Saturday 21 August 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ05

Sedar tidak sedar, sudah masuk minggu kelima kursus ini. Tajuk kuliah kali ini adalah Teori-teori Fisiologikal, Kognitif dan Psokianalitik. Saya dapati yang topik minggu ini adalah lebih kompleks berbanding tajuk-tajuk terdahulu. Mengikut teori-teori utama, pengalaman emosi terbahagi kepada tiga iaitu teori fisiologi, teori kognitif, teori fisiologikal. Apabila saya diperkenalkan dengan istilah-istilah tersebut, barulah saya sedar akan kerumitan sebenar subjek pengurusan emosi ini.

Teori fisiologi mengatakan emosi sebagai hasil otak dan sistem saraf. Teori James-Lange mengatakan yang sesuatu situasi itu akan bertindak sebagai stimulasi kepada individu yang kemudiannya memberikan reaksi dengan tubuhnya dan barulah emosi terbentuk berdasarkan keadaan itu. Manakala Cannon-Bard pula mengatakan setelah dikenakan stimulasi, emosi orang itu yang akan menentukan reaksi tubuhnya. Saya agak keliru dengan percanggahan pendapat mereka dan ini membuatkan saya tertanya-tanya, jika saya mendapat berita yang menyedihkan, apakah yang akan berlaku terlebih dahulu? Adakah saya akan mengalirkan air mata dulu atau adakah saya dilanda perasaan sedih dahulu? Kita sebagai manusia yang mengalami emosi itu sendiri memang tidak boleh menilai dengan sendiri perasaan kita itu. Sebab itulah ramai pakar psikologi membuat kajian ke atas orang lain.

Bagi saya, emosi itu boleh dikatakan sebagai sesuatu yang kita bayangkan dengan imaginasi kita. Ianya sesuatu yang tidak boleh dilabelkan dengan kata-kata. Maka sukar bagi kita untuk mempelajari dan memahami teori emosi ini. Namun apabila saya pelajari tentang teori yang ketiga dalam sukatan pelajaran kursus ini iaitu teori kognitif, saya mampu terimanya dengan lebih mudah berbanding dua teori yang lain. Teori ini bercirikan ciri-ciri intelektual iaitu memerlukan proses berfikir dan menilai. Apa yang menarik tentang teori ini ialah ia menyisipkan kecenderungan manusia untuk sentiasa menggunakan otak untuk berfikir dalam apa-apa situasi pun.

Dalam teori kognitif terdapat 4 cabang lagi. Yang pertamanya ialah Schacter's Cognitive Labelling. Ia mengatakan yang otak mendapat input dari pencetus situasi dan juga reaksi refleks badan dan hasilnya otak akan membaca situasi tersebut lalu menghasilkan emosi yang sesuai. Seterusnya 'transfer of excitation' pula berkenaan dengan emosi yang dibawa dari satu situasi ke situasi yang lain. Contohnya sekiranya saya dimarahi pensyarah di kelas, saya berkemungkinan besar akan memarahi rakan sebilik saya pula apabila saya habis kelas. Manakala 'misattribution' berdepan dengan penilaian faktor terhasilnya sesuatu emosi itu yang salah.Setelah mencari maklumat di internet, saya dapati contoh yang diberikan untuk 'transfer of excitation' yang berkaitan dengan kajian pengkaji wanita yang cantik menemubual lelaki setelah mereka menyeberang jambatan itu sebenarnya merupakan contoh untuk 'misattribution'. Mengikut laman web yang saya layari, kajian itu dijalankan oleh Dutton dan Aron seperti yang dinyatakan dalam nota. Dan ia juga dijalankan untuk kaum wanita juga dimana penemubual wanita digantikan dengan jejaka kacak. Hasilnya sama juga menunjukkan emosi boleh dikawal atau ditipu oleh keadaan fisiologi kita. Kemudiannya 'cognitive appraisal' menyarankan yang reaksi kita terhadap emosi yang terhasil juga dipengaruhi oleh cara kita menilai situasi itu berdasarkan ingatan dan pengalaman. Contohnya jika saya mempunyai pengalaman pahit dikejar anjing, saya akan bertindak berhati-hati dengan semua anjing tetapi dalam pada masa yang sama saya menilai keadaan anjing itu sama ada ia kelihatan seperti mahu menyerang saya atau tidak.

Ahli-ahli teori emosi rata-rata mempunyai pendapat yang berlainan dalam cara memerhati emosi. Namun, emosi itu sesuatu yang sangat subjektif dan tidak mempunyai nilai kualitatif. Oleh itu, boleh dikatakan semua pendapat mereka boleh diambil kira masing-masing pada tahap yang tertentu.

No comments:

Post a Comment