Friday 13 August 2010

A127214 NUR HABIBAH LJ04

            Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera saya ucapkan. Kuliah pada minggu keempat kali ini kita telah pun membincangkan mengenai emosi negatif, hasil lanjutan daripada kuliah lepas iaitu emosi positif. Perbincangan pada kali ini begitu menarik minat saya, kerana dapat menyimpul dan sekaligus membezakan  apa itu emosi positif dan emosi negatif. Pelbagai emosi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t terhadap benda yang hidup. Ini termasuklah emosi positif dan negatif. Emosi negatif terdiri daripada perasaan takut, malu,sedih dan marah. Emosi negatif ini membawa impak yang negatif dalam kehidupan kita jika emosi ini tidak dapat dikawal.

            Kita bincangkan satu persatu emosi negatif di sini. Perasaan yang pertama kita bincangkan di sini ialah perasaan takut.  Perasaan takut merupakan tindak balas apabila seseorang itu berada dalam keadaan yang bahaya. Perasaan takut terhadap sesuatu mungkin akan membawa kita kepada trauma yang membawa kepada kemudaratan. Claustrophobia dan hydrophobia merupakan antara perasaan takut sehingga membawa kepada trauma terhadap tempat dan air. Sebagai contoh penerangan kepada takut yang membawa trauma seperti Claustrophobia ini ialah takut terhadap tempat yang gelap dan sunyi. Situasi tempat yang gelap dan sunyi telah dibayangkan oleh akal fikiran manusia merupakan sebuah tempat yang menyeramkan, menakutkan, serta tempat yang menjadi "sarang hantu". Pernahkah saudara dan saudari merasai perasaan yang aneh semasa melintasi kawasan perkuburan? Pasti meremang bulu roma dan berasa sangat cemas bukan? Inilah yang dikatakan dengan perasaan tak (claustrophobia) yang di imiginasikan oleh minda kita apabila melalui kawasan yang gelap dan sunyi. Selain daripada itu juga, perasaan takut juga boleh membawa kepada seseorang itu untuk menuruti perintah yang telah ditetapkan. Sebagai buktinya, sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara waktu, segala perintah Allah s.w.t harus dituruti, takut kepada  balasan Allah menjadikan umatnya lebih bertaqwa dan menjadi umat yang sentiasa dirahmatiNYA kerana mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar.

            Perasaan malu pula ialah perasaan yang dirasakan apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak dapat diterima oleh masyarakat samada kecil atau besar. Perasaan malu terbahagi kepada dua iaitu personal  dan professional. Malu jenis personal adalah disebabkan oleh kesilapan peribadi. Sebagai contoh  ditangkap kerana menipu. Saya pasti kalian semua pernah mengalami perasaan yang memalukan, dan apabila diingatkan kembali pasti menimbulkan kelucuan mengenangkan peristiwa tersebut. Sebagai contoh, saya pernah mengalami situasi yang memalukan semasa berada di pusat membeli belah. Pada ketika itu saya sedang rancang berborak dengan sepupu saya, sambil bergelak ketawa menuruni tangga. Tiba-tiba kaki saya terpijak tin yang berada di tepi tangga menyebabkan saya tergelincir dan terduduk di tangga tersebut. Pada ketika  itu saya berasa amat malu kerana ramai yang memerhati sambil tersenyum. Kejadian tersebut tidak akan pernah saya lupakan. Manakala malu Professional pula boleh dilihat dalam situasi seseorang itu salah memberikan fakta yang betul ataupu sesuatu yang bercanggah dengan pendapat orang atasan. Selain itu juga, apabila seseorang itu tidak dapat melakukan tugas dengan baik dan betul juga di kategorikan dalam malu professional.

            Perasaan sedih dapat ditafsirkan sebagai sesuatu keadaan yang menunjukkan perasaan yang kurang baik. Orang yang berada dalam keadaan sedih juga dapat dikenal pasti melalui tindak tanduk perilakunya, seperti menjadi pendiam, suka menyendiri dan tidak bermaya dalam melakukan semua perkara. Kajian juga ada menyatakan bahawa orang yang bersedih sukar untuk memproses dan menerima maklumat. Oleh hal yang demikian, merekamemerlukan keupayaan untuk berfikir dengan lebih kuat berbanding dengan orang yang gembira, kerana emosi mereka terganggu dengan perasaan sedih itu.  Bercerita mengenai perasaan sedih, saya yakin dan percaya bahawa semua orang pasti mengalaminya. Walau bagaimanapun terdapat juga manusia yang mempunyai hati sekeras batu dan tidak mempunyai perasaan sedih. Bagi manusia normal perasaan sedih mudah menyebabkan hati menjadi sayu. Sekiranya ia tidak mampu dikawal, akan gugurlah titisan air mata yang membasahi pipi. Perasaan ini dirasai tatkala berlaku peristiwa yang menyedihkan seperti kehilangan orang yang tersayang, dikecewakan, melihat kesengsaraan orang lain, mengenang nasib diri, menonton drama/filem dan sebagainya. Sebagai contoh, perasaan sedih yang dialami oleh saya sendiri. Perasaan sedih kehilangan datuk kesayangan kekal dalam ingatan saya. Waktu itu usia saya baru mencecah  9 tahun, namun perasaan sedih itu menyelubungi diri saya selama dua hari sehinggakan saya tidak lalu untuk menjamah sebarang makanan. Hal ini mungkin disebabkan saya tersangat rapat dan sering bermanja dengan arwah datuk saya.

            Perasaan terakhir yang ingin dibincangkan ialah, perasaan marah. Perasaan marah timbul apabila seseorang itu berasa disakiti, dikhianati, atau menderita terhadap sesuatu perkara. Kemarahan ini juga mungkin dilahirkan secara aktif atau pasif. Perasaan marah ini merupakan sikap yang paling buruk dan wajib dikawal. Berkaitan dengan perasaan marah ini, saya begitu tertarik dengan penghuraian pensyarah Encik Ahmad Zamri mengenai keadaan tubuh badan kita sewaktu berada keadaan marah. Di sini saya ingin berkongsi semula kata-kata beliau. Secara psikologi, apabila seseorang itu sedang marah, kadar degupan jantung dan tekanan darahnya akan meningkat. Ini dalah kesan langsung akibat lebihan hormon adrenalin dalam sistem peredaran darah. Kekuatan fizikal juga akan meningkat manakala kewarasan dan daya fikiran menurun. Organ-organ badan akan hilang kawalan, lidah pula akan mengeluarkan kata-kata kesat dan menguris hati, bahkan ada yang akan mengambil tindakan yang mencederakan diri sendiri apabila cubaan untuk membunuh diri tidak berjaya. Apabila perasaan marah berpanjangan menguasai diri, rasa marah ini perlu diluahkan. Jika dipendam, dia bukan sahaja akan menjadi murung, kecewa, malah fikiran yang bercelaru boleh membawa kepada kegilaan. Tekanan darah yang tinggi dan kadar denyutan jantung yang laju akan membawa serangan jantung dan penyakit fizikal yang lain. Oleh itu, sebaik-baiknya marah haruslah dikawal.

            Kesimpulannya, kuliah pada kali ini telah dapat menyimpulkan bahawa emosi-emosi yang dialami oleh manusia telah difitrahkan oleh Maha Pencipta. Manusia haruslah pandai mengawal dan mempamerkan emosi pada tempat yang seharusnya agar tindakan yang diambil tidak memudaratkan diri dan orang lain, sekaligus dapat menikmati kehidupan yang sempurna dengan mengamalkan dan memahami emosi-emosi yang ada dalam diri kita sendiri, InsyaAllah. Sekian.


No comments:

Post a Comment