Thursday 5 August 2010

A132245 nur hasshimaa LJ03

Terdapat suatu perkara yang telah berlaku kepada diri saya sebelum saya melangkah masuk ke kelas Pengurusan Emosi minggu ini. Perkara yang berlaku itu telah mengundang perasaan gembira dalam hati saya. Di tambah pula dengan topik yang menarik dalam kelas minggu ini iaitu berkaitan dengan emosi positif yang sejajar dengan perasaan yang sedang dilalui oleh saya ketika itu. Justeru, topik ini tidak memberi tekanan langsung malah menyuntik semangat saya untuk terus memberikan perhatian dalam kuliah.

Emosi merupakan sesuatu yang neutral. Perkataan 'emotional' bukanlah hanya ditujukan kepada individu yang sedang berada dalam emosi yang negatif seperti marah, sedih dan sebagainya. Namun individu yang berada dalam kegembiraan juga turut dipanggil 'emotional' kerana perkataan itu boleh digunakan dalam menghurai definisi kegembiraan. Emosi positif seperti  kegembiraan dan kebahagiaan adalah satu keadaan emosi yang bercirikan perasaan keseronokan, kemesraan dan kepuasan. Emosi dan reaksi yang ditunjukkan adalah sesuatu yang universal dan bergantung kepada tahap kegembiraan individu itu dalam mengekspresikannya.

Terdapat empat orang ahli falsafah yang telah menghuraikan definasi kegembiraan dan kebahagiaan melalui sudut pandangan mereka yang tersendiri. Antaranya ialah Aristotle yang menyatakan bahawa kebahagiaan adalah suatu kejayaan dalam mengejar perasaan gembira dan kepuasan dalam hidup. Saya bersetuju dengan Aristotle kerana kita akan berasa gembira apabila kita berjaya mengecapi sesuatu kepuasan dalam hidup setelah penat berusaha mendapatkannya seperti mendapat gred yang tinggi dalam peperiksaan.

Saya juga mengetahui bahawa senyuman juga mempunyai beberapa jenis seperti senyuman lebar atau luas, senyuman yang menampakkan gigi di bahagian atas dan senyuman yang sedikit sahaja atau slight smile. Adakah anda sedar bahawa senyuman yang diukir di bibir anda mampu menyebabkan insan disekeliling anda turut tersenyum? Ini menunjukkan bahawa senyuman yang ikhlas seakan-akan benih yang disebarkan dan mampu mencambahkan suatu perasaan yang positif kepada individu di sekeliling kita. Malah kita sering mendengar ayat 'Senyum itu adalah sedekah' kerana ia sememangnya sesuatu yang mampu mendorong kepada suasana yang damai dan harmoni.

 

Terdapat juga kajian yang dijalankan di seluruh dunia dalam menilai kebahagiaan dan kegembiraan. Rentas budaya menunjukkan bahawa kegembiraan dari suatu negara ke negara yang lain adalah berbeza-beza. Ini kerana budaya dan cara hidup yang dilalui oleh masyarakat di sesuatu tempat adalah berbeza. Kajian turut menunjukkan bahawa orang Asia mempunyai tahap kebahagiaan yang rendah. Ini mungkin kerana perbualan antara manusia di Asia adalah lebih serius berbanding orang Barat kerana di Asia, kita mempunyai tatatertib kita dalam mengadakan perbualan seperti saling menghormati.

Selain itu, kebahagiaan ini terdapat 2 komponen iaitu dalam jangka masa panjang dan dalam jangka masa pendek. Bagi kebahagiaan jangka masa panjang, adalah kerana punca yang menyebabkan kebahagiaan itu mampu berada dalam keadaan yang stabil dari bulan ke bulan dan dari tahun ke tahun. Malah ada juga yang mampu mengekalkan kebahagiaannya sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dia meningkat dewasa. Menurut Freud, hubungan kita dengan ibubapa kita ketika waktu kecil adalah penting dalam menentukan kegembiraan dan penyesuaian yang bakal dihadapi kelak. Manakala bagi kebahagiaan jangka masa pendek pula adalah bergantung kepada perkara yang berlaku dalam hidupnya baru-baru ini seperti mendapat bayi atau mendapat hadiah dari kekasihnya.

Tambahan lagi, saya diterangkan dengan perkaitan antara kebahagiaan dan perkahwinan. Orang yang sudah berkahwin akan lebih bahagia berbanding mereka yang masih bujang. Ini kerana Pasangan lelaki dan perempuan menerbitkan perasaan gembira menerusi rumahtangga yang telah dibina seperti melakukan sesuatu aktiviti bersama-sama supaya hubungan yang dijalinkan akan lebih mesra. Adakah anda bersetuju bahawa orang yang gembira akan menjadikan rumahtangga nya lebih bahagia? Ataupun, rumahtangga yang bahagia menjadikan seseorang itu lebih bahagia? Bagi saya, kedua-dua ada benarnya, tetapi sekiranya seseorang itu gembira, bukan rumahtangga nya sahaja akan bahagia, malah kehidupan kerjaya dan hubungan sosialnya dengan rakan-rakan turut akan dilimpahi dengan kebahagiaan. Justeru, kita harus sentiasa melakukan sesuatu dalam kehidupan kita yang mampu mendorong kepada kegembiraan dan janganlah jadikan kehidupan kita suram dan sunyi dengan gelak ketawa kerana itu mampu mendorong kepada kemurungan dan tekanan jiwa.

 

Apabila mendengar perkataan kasih sayang, pasti kita akan terbayangkan golongan atau individu yang kita sayangi seperti keluarga dan kekasih. Namun penerangan yang saya terima lebih menjurus kepada perasaan terhadap kekasih. Ini kerana dengan kasih sayang, perasaan suka akan menjadi lebih suka sekiranya terdapat beberapa faktor antara dua insan seperti terdapat keserasian, perasaan ambil berat dan kepercayaan yang dibina. Maka, perasaan yang hanya dasarnya sekadar suka mampu bercambah menjadi sayang dan cinta.


No comments:

Post a Comment