Thursday 26 August 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ06

Dalam kuliah Pengurusan Emosi pada minggu ini, kami telah belajar tentang dua teori yang berkaitan dengan emosi, iaitu Teori Aras Adaptasi dan Teori Proses Tentangan Solomon. Kedua-dua teori ini telah menjelaskan bagaimana emosi timbul mengikut perubahan keadaan dan ditukarkan ke emosi yang lain.

Aras adaptasi merupakan suatu titik neutral, iaitu suatu keadaan di mana kami telah membiasakan diri dengannya. Aras adaptasi ini boleh meningkat atau menurun mengikut keadaan yang dialami dalam jangka masa panjang, dan merupakan elemen dalam penyesuaian terhadap keadaan baru. Contohnya, apabila saya mula bergelar mahasiswa UKM dan akan menjalani kehidupan berdikari selama 3 tahun di sini, aras adaptasi saya akan mula disesuaikan mengikut kawasan sekeliling pada masa kini, iaitu kampus UKM Bangi. Setelah suatu jangka masa, saya akan biasa dengan keadaan di sini dan seterusnya ingin memperbaik keadaan yang sekarang ini, contohnya dengan belajar dengan lebih rajin untuk mendapat Anugerah Dekan.

Aras adaptasi ini sentiasa berubah-ubah kerana manusia tidak akan berpuas hati untuk selama-lamanya. Kita sentiasa mempunyai niat yang baru untuk dicapai, dan aras adaptasi kita akan sentiasa menyesuaikan diri dengannya. Emosi kita sentiasa bertolak ansur dengan aras adaptasi kita, oleh itu kami tidak mengalami emosi secara mendadak. Peningkatan aras ini akan membuatkan kita berasa gembira, manakala sesuatu keadaan yang lebih rendah daripada aras adaptasi kita akan menyebabkan kita mempunyai emosi negatif.

Teori Proses Tentangan Solomon pula ialah pengubahsuaian terhadap Teori Aras Adaptasi yang dicadangkan oleh Richard Solomon. Beliau mencadangkan bahawa kita sentiasa mengimbangi emosi kita mahupun dalam jangka masa panjang atau pendek. Oleh itu, sesuatu emosi yang timbul akan diikuti emosi lain yang bertentangan. Emosi yang pertama akan dialami dahulu manakala emosi bertentangan itu ditekankan. Setelah sesuatu masa, emosi bertentangan itu akan menjadi lebih kuat dan seterusnya menggantikan emosi yang pertama itu. Dalam pasangan emosi ini biasanya hanya satu sahaja yang diperhatikan, kerana emosi itu dialami manakala emosi bertentangan itu ditekan.

Mungkin kalian akan tertanya-tanya: Bagaimanakah emosi bertentangan itu menjadi lebih kuat? Sesuatu peristiwa yang menimbulkan emosi akan mencipta status primer yang menjanakan emosi bertentangan. Status primer ini tidak dipelajari atau disedari dan adalah tindak balas automatik, manakala status tentangan itu berlangsung dalam jangka masa yang lebih panjang, dan menjadi lebih kuat melalui pengulangan pengalaman emosi itu. Inilah yang berlaku semasa kita membuat sesuatu kesalahan yang mengejutkan dan seterusnya menyebabkan kemarahan orang lain: perasaan kejut timbul dahulu sebelum emosi tentangan (marah) dijanakan. Emosi marah ini seterusnya menjadi dominan melalui pengulangan dan menggantikan perasaan kejut itu.

Demikianlah berakhirnya jurnal saya pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment