tentang proposal-proposal yang setiap kumpulan hantar untuk tugas kedua. Berbalik kepada kuliah tadi, teori aras adaptasi menyatakan bahawa seseorang individu itu akan bertindak balas dengan ransangan baru mengikut aras adaptasi semasa. Ini bermaksud, secara sendirinya kita akan dapat membina suatu titik neutral atau tahap penyesuaian mengikut keadaan tertentu ataupun membuat adaptasi terhadap pelbagai rangsangan yang berlaku di sekeliling kita. Akhirnya, penilaian kita terhadap sesuatu keadaan akan mendorong kepada pengalaman emosi. Aras adaptasi kita adalah tidak tetap kerana kita tidak akan berpuas hati terhadap sesuatu. Ini juga merupakan salah satu fitrah manusia yang tidak pernah puas akan sesuatu.
          Pada mula, aku kurang paham apa yang cuba disampaikan sebab aku hampir-hampir hilang fokus. Tetapi setelah diberi contoh-contoh yang berkaitan, barulah aku memahaminya. Ia juga membuatkan aku teringat masa aku dapat gaji semasa aku berkerja "part-time" dulu. Setiap bulan aku memperoleh rm500. Pada mulanya aku sangat berpuas hati kerana baru kali pertama dapat memegang duit yang banyak. Tapi lama-kelamaan aku merasa tidak cukup dan aku perlukan gaji lebih banyak lagi. Jadi baru aku tahu bahawa apa yang aku alami dulu merupakan aras adaptasi dalam hidup aku. Jadi benarlah kata Rasullulah bahawa manusia tidak akan merasa puas dengan satu benda, pasti dia nak lagi satu.
          Selain itu, aku juga teringat tentang keputusan peperiksaan aku dahulu. Selepas dapat keputusan SPM, aku merasa puas dengan apa yang aku dapat. Tapi selepas beberapa bulan dan berada di matrikulasi, aku rasakan keputusan SPM yang aku peroleh dahulu terlalu sedikit dan aku mahukan lebih baik lagi. Tetapi segalanya telah berlalu. Walau apa pun, pengalaman aku ini semuanya ada kaitan dengan teori yang dinyatakan tadi. Selain itu, keadaan sekeliling juga mempengaruhi contohnya bunyi bising. Ada seorang rakanku tinggal dikawasan yang boleh dikatakan sunyi. Jadi semasa dia berada di matrikulasi dahulu, pada mulanya dia merasa tidak selesa bila belajar dalam situasi yang bising. Maklumlah pelajar asrama hampir semuanya bising-bising belaka. Namun lama-kelaman rakan ku ini sudah terbiasa belajar dalam situasi bising.
          Selain teori aras adaptasi, kami juga didedahkan mengenai teori yang dikemukakan oleh Solomon iaitu Solomon Opponent Process Theory. Teori ini menyatakan bahawa emosi menuju titik neutral tidak hanya berlaku dalam jangka masa panjang tetapi juga berlaku dalam jangka masa pendek. Setiap emosi akan menyebabkan emosi yang berlawanan atau bertentangan terhasil. Hal ini kerana, emosi diwujudkan secara berpasangan tapi pasangannya adalah bertentangan iaitu gembira bertentangan dengan perasaan sedih. Contohnya mudah sahaja, iaitu seperti jika seseorang tidak menyukai sesuatu permainan seperti badminton atau apa-apa jua, namun jika dia bermain setiap hari, perasaan tidak suka itu akan berubah kepada sangat suka. Dengan contoh ini, barulah aku faham apa yang sebenarnya disampaikan oleh Richard Solomon ini.
          Dulu sebelum aku masuk PLKN, aku berasa PLKN ini sangat membebankan dan tidak seronok. Namun selepas sebulan berada di kem plkn itu, aku merasa sangat seronok sehinggalah hari terakhir aku berada disana, aku sangat sedih kerana ingin meninggalkan kem dan kawan-kawan yang masih ada disitu. Aku dapat keluar awal kerana dapat tawaran ke matrikulasi. Jadi, emosi yang aku alami ini agak bertepatan dengan teori yang di ketengahkan oleh Solomon ini.
          Kesimpulan dari apa yang aku dapat dari kuliah ini, aku mengetahui bahawa manusia itu tidak akan puas dengan apa yang dia ada. Meskipun jika diberi sesuatu yang memuaskan hatinya, suatu hari nanti pasti dia akan mahukan yang lebih lagi. Sama seperti penagih dadah, jika sudah ketagihan, pasti dia mahukan dadah yang lebih dan lebih lagi. Namun kita semua bukanlah seperti penagih, sebab itu Allah mengurniakan akal kepada kita agar kita berfikir dan merenung setiap apa yang kita lakukan. Dan sebab itu adanya konsep syukur dalam islam agar umat islam sentiasa bersyukur dan tidak tamak dengan apa yang ada.

No comments:

Post a Comment