Thursday 12 August 2010

A127559 NOR RAIHANA LJO4

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Seperti biasa, sebelum memulakan penulisan kali ini elokla kiranya saya memulakan bicara dengan lafaz yang suci, Bismillahirrahmanirrahim semoga segalanya berjalan seperti yang dirancang. Sebelum memulakan bicara, izinkan saya untuk melakar salam Ramadhan buat semua yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini memberi seribu pengertian dan ruang buat kita untuk melakar kehidupan yang lebih bermakna, InsyaAllah.

Semalam, iaitu seperti biasa pada setiap hari rabu, bertarikh 11 Ogos 2010 sekali lagi saya mengikuti kuliah Pengurusan Emosi dibawah bimbingan Dr. Zamri. Tajuk yang menjadi perbincangan pada minggu ini ialah Emosi Negatif. Emosi negatif ini mengklasifikasikan empat emosi dibawahnya. Emosi yang dimaksudkan ialah takut, malu, sedih, dan marah. Secara peribadinya, saya juga berasa tidak begitu setuju apabila keempat-empat emosi ini diletakkan dibawah kategori emosi negatif.

Ini adalah kerana, pada pendapat saya, semua emosi yang dialami oleh manusia mempunyai sebab, dan akibat daripada emosi tersebut. Seperti yang dikatakan oleh Dr Zamri, semua emosi yang dialami oleh individu itu merupakan warna-warni kehidupan. Bagi saya sendiri, emosi-emosi tersebutlah yang mencorakkan kehidupan dan sikap seseorang. Malah setiap emosi yang dialami oleh individu itu merupakan satu titik tolak kepada keinginan mereka untuk meperbaiki kehidupan agar menjadi lebih baik. Untuk journal kali ini, saya memilih dua daripada emosi negatif ini untuk diketengahkan, iaitu emosi takut. dan sedih.

Emosi negatif pertama yang dibincangkan ialah emosi takut. emosi takut ini lahir daripada reaksi, respon, atau tindak balas seseorang individu terhadap sesuatu ransangan seperti kebimbangan. Emosi ini juga merupakan satu respon yang diberikan oleh individu terhadap sesuatu objek yang ditakuti olehnya. Sebagai contoh, individu akan melarikan diri apabila dikejar oleh seseorang yang tidak dikenali. Respon kepada tindakan tersebut merupakan satu tindakan refleks yang dialami individu tersebut dalam keadaan bimbang dicederakan. Takut juga merupakan tindak balas terhadap ransangan negatif yang khusus seperti perasaan bimbang. Apabila individu berasa bimbang, sedikit demi sedikik, perasaan bimbang tadi akan berubah menjadi takut.

Perasaan atau emosi takut ini boleh wujud dalam diri individu berdasarkan beberapa faktor. Antara faktor yang menyebabkan emosi ini ialah apabila wujud perasaan takut terhadap sesuatu yang tidak diketahui. Sebagai contoh, apabila tinggal di asrama, kita akan mendengar pelbagai cerita yang menceritakan tentang keadaan yang pernah berlaku di asrama seperti gangguan makhluk halus, dan histeria. Walaupun pada hakikatnya tiada cerita yang benar-benar sahih daripada maklumat yang boleh dipercayai, namun kita akan tetap berasa takut.

Takut juga mungkin disebabkan oleh faktor trauma. Dalam konteks ini, individu yang pernah mengalami sesuatu kejadian atau peristiwa yang tidak baik, mungkin akan sentiasa mengingati kejadian tersebut. Sebagai contoh, kanak-kanak yang menjadi mangsa kerakusan nafsu lelaki, akan sentiasa berada dalam keadaan trauma. Kanak-kanak yang tergolong dalam golongan ini akan berasa cemas apabila didekati oleh orang yang tidak dikenali akibat daripada kenangan yang memedihkan mereka.

Emosi takut ini juga bukan sahaja disebabkan faktor yang konkrit, tetapi juga faktor abstrak. Sebagai contoh, sebagai pelajar kadangkala saya sendiri berasa takut apabila perlu melakukan pembentangan di hadapan kelas. Perasaan ini wujud akibat daripada rasa takut dikritik dan diketawakan apabila sedang membuat pembentangan tersebut.

Emosi negatif kedua pula ialah emosi sedih. Emosi ini merupakan emosi yang sangat sinonim dengan manusia. Kita akan berasa sedih apabila melihat sesuatu yang membuatkan kita berasa sebak. Sedih ini boleh dikatakan sebagai emosi yang disebabkan kehilangan sesuatu. Perasaan ini akan wujud dalam pelbagai keadaan. Sebagai contoh, kita akan berasa sedih apabila kehilangan orang tersayang buat selama-lamanya, kita akan berasa sedih apabila putus cinta, sedih apabila gagal dalam peperiksaan atau dalam kata mudahnya, sedih apabila kita gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Perasaan atau emosi sedih ini biasanya dilahirkan dengan linanagan air mata yang biasanya dilalui oleh golongan wanita. Emosi sedih ini dapat dikesan apabila seseorang yang periang dan banyak mulut menjadi seorang yang murung dan pendiam. tidak bersemangat, dan lebih selesa untuk bersendirian. Secara asasnya, apabila kita dalam keadaan sedih, tidak seharusnya kita terus membiarkan diri kita dalam keadaan tersebut. Sebaliknya, kita harus berusaha untuk melupakan segalanya, dan berusaha untuk kembali senyum. Ini adalah kerana kita perlu sentiasa percaya bahawa setiap kesedihan itu ada kegembiraanya.

Secara konklusinya, apa juga emosi yang mengganggu perasaan kita, perlu ditangani dengan bijak. Kita tidak boleh terlalu mengikut perasaan kerana perasaan kita kan berada dalam keadaan yang sangat terganggu dalam keadaan tersebut. Gunakanlah akal waras sebaiknya, dan berjumpalah dengan orang yang mampu dipercayai agar kita boleh meminta nasihat dan pandangan. Janganlah bertindak memendam perasaan kerana itu hanya akan menjadikan keadaan menjadi semakin buruk.




No comments:

Post a Comment