Friday 6 August 2010

A130188 RASHIDAH LJ03

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Kelas pada hari ini bermula dengan Encik Zamri memberikan kuiz mengenai Plutchik, walaupun dalam keadaan yang kurang bersedia, alhamdulillah saya berjaya juga menjawabnya. Pengkuliahan hari ini sepatutnya adalah bertajuk Teori FKP namun diganti dengan emosi positif. Saya pada mulanya agak terkejut namun apabila sesi pengkuliahan bermula, saya merasakan tajuk ini agak menarik kerana ia adalah berkaitan dengan emosi gembira, bahagia (happiness) dan kasih sayang (love).

Pensyarah saya, Encik Zamri memulakan pengkuliahan mengenai tajuk emosi kebahagiaan atau happiness. Hari ini ada kisah menarik yang ingin saya sampaikan kepada pembaca sekalian mengenai emosi positif ini. Happiness ialah emosi yang dicorakkan oleh perasaan seperti kenikmatan, kepuasan dan kegembiraan. Senyum merupakan salah satu simbol menunjukkan seseorang itu sedang bahagia, namun terdapat juga orang yang tidak menunjukkan kebahagiaannya melalui senyuman dan dia hanya simpan kebahagiaannya itu untuk orang sekelilingnya sahaja. Kebanyakan ahli falsafah seperti Aristotle, Plato, Epicurean dan Mills menyatakan bahawa kebahagiaan ini mendatangkan banyak kebaikan kepada diri seseorang. Menurut Aristotle, kebahagiaan adalah apabila seseorang itu mampu mengejar kemewahan dan dia dianggap bahagia apabila mempunyai banyak harta. Mampu menguruskan kehidupan dengan bijak pula dinggap sebagai sudah mengecapi kebahagiaan. Falsafah ini dinyatakan oleh Plato. Manakala bagi Epicurean pula, kebahagiaan dicapai apabila seseorang itu memaksimakan kesenangan dan meminimumkan kesakitan. Namun ia berbeza dengan Mills iaitu dia beranggapan bahawa kebahagiaan adalah bergantung kepada perilaku seseorang. Dia menganggap semua orang mempunyai takrifan sendiri dalam erti kebahagiaan. Ada orang yang sudah bahagia bagi mendapatkan keluarga yang bahagia namun ada juga orang yang bahagia jika mendapat harta yang banyak, inilah yang dikatakan kebahagiaan adalah berbeza mengikut individu. Namun bagi saya, saya merasakan kebahagiaan dapat dikecapi jika kita sudah seimbang dari segi keagamaan kepada Allah dan mampu berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Faktor happiness adalah terbahagi kepada dua iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Emosi yang stabil sejak kecil dipanggil kesan emosi jangka panjang. Sebagai contoh, saya mempunyai keluarga yang sangat bahagia dan saya sangat gembira dengan kebahagiaan itu. Emosi jangka pendek pula ialah peristiwa yang berlaku dalam jangka masa terdekat. Sebagai contoh, kakak saya yang baru mengetahui bahawa dia mengandung, dia sangat gembira dan gembira ini adalah dikatakan sebagai emosi jangka pendek. Hal ini kerana emosi itu baru sahaja datang iaitu apabila dia mengetahui bahawa dia mengandung.

"Perkahwinan membawa kebahagaian". Ayat yang saya rasakan agak bersesuaian dengan topik emosi positif ini.  Hal ini kerana kajian yang dijalankan oleh Veroff et al (1981) menyatakan bahawa perasaan 35% lelaki berkahwin dan 41.5% wanita berkahwin adalah sangat bahagia. Namun berbeza dengan hanya 25.5% lelaki dan 18.5% wanita yang masih bujang yang mengalami kebahagiaan. Hal ini saya lihat terjadi kepada salah seorang daripada rakan saya. Ketika dia masih lagi bujang dan berpasangan dengan teman lelakinya, saya lihat dia sentiasa tidak ceria, mana tidaknya kerana hampir setiap hari mereka bergaduh. Namun alhamdullillah setelah mereka meniti alam perkahwinana saya lihat mereka semakin bahagia dan sudah jarang mendengar dia merungut mengenai pasangannya kepada saya. Inilah yang dikatakan keajaiban apabila sudah berumahtangga.

Terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kebahagiaan iaitu kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi serta faktor keagamaan. Faktor-faktor inilah yang menentukan kegembiraan dan kebahagiaan seseorang dalam kehidupan seharian mereka. Saya percaya hampir 98% rakyat Malaysia mempunyai agama. Oleh itu, amat bertepatanlah kiranya saya ingin menyatakan bahawa agama dapat membantu kebahagiaan dan kegembiraan seseorang. Hal ini kerana jika kita mempunyai masalah, kita semua akan berdoa kepada tuhan mengikut cara agama masing-masing. Sebagai contoh, saya sebagai orang Islam, akan berdoa kepada Allah jika mempunyai sebarang masalah tidak kiralah masalah mengenai pelajaran, cinta ataupun masalah keluarga, saya akan berdoa kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa kebahagiaan dan keagamaan mempunyai perkaitan yang amat rapat.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa semua orang mampu mengecapi kebahagiaan, namun ia bergantung kepada seseorang itu bagaimana cara untuk mencari kebahagiaan yang ingin dikecapinya.

No comments:

Post a Comment