Saturday 7 August 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ03

Assalamualaikum saya ucapkan sekali lagi buat Prof Ahmad Zamri bin Mansor. Kuliah bagi kursus Pengurusan Emosi pada minggu ini menekankan aspek emosi yang memang tidak asing lagi bagi rata-rata manusia. Emosi yang diperkatakan di sini tidak lain dan tidak bukan, emosi positif yang merangkumi kebahagiaan dan kegembiraan.

Manusia memang tidak boleh dipisahkan dengan kebahagiaan dan bukanlah melampau jika dikatakan yang kebahagiaan adalah antara sebab atau tujuan bagi seseorang itu untuk hidup. Bagi kita semua, hidup harian kita dipenuhi dengan perlakuan yang mementingkan mengecapi kebahagiaan dalam hidup tidak kira sama ada dalam bentuk pencapaian personal ataupun pencapaian bersama.

Apakah kebahagiaan itu sebenarnya? Setelah kuliah minggu ini diadakan, saya bukan sahaja tertanya-tanya, malah saya rasa bingung tentang pengertiannya. Setelah membaca beberapa jurnal, saya dapati kebahagiaan sering dikaitkan dengan kejayaan dan sebagainya tetapi sejauh manakah kaitannya. Menurut pakar psikologi, kebahagiaan boleh dibahagikan kepada 3 jenis; 'hedonic', 'eudaimonic' dan juga 'chaironic'. Untuk menjelaskan maksudnya, kita boleh mengambil situasi harian sebagai contoh. Jika seseorang itu mendapat hadiah hari jadi, dia akan rasa ekstatik dan gembira, namun kegembiraan seumpama ini hanya sementara dan bukan dalam jangka masa panjang. Kebahagiaan ini termasuk dalam kelas 'hedonic' iaitu kebahagiaan yang bersifat agak materialistik. Hedonisme tidak mempunyai ciri-ciri spiritual dalamnya dan ahli-ahli falsafah terkemuka seperti Aristotle dan Aristippus mengatakan ianya membuatkan manusia bertindak mengikut hawa nafsu untuk mendapat kepuasan tanpa mengira aspek kerohanian.

Seterusnya kebahagiaan yang dikelaskan dalam 'eudaimonic' berbentuk lebih menyeluruh atau holistik. Ahli-ahli falsafah dan ketua-ketua badan kerohanian amat mementingkan pencarian kebahagiaan yang 'eudaimonic' ini. Antara kebahagiaan yang termasuk dalam kelas ini adalah seperti keupayaan seseorang itu untuk menerima dirinya, hidupnya dan kewujudannya dengan seadanya dan penuh bersyukur. Dalam Latin, eu bermaksud baik dan daimon pula membawa maksud roh atau rohani manakala ic bermaksud secara lumrahnya. Maka perkataan 'eudaimonic' boleh dikatakan bermaksud mempunyai rohani yang baik secara lumrahnya. Jika dipraktikkan dalam kehidupan kita, amalan mengejar kebahagiaan 'eudaimonic' benar-benar mampu membantu kita menjalani hidup yang lebih sihat untuk fizikal dan rohani kerana amalan ini berbentuk sederhana dalam segala perkara dan tidak terlalu ekstrem dalam mengejar kejayaan yang bersifat kebendaan.

Akhir sekali, 'chaironic' bersifat lebih melankolik berbanding kebahagiaan lain. Jarang sekali bagi seseorang itu untuk mengecapi tahap 'chaironic' dan hanya seseorang yang optimistik dan yang telah melalui pelbagai kesusahan yang mampu melihat situasi dirinya yang malang sebagai satu anugerah dalam bentuk cubaan.

Terdapat banyak kajian yang mengatakan terdapatnya hubungkait di antara tahap kebahagiaan seorang individu itu dengan tahap kejayaan dan juga kesihatannya. Tetapi antara persoalan yang menjadi tanda tanya pakar psikologi dan juga bagi saya juga ialah adakah kebahagiaan dapat dikecapi dengan kejayaan mendapatkan perkara yang kita idamkan. Atau adakah ianya bergantung pada perspektif kita, cara kita memandang sesuatu keadaan itu. Hal ini adalah kerana kebahagiaan adalah sesuatu yang berbentuk sangat subjektif dan tidak boleh diklasifikasikan sebagai benda yang sama bagi setiap orang. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin meletakkan kejayaan dalam kerjaya sebagai keutamaannya dalam hidup dan akan berpuas hati apabila dinaikkan pangkat. Namun, seseorang yang berlainan mungkin mengutamakan kejayaan dalam soal cintanya dan berasa bahagia jika berkahwin nanti.

Akhir kata, seperti yang dikatakan oleh Aristotle sendiri, "happiness is the pursuit of pleasure". Jika diperhatikan, dia menyebut pursuit iaitu mengejar dan bukannya achievement iaitu mengecapi dalam ayatnya itu. Ini menunjukkan yang kebahagiaan bukanlah perkara yang boleh dikecapi pada setiap masa sebaliknya kita perlu mengejarnya sepanjang hidup kita. Tidak kiralah selama mana kita mengejarnya, kita memang tidak mampu mendapat kebahagiaan yang hakiki. Selagi kita masih bernyawa  kita perlu berusaha mendapatkan kebahagiaan tersebut untuk melengkapi hidup kita. Hakikat inilah yang menjadikan manusia itu, manusia.

No comments:

Post a Comment