Thursday 12 August 2010

A133500 NG SIN MUN LJ04

Semalam saya telah menghadiri kuliah ke-4 Pengurusan Emosi. Pensyarah pada kali ini memberikan kuliah dengan meneruskan topik jenis-jenis emosi, kali ini dengan emosi-emosi negatif seperti ketakutan, malu, kemarahan dan kesedihan.
 
Ketakutan merupakan suatu tindak balas terhadap bahaya yang dirasai, sungguhpun terdapat kemungkinan bahawa bahaya yang dirasakan itu tidak nyata atau abstrak sebenarnya. Kita selalu takut akan kehilangan kawalan terhadap sesuatu atau tidak diterima oleh masyarakat. Ketakutan itu sebenarnya ialah sebahagian daripada mekanisma 'survival' apabila dirangsang untuk merangsang kita supaya menjauhi diri daripada bahaya sama ada dengan mengatasinya atau melarikan diri.
 
Biarlah saya memberikan suatu contoh. Katakan pada suatu malam kamu sedang berjalan di lorong yang sempit dan gelap. Memang seram rasanya apabila berjalan keseorangan dalam lorong yang sempit dan gelap itu. Oleh itu, walaupun sebenarnya tidak terdapat apa-apa bahaya dalam lorong itu, kamu akan berasa takut dan mencepatkan langkah supaya keluar dari lorong itu secepat mungkin. Ketakutan seumpama ini digelar sebagai ketakutan terhadap yang tidak diketahui kerana ketakutan kamu akan bahaya yang tidak dapat dikenal pasti kewujudannya.
 
Ketakutan itu boleh membawa orang yang mengalami ketakutan itu kepada beberapa peringkat emosi, dalam sesetengah kes, menyebabkan orang itu membuat sesuatu kerja mengikuti orang lain tanpa menghiraukan perasaan diri. Contohnya, belajar bersungguh-sungguh dalam suatu mata pelajaran sungguhpun benci mata pelajaran itu kerana takut dimarahi ibu bapa. Juga terdapat sindrom Stockholm bahawa mangsa itu menyebelahi penjenayah selepas jenayah yang dibuat terhadap mangsa-mangsa.
 
Perasaan malu pula ialah suatu keadaan emosi yang kurang senang hati disebabkan oleh pendedahan tindakan diri yang tidak dapat diterima oleh norma-norma masyarakat, biasanya merangkumi pencemaran maruah. Ia adalah hampir sama dengan malu rasa bersalah, kecuali malu rasa bersalah itu mungkin disebabkan oleh tindakan diri yang tidak diketahui pihak lain. Tindakan yang menyebabkan rasa malu itu biasanya tidak terima masyarakat walaupun dari segi moral tindakan itu mungkin tidak bersalah. Contohnya, apabila memakai 'dress code' yang salah ke sesuatu jamuan atau parti, berasa malu kerana tiada orang lain yang berpakaian sama seperti diri sendiri.
 
Malu itu boleh dari segi kendiri apabila rahsia atau kesilapan diri didedahkan, misalnya ditangkap ketika berbohong. Seseorang itu akan berasa gelisah, berpeluh dengan lebih kerap dan tersipu-sipu. Juga terdapat orang yang cuba senyum atau gelak untuk memendam rasa malu itu, akan tetapi senyuman itu tidak nampak semula jadi. Perasaan malu juga boleh dicetus dari segi profesional yang biasa berlaku di suasana kerja apabila memberi fakta yang salah atau bercanggah dengan atasan. Seseorang juga berasa malu apabila orang bawahannya melakukan kesilapan.
 
Kesedihan adalah suatu rasa kehilangan atau tidak disebelahi. Kita akan menjadi pendiam, tidak bersemangat dan suka bersendiri semasa bersedih. Disebabkan begitu, sifat seseorang itu mungkin dilabelkan dengan perasaan yang biasa dialaminya. Seseorang yang bersedih biasanya pendiam. Seseorang yang panas baran selalu ingin menguasai keadaan. Kajian telah menunjukkan bahawa seseorang yang sering berasa sedih memproses informasi dari luar menggunakan masa yang lebih lama berbanding dengan orang lain yang periang, dan kesedihan itu boleh menjadi kemurungan yang memerlukan bantuan pakar jika tidak ditangani. Oleh itu, kami patutlah sentiasa berasa gembira sekurang-kurangnya untuk menjimatkan yuran rawatan psikiatri.
 
Kemarahan pula ialah tindak balas seseorang terhadap ancaman, stres, dan kesakitan, sungguhpun ancaman itu mungkin nyata atau tidak nyata dan biasanya berdasarkan persepsi diri. Seseorang mungkin menunjukkan emosi ini secara aktif dengan bertindak agresif atau pasif dengan memendam perasaan itu. Pengurusan emosi adalah penting terutamanya menangani kemarahan kerana seseorang itu boleh terbawa-bawa oleh rasa marah dan bertindak secara tidak wajar kepada orang lain yang tidak bersalah, contohnya penderaan anak-anak. Justeru semasa marah, kita mestilah kenal pasti kemarahan diri sebelum berfikir sama ada kita patut menunjukkan kemarahan itu terhadap orang lain. Adakalanya tunjuk rasa marah itu adalah perlu untuk memberi isyarat bahawa diri kita tidak senang hati akan perbuatannya.
 
Berakhirlah jurnal saya di sini.

No comments:

Post a Comment