Friday 13 August 2010

A129205 FATHANAH LJ04

Rabu. 11/08/2010, jam 4 hingga 7 petang, kuliah kelima untuk pengurusan emosi. Tajuk yang dipelajari pada hari ini adalah mengenai emosi negatif : takut, malu,sedih dan marah. Wah tajuknya sangat tidak menyenangkan hati saya kerana pada ketika itu emosi saya di dalam kelas bertentangan dengan tajuk yang akan dikuliahkan pada hari tersebut. Ya emosi saya pada ketika sangat gembira dan senang hati kerana sebelum itu saya diberitahu proses pertukaran bilik yang saya mohon di kolej sudah diluluskan. Tetapi emosi saya berubah apabila dikuliahkan mengenai tajuk emosi negatif di dalam kuliah pengurusan emosi. Walaubagimanapun sebagai seorang pelajar yang berfikiran positif dan matang , saya perlu mengasingkan perasaan saya ketika berada di luar dan di dalam kelas. Bak kata orang urusan kerja dan peribadi perlu diasingkan.  Begitu juga dengan saya.

Berbalik kepada tajuk yang dikuliahkan di dalam kelas iaitu emosi negatif, takut, malu, sedih dan marah. Bagi saya pelbagai emosi atau perasaan yang diterdapat di dalam diri kita ini adalah kurniaan daripada Allah S.W.T kepada hambanya atau manusia. contohnya, saya sebagai seorang remaja dan juga manusia biasa juga tidak terkecuali daripada merasai dan mengalami emosi- emosi tersebut. Di antara emosi-emosi yang sering dialami oleh manusia ialah seperti takut, malu, sedih, marah , rasa bersalah, meluat, dukacita, tidak dihargai, dan sebagainya. Dan apa yang penting sekali, kita perlu mengenal pasti cara kita mengawal dan menunjukkan emosi yang negatif  kerana emosi ini selalunya membawa kepada keburukan jika tidak dikawal dengan baik.

Mengenai tajuk kuliah iaitu emosi negatif, diperincikan kepada sifat takut. Sifat takut selalu ada di dalam diri manusia. lumrahnya sifat  takut ini selalu dikaitkan dengan golongan wanita kerana golongan wanita selalu dilabelkan sebagai seorang yang lemah. Sebagai contohnya, diri saya sendiri, saya mempunyai perasaan takut kepada benda-banda mistik seperti hantu. Itu juga salah satu sebab kenapa saya memohon untuk menukar bilik saya yang terletak di bangunan yang belakang ke hadapan. Walaupun saya tahu benda-benda seperti itu tidak wujud dan tidak pernah menganggu kehidupan saya tetapi  melalui penceritaan daripada orang lain dan pembacaan saya itu sudah cukup untuk membuatkan diri saya takut dengan benda-benda seperti itu. Mungkin bagi orang lain benda-benda seperti ini dianggap lucu dan kelakar tetapi bagi saya ia sangat serius.  Kadangkala saya juga rasa, saya perlu mengawal perasaan takut saya untuk mengelakkannya daripada menjadi keburukan kepada diri saya sendiri. Contohnya jika ada orang lain yang tahu tentang diri saya sebenarnya seorang yang penakut, sudah semestinya, dia akan mengambil kesempatan untuk mengenakan dan menakut-nakutkan saya. Hal ini akan menyebabkan saya berasa rendah diri dengan keupayaan diri saya yang sebenar.

Selain itu, emosi negatif seperti sedih juga boleh memberi kesan kepada individu itu sendiri. Sekarang ini  pun, emosi saya sangat sedih kerana tidak dapat bersama-sama keluarga untuk berpuasa di sepanjang bulan ramadhan. Hal ini kerana keluarga saya menetap jauh dengan tempat saya belajar iaitu di Kuala Terengganu walaupun saya dapat berkomunikasi melalui telefon tetapi perasaan itu tidak sama dengan berjumpa di depan mata. Perkara ini membuatkan saya tidak bersemangat untuk berpuasa di kolej. Jika saya terdengar ada rakan-rakan saya pulang ke rumah  pada hujung minggu, saya pasti akan sedih dan asyik  memikirkan tentang bagaimanakah rasanya suasana di rumah jika saya dapat berkumpul bersama keluarga menantikan detik untuk berbuka puasa bersama.

Kesimpulannya, kadang kala sebagai manusia biasa kita tidak dapat mengelakkan daripada menunjukkan emosi negatif.  Walaupun kita terpaksa menunjukkan emosi negatif namun ia dapat dikurangkan dengan pelbagai cara yang dapat menenangkan kita daripada terus dibelenggu dengan emosi terbabit. Sekian.

No comments:

Post a Comment