Friday 6 August 2010

A127214 Nur Habibah LJ03

            Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia saya ucapkan. Alhamdulillah kali ini kita telah pun menghabiskan tajuk yang ketiga dalam kursus Pengurusan Emosi pada minggu ini. Semakin hari semakin memberansangkan dan menyeronokkan tajuk-tajuk yang kita dapat pelajarai dalam kursus Pengurusan Emosi. Pada kuliah ketiga ini, kami  mempelajari emosi positif. Emosi positif?? Mestilah yang berkaitan dengan perasaan-perasaan yang mengembirakan atau emosi seseorang itu berada dalam keadaan yang amat baik dan bercirikan perasaan seronok serta memperolehi kepuasan daripada kegembiraan yang dialami. Sekaligus, emosi positif membawa definisi kepada kegembiraan.

            Pelbagai tafsiran yang ditafsirkan oleh ahli-ahli falsafah tersohor dunia mengenai kegembiraan. Menurut Aristotle, kegembiraan ialah kejayaan apabila mendapatkan kesenangan. Sebagai contoh, seseorang itu dapat menaikkan taraf hidupnya daripada kehidupan yang sederhana kepada kehidupan yang mewah. Manakala menurut pandangan Plato pula, kegembiraan bagi beliau ialah sumber yang datang daripada kehidupan yang bermoral tinggi.  Bagi Epicurean pula, kegembiraan itu diperolehi apabila merasakan kesenangan yang maksimum dan kesakitan yang minimun, dari sinilah bagi Epicurean merasakan kegembiraan itu akan diperolehi oleh manusia. Tokoh yang seterusnya iaitu Mills menyatakan bahawa kegembiraan adalah campuran daripada semua tingkah laku.

            Tafsiran yang dilakukan oleh Aristotle " Kegembiraan ialah kejayaan apabila mendapatkan kesenangan"  membuatkan saya terkenang tentang sesuatu dalam hidup saya. Pengalaman ini tidak dapat saya lupakan sehingga akhir hayat saya. Kejayaan saya memperolehi keputusan yang cemerlang di dalam STPM telah membuatkan saya tersangat gembira sehingga setiap hari, setiap masa saya mengimpikan kehidupan di Universiti impian. Kegembiraan saya ini juga dikongsi oleh kedua ibu bapa saya. Sekali lagi perasaan gembira saya tidak dapat digambarkan apabila saya dapat menghadiahkan keputusan yang cemerlang kepada mereka. Setelah beberapa bulan berlalu, keputusan kemasukan ke Universiti diumumkan. Saya melompat dan menjerit kegembiraan sejurus mendapat tahu saya ditawarkan ke Universiti idaman saya iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia. Perasaaan gembira, seronok, terharu, terasa bahagia terangkul menjadi satu sehingga saya menitiskan air mata kegembiraan. Situasi inilah yang menjadikan saya tertarik dengan istilah yang diberikan oleh Aristotle kerana ia mempunyai pertautan dengan situasi sebenar kegembiraan yang dirasai apabila mendapatkan kesenangan.

            Selain daripada itu, melalui kuliah ini juga, saya mendapat input yang telah menarik perhatian saya untuk berfikir dengan lebih mendalam. Input itu ialah, mengenai kajian yang dilakukan oleh Veenhoven. Kajian ini menyatakan bahawa terdapat perbezaan dalam kebahagiaan antara satu negara dengan satu negara yang lain. Sebagai buktinya, kajian ini dilakukan terhadap budaya di benua Asia dengan budaya di benua Eropah ,Amerika Utara dan Australia.  Kajian ini menyatakan bahawa benua Asia mempunyai kebahagian diri yang lebih rendah berbanding budaya benua lain seperti Amerika Utara, Eropah dan Australia yang dikatakan sebagai penduduk yang mempunyai kebahagiaan yang paling tinggi. Persoalannya, saya masih terfikir-fikir, sejauhmanakah kebenaran kajian ini.

            Terdapat 2 faktor utama yang berkaitan dengan emosi. Iaitu "Kebahagiaan jangka panjang" dan "Kebahagiaan jangka pendek". Secara ringkasnya kebahagiaan jangka panjang adalah kebahagiaan yang bertahan dalam tempoh masa yang lama, iaitu dari bulan ke bulan, tahu ke tahun. Kebahagiaan jangka panjang dapat dilihat melalui perkahwinan yang bahagia, sebuah keluarga yang sempurna dan bahagia, mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan sebagainya. Manakala bagi kebahagiaan jangka pendek ialah kebahagiaan yang tidak berkekalan dan tidak dpat bertahan dalam tempoh yang panjang. Kebahagiaan jangka pendek ini ditafsirkan kepada individu yang tidak mengenal erti pemikiran secara rasional dalam melakukan/membuat sesuatu tindakan. Sebagai contoh, kejadian membunuh diri. Dewasa ini kerap kali kita terdengar berita-berita yang melibatkan kejadian bunuh diri. Individu yang mengambil tindakan ini merasakan mereka akan mendapat kebahagiaan setelah meninggal dunia. Mereka menganggap segala masalah yang dialami dapat diselesaikan dengan membunuh diri. Namun, tindakan itu hanyalah sia-sia.

            Terdapat lagi satu subtajuk yang menarik perhatian saya untuk menjawab pertanyaan soalan "Which One is Right?".  Jawapan yang pertama adalah, Perkahwinan yang mencetuskan kebahagiaan ATAU jawapan kedua, individu-individu yang mendirikan rumah tangga itu yang mencetuskan kebahagiaan. Pada pendapat saya, perkahwinan itu sendirilah yang membawa kepada kebahagian kerana daripada perkahwinan inilah individu yang bergelar suami isteri akan mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengelola institusi rumah tangga. Sikap tolak ansur pasangan, kehidupan baru tanpa ibu bapa, mengajar pasangan suami isteri ini berdikari dan bersabar dalam mengharungi kehidupan berumah tangga.Segala pahit manis binaan kehidupan berumah tangga diharungi bersama-sama pasangan suami isteri menjadikan hubungan penyatuaan dua hati ini lebih kukuh dan ikatan percintaan semakin membara berlandaskan syariah.

            Selain daripada definisi emosi positif, faktor juga diterangkan dalam tajuk kuliah pada kali ini. Menurut Arygle, antara faktor positif tersebut adalah, kesihatan, persahabatan, kerja, reaksi dan juga penghayatan agama. Dalam kajian yang dijalankan ini, pengkaji-pangkaji ini mendapati bahawa seseorang individu yang berpengang kuat terhadap ajaran agama merupakan individu yang paling bahagia dan kurang mendapat tekanan/stress. Kajian ini juga dikukuhkan lagi dengan kualiti agama yang tinggi  membawa kepada tahap tekanan perasaan yang rendah, tidanya penagihan dadah dan perlakuan membunuh diri. Keadaan ini akan membawa individu itu kepada kepuasan dan kesejahteraan dalam menjalani keindahan kehidupan yang sebenar.

            Kesimpulannya kegembiraan, kebahagiaan dan kepuasan dapat dikecapi dengan pelbagai cara. Namun apa yang ingin saya tekankan di sini ialah kegembiraan itu dapat kita perolehi dengan bermulanya dengan pemikiran yang positif dan rasional dalam mengambil tindakan, agar segala perbuatan yang kita lakukan akan memperolehi keredhaanNYA seterusnya diberkati dalam kehidupan. Tiada tekanan/stress, hanya kegembiraan yang mengiringi kehidupan di dunia. Sekian.


No comments:

Post a Comment