Thursday 5 August 2010

A133579 Ahmad Shukery LJ03

          Jam 4.00 petang merupakan waktu kuliah pengurusan emosi dalam jadual harianku di semester pertama tahun satu. Tajuk kuliah ku pada hari ini sedikit ringan berbanding dengan kuliah sebelum ini yang lebih menekankan kepada teori-teori sarjana barat. Tajuk kuliah pada hari ini iaitu emosi positif. Terdapat banyak emosi-emosi positif yang ada dalam diri manusia seperti gembira, bahagia, cinta dan sebagainya. Banyak ahli falsafah yang menafsirkan tentang gembira iaitu salah satu emosi yang positif. Antaranya seperti Aristotle yang menyatakan bahawa kegembiraan boleh di kecapi apabila berjaya mengejar kesenangan. Selepas pensyarah ku menerangkan tentang teori-teori ahli falsafah terbabit, aku terimbau kembali nostalgia lalu yang sering kali membuat ku rasa gembira dan bahagia terutama sekali ketika berada di alam persekolahan dan ketika berada di matrikulasi. Saat yang paling membuat aku rasa gembira adalah ketika membuat kumpulan belajar bersama Siti Nur Ain, Haziqah, Hidayah, Nazmi, Firdaus dan beberapa orang lagi ketika aku menuntut di matrikulasi. Kami sentiasa bergurau senda sehinggakan tekanan belajar yang kami hadapi hilang untuk seketika waktu. Teringin rasanya kembali ke waktu itu walaupun hanya sesaat jika diizinkan. Kemudian, pensyarah aku juga ada menyatakan senyuman merupakan salah satu alat komunikasi secara tidak langsung dimana dengan kita menguntumkan senyuman kepada seseorang, kita seperti mengakui atau menghargai kehadiran seseorang itu. Aku juga akui mengenai fakta ini dan membuatkan aku lebih mudah untuk memberikan senyuman kepada orang lain.
          Selepas aku tersedar dari khayal ku, pensyarah ku kemudiannya memberitahu bahawa orang yang gembira atau perian merupakan orang yang mudah menyesuaikan diri di tempat yang asing. Setelah itu, terfikir ku akan seorang sahabat ku yang bernama Hidayah. Beliau seorang yang periang juga peramah. Dia pernah menceritakan pengalaman pertamanya semasa hari pertama di universiti dimana dia dengan mudah mendapat ramai kawan dalam masa yang singkat. Ini kerana sifatnya yang "happy go lucky" membuatkan ramai orang di sekelilingnya berasa senang ketika dengannya. Selain Hidayah, ada juga seorang sahabat ku yang mudah menyesuaikan diri meskipun di sabah. Pensyarah ku juga ada menyatakan bahawa menyebut sesuatu nama yang baik juga mampu membuat seseorang itu rasa gembira dan senang. Lantas ku teringat tentang seseorang hamba Allah itu sering kali memanggil namaku dengan panggilan yang penuh. Sejujurnya panggilannya itu sangat membuatku rasa senang dan tersenyum. Dan dialah orang pertama yang kerap kali memanggil nama penuhku.
         Menurut Kozma et al, kegembiraan boleh dibahagikan kepada dua komponen major iaitu kegembiraan jangka panjang dan jangka pendek. Jangka panjang merujuk kegembiraan yang stabil dari tahun ke tahun. Pada mulanya aku agak keliru mengenai penyataan ini. Namun setelah ku merujuknya beberapa kali, ternyata ia tidaklah memberi maksud yang seseorang itu tidak mengalami kemurungan ataupun kesedihan. Adalah mustahil seorang manusia itu sentiasa gembira kerana Allah telah mencipta manusia dengan pelbagai emosi yang unik dan bervariasi. Ia bermaksud emosi yang negatif berlaku mungkin dalam tempoh yang seketika sahaja. Jangka pendek pula bergantung kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya graduasi, mendapat bayi atau lain-lain. Teringat aku kepada seorang pensyarah di matrikulasi dahulu bahawa beliau ada menyatakan yang pengalaman paling menggembirakan beliau adalah semasa graduasi.
          Jika dibandingkan orang yang kurang pentingkan agama dengan orang yang pentingkan agama, orang yang pentingkan agama akan mudah berasa gembira. Terdapat banyak eviden atau bukti yang menyatakan fakta ini. Contohnya seperti yang di nyatakan oleh Keith Ward iaitu keseluruhan agama menyumbang kepada kesihatan mental. Teringat aku mengenai seorang ustazah ku di sekolah dahulu. Meskipun beliau sering mengalami masalah dengan sikap-sikap pelajar dan masalah kerja, namun dia sentiasa tersenyum dan gembira dengan karenah pelajar-pelajarnya. Jarang sekali aku melihatnya marah dan mengalami tekanan. Itu membuatkan pengangan Islam ku semakin kukuh. Selain itu, ustazah ku juga ada menyatakan bahawa jika kita merasakan kemanisan iman, zikir dan sebagainya, kita takkan mudah goyah atau tertekan dengan ujian duniawi. Kerana kita akan sentiasa merasa Allah hampir dengan kita dan kita tidak akan berkeseorangan.
          Konklusinya, banyak faktor yang boleh membuatkan kita merasa gembira seperti hubungan kekeluargaan yang erat, kasih sayang dan lain-lain. Hidup ini tidak akan ada keceriaan sekiranya tiadanya kegembiraan. Tiada sesiapa pun yang tidak sukakan kegembiraan kerana ia adalah lumrah emosi bagi kejadian setiap makhluk.

No comments:

Post a Comment